Jurnal Pengajian Melayu



Banjar  :  Bahasa  Atau Dialek
Oleh : Muhammad Khairi Mohamed Nor

Pengenalan
Banjar merupakan bangsa yang menetap di Kalimantan,  Indonesia dan menuturkan sejenis bahasa yang disebut bahasa Banjar,  yakni bahasa dalam kelompok bahasa Austronesia. Jumlah penduduk Banjar yang direkodkan di Kalimantan ialah 3,500,000 orang (Joshua Project, 2000).  Muhammad Sabil (1998) pula menyatakan bahawa orang Banjar berasal  dari Kalimantan, Indonesia di kawasan selatan Lembah Barito,  terutama di daerah Banjarmasin.  Antara daerah utama tempat asal orang Banjar tersebut ialah daerah Balangan,  Amuntai,  Alai,  Hamandit,  Margasari dan Martaputra.  Sebahagian mereka pula berasal dari Sumatera Tengah,  dari Bukit Tinggi dan Sepat.
Tarikh migrasi masyarakat Banjar ini ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan,  Menurut Hudson (1978)  seorang penulis bahasa Banjar,  migrasi ini mungkin bermula pada pertengahan abad ke-19.  Petempatan awal mereka di Tanah Melayu ialah di Batu Pahat, Johor.  Pada masa itu mereka sering berualang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak,  Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan ke Singapura.  Selain itu,  Bagan Datoh,  Perak juga dikatakan kawasan petempatan awal masyarakat ini.  Kini,  di samping menetap secara bertebaran di beberapa bandar besar di Malaysia, orang Banjar juga terdapat di kawasan tanah rancangan di Malaysia,  misalnya di Perak dan Pahang. 
Secara khusus, beberapa generasi selepas generasi awal, masyarakat Banjar yang terdapat di Malaysia sekarang ini telah mengalami perubahan menerusi proses asimilasi.  Akta dan program pendidikan  yang dilaksanakan di negara ini merupakan faktor yang merangsang kecepatan asimilasi masyarakat ini ke dalam kelompok masyarakat setempat.  Sebagaimana anggota masyarakat yang lain yang terdedah dengan pembangunan,  ramai anak muda Banjar berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi dan menjawat jawatan tinggi di sektor awam atau swasta.  Perubahan organisasi   sosial  masyarakat  Banjar  juga  ketara  berlaku  apabila  ada antara anggota masyarakat ini tidak lagi menetap dalam kelompok mereka,  terutamanya apabila berlaku fenomena perkahwinan campur.  Amalan adat resam dan organisasi sosial juga semakin berkurangan dan di sesetengah tempat langsung ditinggalkan.  Secara am dapatlah dikatakan bahawa masyarakat Banjar yang berada di Malaysia kini semakin terhakis identiti mereka disebabkan pelbagai faktor, umpamanya perkahwinan campur, pengaruh cara hidup setempat, dasar pendidikan dan kurangnya usaha untuk mengekalkan amalan budaya, di kalangan masyarakat itu sendiri.


Aspek Bahasa Banjar
Salah satu aspek budaya Banjar yang mengalami perubahan ialah aspek penggunaan bahasa.  Sebagai contoh,  anggota masyarakat ini,  terutama generasi mudanya,  tidak dapat, semakin kurang atau malu bertutur atau menggunakan bahasa Banjar walaupun sewaktu berbicara sesama mereka.  Golongan tua juga semakin kurang menggunakan bahasa ini,  kecuali dalam domain tertentu yang membabitkan domain tidak rasmi. 
Perubahan dari aspek penggunaan bahasa Banjar juga dikatakan berlaku kerana bahasa Banjar dianggap menyamai bahasa Melayu. Menurut Ras (1990:  9),  bahasa Banjar yang dituturkan di daerah Kalimantan, Indonesia, merupakan sambungan bebas suatu jenis bahasa Melayu yang agak kuno,  ditindihi oleh lapisan dialek-dialek Dayak dengan percampuran bahasa Jawa. 
Wolff (1998) pula menyatakan bahawa:-
“This dialect is spoken through most of the province of South Kalimantan and northwards along the west coast.  I am not sure how far north.  What is know is that Malay dialects are spoken all along the West Coast and that they are all very similar to Banjarese,  there probably is no sharp demarcation between the dialect of Banjar and that of Kutai to the north of it,  they are both quite similar Malay dialect …”

Bahasa Banjar dikenali juga sebagai Bandjarese,  Banjar Malay  atau Banjarese.  Bahasa ini dapat dibahagikan kepada dua dialek,  iaitu dialek hulu dan dialek kuala (The Linguist,  2004). Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini,  bahasa ini tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia Barat.  Walaupun tergolong dalam satu kelompok bahasa dengan bahasa Melayu dan menyamai bahasa Melayu,  tidak semestinya bahasa Banjar ialah bahasa Melayu.  Untuk membuktikan hubungan kebahasaan atau tingkat kekerabatan antara bahasa Banjar dengan bahasa Melayu,    kaedah perbandingan kosa kata kata dasar boleh digunakan. Dengan demikian baharulah dapat dibuktikan sama ada kedua-dua bahasa ini merupakan dialek daripada satu bahasa atau bahasa-bahasa yang berlainan.  Perbandingan kosa kata dasar  boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan kosa kata dasar 200 perkataan yang disarankan oleh Morris Swadesh pada akhir tahun 40-an (Crystal, 1987:  331).
Banjar : Bahasa atau Dialek
Menurut Asmah Haji Omar (1988), dalam Susur Galur Bahasa Melayu,   Asmah menganggap bahasa Banjar ialah sebuah bahasa dan bukannya sebahagian dialek Melayu.
Menurut Asmah (1988), orang Indonesia secara konsisten memberi nama ‘bahasa’ kepada sistem komunikasi  masyarakat Banjar. Ini secara umumnya menggambarkan intuisi penutur-penutur bahasa Indonesia bahawa bahasa Banjar bukan  dialek Melayu atau dialek bahasa Indonesia.
Pendapat Asmah (1988) tentang bahasa Banjar sebagai sebuah bahasa diperkukuh    dengan ujian menyaling (mutual intelligibility test) yang dijalankan terhadap penduduk Melayu Semenanjung (yakni mereka yang bukan kelompok Banjar). Dalam ujian ini, kelompok bukan Banjar ini tidak memahami pertuturan orang Banjar tersebut. Menurutnya lagi, kemungkinan kadar kefahaman menyaling itu sangat rendah (yakni sukar memahami pertuturan secara timbal balik), dan mungkin sistem yang dianggotai oleh pertuturan-pertuturan  tersebut dinamakan bahasa.
Tetapi dalam kajiannya, Asmah tidak melihat aspek-aspek bahasa yang lain seperti fonologi, morfologi, dan sintaksis bahasa Banjar. Kelemahan ini membuatkan penulis merasakan perlunya kajian lanjut terhadap bahasa Banjar ini untuk tujuan dokumentasi dan sumber rujukan kajian selanjutnya.
Sementara itu, Wolff (1988) pula menyatakan bahasa Banjar dituturkan di hampir keseluruhan wilayah  Selatan dan sehingga ke kawasan utara sepanjang pantai barat Kalimantan. Beliau berpendapat tidak ada perbezaan yang nyata antara Banjar dan Kutai kerana kedua-duanya hampir sama dengan dialek Melayu.
Dalam kajiannya, Wolff (1988) melihat sama ada bahasa Banjar ada mewarisi struktur bahasa proto yang mungkin ada atau tidak ada dalam dialek Melayu lain. Beliau berpendapat bahawa bahasa Banjar ini merupakan bahasa kreol yang telah tersebar.
Wolff  (1988) masih ragu-ragu sama ada bahasa Banjar ini menerima pengaruh bahasa Dayak atau tidak, namun bagi beliau pengaruh bahasa Jawa dalam bahasa Banjar sangat jelas. Terdapat banyak perkataan Jawa dalam perbualan yang direkodkan dalam bahasa Banjar.
Analisis Wolff (1988) menunjukkan bahawa dari aspek fonologi, ada kecenderungan untuk membuang suku kata pertama dalam perkataan yang biasa dan kebanyakan   kata dasar yang bermula dengan r, l dan h. Dalam hal ini, konsonan pertamanya akan digugurkan. Dari sudut intonasi, dalam bahasa Banjar tiada kelihatan ciri-ciri yang melambangkan predikat seperti dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia standard. Sementara itu, dari aspek sintaksis pula,  sukar untuk diyatakan sama ada bahasa Banjar yang meminjam daripada bahasa Indonesia atau sebaliknya dan mungkin juga sintaksis bahasa Banjar  merupakan ciri-ciri bahasa Banjar moden.  Dari segi  morfologi, bahasa Banjar  selari dengan ciri-ciri morfologi bahasa Indonesia tetapi mempunyai aplikasi yang lebih produktif dan meluas jika dibandingkan dengan bahasa Melayu atau bahasa Indonesia. Pengulangan   suku kata pertama ialah proses yang sangat produktif dalam bahasa Banjar dan proses ini mengambil tempat kata ganda dalam bahasa Melayu standard. Berikut diperlihatkan sebahagian contoh berikut:






Jadual 1.1
Pengulangan suku kata pertama dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
bubuahan
buah-buahan
kakanakan
kanak-kanak

Selain penulis di atas terdapat seorang penulis yang meneliti bahasa Banjar dengan lebih mendalam, iaitu  Ras (1990). Beliau meneliti bahasa berkenaan dalam Hikayat Banjar (1815). Kajiannya meliputi aspek-aspek bahasa termasuk aspek fonologi, morfologi dan sintaksis bahasa Banjar. Beliau juga ada membandingkan bahasa pertuturan Banjar dengan bahasa tulisan yang digunakan dalam teks Hikayat Banjar yang bagi beliau mengandungi keanehan-keanehan berbanding dengan bahasa Melayu  standard.
Dalam kajiannya, Ras (1990), mengesan banyak keanehan bahasa. Walau bagaimanapun, beliau masih lagi mengganggap Banjar merupakan salah satu dialek Melayu.
Menurut Ras (1990), fonologi bahasa Banjar berkongsi dengan beberapa sifat bahasa Dayak Ngaju. Dalam bahasa Banjar jarang didengari bunyi pepet /«/. Bunyi pepet yang terdapat dalam bahasa Melayu kebanyakannya disebut sebagai /a/ dalam bahasa Banjar. Berikut ditunjukkan contohnya.
Jadual 1.2
/«/ dalam bahasa Melayu disebut /a/ dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
lebih
labih
kena
kana

Seterusnya dalam perkataan tiga suku kata bahasa Melayu di tempat /«/ ditemui /u/ atau /i/ dalam bahasa Banjar.
Jadual 1.3
/«/ dalam bahasa Melayu disebut /u/ dan /i/ dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
sebelah
subalah
telanjang
tilanjang

Ras juga membuat perbandingan antara bahasa banjar dengan bahasa Jawa dan dlaam hal ini bunyi pepet dalam bahasa Jawa sering disebut /i/ dalam bahasa Banjar.





Jadual 1.4
/e/ dalam bahasa Jawa disebut /i/ dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
rakit
raket
sambit
sambet

Dalam bahasa Banjar juga didapati bahawa /u/ dan /i/ disebut /o/ dan /e/ dalam bahasa Melayu.

Jadual 1.5
/o/ dan /e/ dalam bahasa Melayu disebut /u/ dan /i/ dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
puhun
pohon
gigar
gegar

Dalam bahasa Banjar /h/ di posisi awal dan antara vokal lebih kuat sebutannya berbanding dengan bahasa Melayu.
Jadual 1.6
Kewujudan /h/ di awal kata, antara dua vokal, dan di akhir kata dalam bahasa Banjar berbanding dengan bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
tuha
tua
tiharap
tiarap
hampang
ampang
gajih
gaji
nyonyah
nyonya
sajih
saji

Ada juga kedapatan /r/ di posisi akhir dalam bahasa Melayu kadang-kadang digantikan sebagai bunyi /N/ .

Jadual 1.7
/N / bahasa Banjar berbanding dengan /r/ bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
ekong
ekor
aing
air

Ras (1990)  juga masih ragu-ragu untuk menganggap bahawa semua unsur tersebut hasil lapisan substratum bahasa Dayak. Beberapa unsur ini diandaikan mewakili perkembangan tersendiri atau mungkin berasal daripada satu jenis bahasa Melayu yang diperkenalkan oleh imigran Melayu awal yang telah menjelajah Kalimantan. Mungkin begini juga halnya dengan sejumlah keanehan yang wujud dalam morfologi Bahasa Banjar.  Sebagai contoh Ras juga mengesan perbezaan kata ganda bahasa Melayu dengan bahasa Banjar. Ini dapat dilihat dalam contoh berikut:
Jadual 1.8
Kata ganda bahasa Banjar berbanding dengan bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
sasayuran
sayur-sayuran
barja-jalan
berjalan-jalan
basa-sambutan
sambut-menyambut

Selanjutnya bahasa Banjar menggunakan kata –akan untuk imbuhan –kan dalam bahasa Melayu.

Jadual 1.9
akan bahasa Banjar berbanding dengan –kan bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
mamadah akan
memadahkan
marabut akan
merebutkan

Penggunaan imbuhan /i/ dalam bahasa Banjar dilihat mempunyai kelainan dalam penggunaannya dalam bahasa Melayu. Kadang-kadang penggunaan /i/ terdapat dalam bahasa Banjar tetapi tidak digunakan dalam bahasa Melayu.

Jadual 1.10
-i bahasa Banjar berbanding dengan bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
ma-isi-i
mengisi
ma-mandi-i
memandikan
mangaram-i
membubuh garam

Imbuhan awalan me dalam bahasa Melayu disebut sebagai ma dalam bahasa Banjar.







Jadual 1.11
ma- bahasa Banjar berbanding dengan meng- bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
maambil
mengambil
maigut
menggigit
mahidupi
menghidupi

ber- dan ter- dalam bahasa Melayu disebut sebagai ba- dan ta- dalam bahasa Banjar.


Jadual 1.12
ba- dan ta- bahasa Banjar berbanding dengan ber- dan ter- bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
baisi
berisi
takajut
terkejut

Selain itu, Ras (1990), mengagumi mengenai keseringan penggunaan morfem [lah] dalam bahasa Banjar yang tidak disatukan dengan kata sebelumnya sebagaimana [lah] dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Banjar [lah] digunakan sebagai suatu kata seruan. Walaupun memperlihatkan keanehan yang ketara berbanding dengan bahasa Melayu, Ras masih sukar untuk menyatakan bahawa bahasa Banjar merupakan sebuah bahasa yang tersendiri. Dengan kata lain, Ras masih menganggap bahasa Banjar merupakan sebuah dialek Melayu.

Penutup
Perbezaan pendapat antara Asmah (1988) yang mengganggap Banjar ialah sebuah bahasa dan Ras (1990) yang berpendapat bahawa Banjar sebagai sebuah dialek Melayu menjadi lebih menarik   dan unik. Adakah bahasa  Banjar merupakan sebuah bahasa atau sebahagian daripada dialek Melayu? Kajian dengan membuat perbandingan kosa kata Swadesh dilihat dapat menentukan tingkat kekerabatan antara Banjar dan bahasa Melayu.







Rujukan:
Asmah Haji Omar. 1975. Kepelbagaian Fonologi Dialek-Dialek Melayu. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.
……………. “Pengumpulan Perbendaharaan Kata Bahasa-bahasa Sarawak: Panduan Penyelidik.”  Dewan Bahasa,  September 1981, hlm. 31-42.
……………. 1981. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
……………. 1991. Aspek  Bahasa dan Kajiannya. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fishman, J.A. 1972. “Domains and the Relationship between Micro and Macro Sociolinguistics.” Di dalam Gumperz, J.J. and Hymes, D., 1972, Directions in Sociolinguistics, the Ethnography of Communication, New York:  Holt, Rinehart and Winston, Inc,  hlm.435-454.
Gudschinsky,S. 1964. “The ABC’s of Lexicostatistics (Glotochronology)”, di dalam Deee Hymes, Language in Culture and Society, A Reader in Linguistic and Anthropology, new York: Harper and Row, hlm.612-623.
Grimes, B.F.1996. Ethnologue: Language of The World. Dallas: Summer Institute of Linguistics,Inc.
Hamidah Abdul Wahab. 2004. Analisis Perbandingan Kosa Kata Dasar Bahasa-Bahasa Bidayuh dan Pemerian Fonologi Segmental Bahasa Bidayuh Biatah. Tesis Sarjana Sastera, Universiti Sains Malaysia.
Ibrahim Ahmad. “Sistem Fonologi Bahasa Banjar di Semenanjung Malaysia.”  Dewan Bahasa,  Januari 1976,  hlm.14-18.
John U.Wolff. “The Contribution of Banjarmasin Malay to The reconstruction of Proto-Malay” dlm. Rekonstruksi dan Cabang-cabang Bahasa Melayu Induk. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noriah Mohamed. “Waktu Pisah dan Tingkat Kekerabatan Bahasa Melayu dengan Bahasa Iban.”  Jurnal Dewan Bahasa,  Februari 1994, hlm.129-133.





Merujuk :  Kata Kerja Transitif atau Kata Kerja Tidak Transitif?

Oleh:

Mohd  Januri  Aiyub


Apakah kategori subgolongan kata kerja merujuk? Adakah tergolong dalam kata kerja transitif ataupun kata kerja tak transitif? Sebagai seorang guru atau bakal guru atau sesiapa sahaja yang mencintai bahasa Melayu, apakah jawapan anda? Pasti anda mempunyai jawapan dan alasan tersendiri untuk melayani pertanyaan tersebut. Bagi bakal guru, anda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu tatabahasa bahasa Melayu kerana para pelajar lazimnya ingin akan jawapan “akar umbi” kebahasaan khususnya para pelajar yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Merujuk ialah kata kerja terbitan yang berasal daripada perkataan rujuk. Awalan meN- dalam perkataan merujuk membawa makna melakukan sesuatu. Kamus Dewan Edisi Keempat (2004: 1348) memerikan makna perkataan merujuk sebagai melihat untuk meneliti, melihat lebih lanjut. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995: 1553) pula mendefinisikan perkataan merujuk daripada dua perspektif. Pertama, merujuk ialah melihat lebih lanjut, melihat untuk meneliti dan menunjuk atau menyatakan. Kedua ialah berkahwin kembali (dengan isteri yang telah diceraikan). Walaupun terdapat dua perspektif, namun makalah ini lebih menfokuskan makna yang pertama melalui ayat-ayat contoh yang dikemukakan.
Mengapakah perkataan merujuk yang dibincangkan? Sebenarnya terdapat beberapa pandangan tentang kategori perkataan merujuk sama ada pandangan itu dinyatakan secara langsung ataupun berdasarkan ayat-ayat contoh yang digunakan dalam sesuatu terbitan. Sumber terbitan itu pula merupakan sumber yang autentik dalam bidang kebahasaan dan boleh digunakan sebagai sumber rujukan pelajar dalam menyelesaikan masalah kebahasaan. Sebelum kita membincangkan kategori perkataan merujuk secara terperinci, mari kita teliti pandangan beberapa sumber tentang kategori perkataan ini.
           Pertama, merujuk dikategorikan sebagai kata kerja transitif, iaitu kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Tatabahasa Dewan menyenaraikan perkataan merujuk sebagai kata kerja transitif melalui frasa merujuk surat tuan (1994:143) dan apabila dipasifkan frasa tersebut menjadi surat tuan dirujuk. Sebagai tambahan, jika kata ganti nama diri orang pertama saya digunakan seperti dalam ayat 1a, maka struktur pasifnya seperti dalam ayat 1b.


1a. Saya merujuk surat tuan.
1b. Surat tuan saya rujuk.

Struktur aktif dan pasif penting dalam ayat yang mengandungi kata kerja transitif kerana kedua-dua struktur ini menjadi salah satu ukuran untuk menentukan sama ada sesuatu kata kerja itu transitif ataupun tidak. Hasilnya ialah kata kerja transitif itu sendiri boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif. Dalam struktur pasifnya, frasa nama yang menjadi objek sesudah kata kerja transitif dikedepankan seperti dalam ayat 1a dan 1b, iaitu surat sebagai objek menduduki konstituen subjek.
Pandangan Tatabahasa Dewan diguna pakai oleh Kamus KBSR Dewan Bergambar Edisi Kedua (2003:319) dalam ayat contoh subentri merujuk. Walaupun kamus ini tidak memasukkan golongan kata bagi setiap entrinya, namun ayat contoh yang dikemukakan untuk perkataan merujuk dengan jelas menepati konsep kata kerja transitif.

2a. Saya telah merujuk Kamus Dewan untuk mengetahui erti perkataan “duli”

2b. Kamus Dewan telah saya rujuk untuk mengetahui erti perkataan “duli”

Ayat 2a ialah ayat contoh yang digunakan oleh kamus ini untuk menjelaskan penggunaan perkataan merujuk dalam ayat. Ayat 2b pula ialah struktur pasif bagi menguji “kebenaran” perkataan merujuk sebagai kata kerja transitif.
Kamus Fajar KBSR susunan Arbak Othman (2007: 501) juga menyediakan ayat contoh perkataan merujuk yang menepati konsep kata kerja transitif. Kamus ini menyediakan golongan kata bagi setiap entrinya tetapi hanya menyatakan subentri merujuk sebagai kata kerja tanpa perincian kata kerja transitif ataupun kata kerja tak transitif. Walau bagaimanapun, berdasarkan ayat contoh bagi perkataan merujuk, amat jelas bahawa perkataan itu menepati ciri-ciri kata kerja transitif.

3a. Dia merujuk banyak buku ulang kaji
3b. Banyak buku ulang kaji dirujuk oleh dia.

Kedua, merujuk dikategorikan sebagai kata kerja tak transitif, iaitu kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Kata kerja ini terbahagi pula kepada dua jenis, iaitu kata kerja tak transitif berpelengkap dan kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Kata kerja tak transitif berpelengkap ialah kata kerja yang mesti diikuti pelengkap untuk menyempurnakan atau melengkapkan sesuatu ayat sementara kata kerja tak transitif tanpa pelengkap pula ialah kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan penyambut untuk melengkapkan sesuatu ayat.

Dalam konteks perkataan merujuk, penggunaan perkataan ini sebagai kata kerja tak transitif berpelengkap boleh diteliti melalui ayat contoh yang digunakan oleh Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996:1154) dan Edisi Keempat (2004: 1348). Walaupun kamus ini tidak menjelaskan subgolongan kata kerja perkataan merujuk, namun ayat contoh yang digunakan untuk menjelaskan penggunaan perkataan tersebut dalam ayat, menepati konsep kata kerja tak transitif berpelengkap.

4a. Calon-calon hendaklah merujuk kepada risalah panduan.
4b. Calon-calon hendaklah merujuk. (kepada risalah panduan

Ayat 4a ialah ayat contoh yang digunakan oleh kamus ini sementara ayat 4b ialah ayat yang digunakan oleh penulis untuk menunjukkan bahawa ayat tersebut tergantung dan masih belum lengkap. Untuk melengkapkan ayat 4b, frasa sendi nama kepada risalah panduan dimasukkan sebagai pelengkap.
Amalan yang dipraktikkan oleh Kamus Dewan seperti ayat 4a. diikuti oleh beberapa pihak termasuklah pihak yang menyediakan soalan peperiksaan awam. Contohnya, soalan mata pelajaran Pengajian Am Kertas 1, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia tahun 2005 seperti di bawah.
·         Dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri  selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja
·         Dipecat atas syor Tribunal Khas

Pernyataan di atas merujuk kepada
A  Akauntan Negara
B  Ketua Audit Negara
C  Ketua Polis Negara
D  Gabenor Bank Negara

Ketiga ialah merujuk dikategorikan sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Pandangan ini termuat dalam majalah Pelita Bahasa keluaran Mei, 2007 halaman 21. Merujuk dikategorikan sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap atas alasan bahawa ayat tersebut telah lengkap. Kedudukan perkataan merujuk sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap boleh dilihat dalam ayat contoh berikut.

5a. Dialah tempat saya merujuk.
5b. Di sini tidak ada pakar untuk merujuk.
5c. Di sini tidak ada pakar untuk merujuk dalam hal bahasa.

Ayat 5c ialah ayat yang diperluas daripada ayat 5b dengan menggunakan unsur keterangan menerusi frasa sendi nama dalam hal bahasa. Hal ini adalah untuk membuktikan bahawa merujuk ialah kata kerja tak transif tanpa pelengkap dan ayat yang menggunakan perkataan tersebut boleh diperluas dengan menggunakan frasa sendi nama.
Berdasarkan tiga pandangan tentang perkataan merujuk, maka soalannya ialah di manakah kedudukan sebenar perkataan merujuk? Adakah tergolong dalam kategori kata kerja transitif atau kata kerja tak transitif? Mungkinkah merujuk boleh digolongkan dalam kedua-dua kategori bergantung pada kedudukannya dalam ayat? Hal ini disebabkan terdapat sebilangan perkataan dalam bahasa Melayu yang berubah golongan kata berdasarkan kedudukannya dalam ayat seperti perkataan akan (kata bantu dan kata sendi nama), dalam (kata adjektif dan kata sendi nama) dan lain-lain. Keadaan ini sesuai dengan kaedah penggolongan kata dalam bahasa Melayu yang diguna pakai oleh Tatabahasa Dewan, iaitu berdasarkan kriteria sintaksis dan kriteria semantik. Kaedah tersebut diterima atas alasan bahawa penggolongan sedemikian lebih selaras dengan status perkataan sebagai satu bentuk bebas yang menjadi unsur dalam binaan tatabahasa, iaitu klausa, frasa dan ayat.
Walau bagaimanapun. dalam konteks perkataan merujuk, penulis berpandangan bahawa perkataan tersebut masih dikategorikan sebagai kata kerja transitif. Pandangan ini berdasarkan dua analisis, iaitu pertama sumber penggunaan ayat contoh dalam kamus seperti dalam ayat 4a dan kedua, ketidaktepatan penggunaan perkataan merujuk dalam ayat 5. Dari segi ayat contoh dalam kamus, Kamus Dewan memang diakui sebagai kamus yang berwibawa dalam bidang kebahasaan khususnya dari segi makna dan pendokumentasian kata-kata dalam bahasa Melayu. Namun, dari segi tatabahasa, Kamus Pelajar dilihat lebih besar peranannya seperti yang diakui sendiri oleh majalah Pelita Bahasa (Disember 2007: 50) sebagaimana berikut:

Kamus Pelajar ialah kamus yang disusun khusus untuk pelajar, termasuklah sesiapa sahaja yang hendak mempelajari bahasa Melayu. Kandungan Kamus Pelajar, iaitu kata masukan, kata terbitan, takrifnya serta contoh penggunaannya, lebih berpola dan mematuhi tatabahasa.

Hal ini bermakna, apabila wujud maklumat dalam kamus yang bertentangan dari segi tatabahasa, Kamus Pelajarlah yang paling utama untuk dirujuk. Oleh itu, dari segi ayat contoh yang digunakan dalam kamus, Kamus KBSR Dewan Bergambar yang lebih fokus kepada pelajar lebih “tepat” ayat contohnya dari segi tatabahasa berbanding kamus umum. Hal ini diperkukuh dengan penggunaan ayat contoh perkataan merujuk dalam kamus pelajar yang lain, contohnya Kamus Fajar KBSR. Oleh itu, berdasarkan kedua-dua kamus pelajar ini, perkataan merujuk menepati ciri-ciri dan konsep kata kerja transitif.
Kedua, pandangan yang menyatakan bahawa merujuk sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap berdasarkan ayat 5a tidaklah begitu tepat. Huraian tentang ketidaktepatan penggunaan perkataan tersebut dibincangkan dalam ayat 6, ayat 7, ayat 8 dan ayat 9 seperti yang berikut:

6a. Dialah tempat saya merujuk.
6b. Tempat saya merujuk dia.

Ayat 6a ialah contoh penggunaan ayat bersusunan songsang. Kehadiran partikel –lah sebagai kata penegas dalam ayat tersebut adalah untuk memberi penekanan pada bahagian  tertentu dalam ayat dan dalam konteks ayat ini perkataan dia diberi penekanan. Dalam susunan biasa, ayat tersebut seharusnya seperti dalam ayat 6b. Sebenarnya terdapat objek kata nama yang digugurkan dalam kedua-dua ayat tersebut.

7a. Dialah tempat saya merujuk (hal bahasa).
7b. Tempat saya merujuk (hal bahasa) dia.

Ayat 7a ialah ayat yang telah disongsangkan sementara ayat 7b ialah ayat asal dalam susunan biasa. Frasa nama hal bahasa ialah objek yang hadir selepas kata kerja transitif merujuk. Walau bagaimanapun, ayat 6 (6a dan 6b) dan ayat 7 (7a dan 7b) akan menjadi lebih gramatis jika menggunakan ayat 8 (a, 8b dan 8c) dan ayat 9 (9a, 9b, 9c dan 9d). Ayat 8 ialah ayat yang tidak memasukkan perkataan tempat sementara dalam ayat 9 perkataan tempat dimasukkan.

8a. Saya merujuk dia dalam hal bahasa.
8b. Dia saya rujuk dalam hal bahasa.
8c. Dialah saya rujuk dalam bahasa.

Ayat 8a ialah ayat yang memaparkan kedudukan perkataan merujuk sebagai kata kerja transitif aktif dengan objek yang dirujuk ialah dia. Frasa sendi nama dalam hal bahasa mengikuti objek kata nama yang berfungsi sebagai keterangan. Oleh itu, apabila ayat tersebut dipasifkan, maka objek dia menduduki kontituen subjek seperti dalam ayat 8b. Ayat 8c pula ialah ayat bersusunan songsang ragam pasif dengan partikel –lah diwujudkan.
Ayat 9 pula memasukkan perkataan tempat dan kegramatisannya terpelihara apabila penggunaan merujuk diganti dengan perkataan kata nama rujukan. Hal ini sesuai dengan maksud perkataan rujukan itu sendiri yang diberikan oleh Kamus Dewan, iaitu keterangan lanjut mengenai sesuatu perkara (buku dan lain-lain), sumber untuk dirujuk. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995) susunan Hj. Zainal Abidin Safarwan turut memberikan makna rujukan sebagai punca, sanad, penunjuk, peringatan, semakan, sumber dan keterangan lanjut. Oleh itu, perkataan dia dan tempat dalam ayat tersebut membawa makna sumber untuk dirujuk mengenai sesuatu perkara dan hal ini selaras dengan salah satu makna perkataan tempat, iaitu orang yang jadi lawan bercakap, orang yang jadi tujuan untuk bertanya dan orang yang diserahi kepercayaan. Oleh itu perkataan rujukan lebih sesuai seperti contoh ayat 9 di bawah.

9a. Dialah tempat rujukan saya.
9b. Tempat rujukan saya dia.
9c. Dialah tempat rujukan saya (dalam hal bahasa).
9d. Tempat rujukan saya (dalam hal bahasa) dia.

Ketidaktepatan penggunaan perkataan merujuk sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap seperti dalam ayat  5b dan 5c dibincangkan dalam ayat 10 (10a, 10b, 10c dan 10d) dan ayat 11 (11a, 11b dan 11).

10a. Di sini tidak ada pakar untuk merujuk.
10b. Di sini tidak ada pakar untuk merujuk dalam hal bahasa.
10c. Pakar tidak ada.
10d. Pakar tidak ada di sini.

Ayat 10a dan 10b ialah ayat songsang dengan unsur keterangan di sini dikedepankan. Ayat 10c ialah ayat asal dalam susunan biasa tanpa sebarang unsur keterangan sementara ayat 10d ialah ayat yang memaparkan kedudukan asal frasa sendi nama di sini yang berfungsi sebagai unsur keterangan. Kedudukan perkataan merujuk dalam ayat tersebut dibincangkan dalam ayat 11 di bawah.

11a. Pakar tidak ada di sini untuk merujuk sesuatu dalam hal bahasa
11b. Pakar tidak ada di sini untuk kami merujuk sesuatu dalam hal bahasa.
11c. Pakar tidak ada di sini untuk kami merujuknya dalam hal bahasa.

Ayat 11a ialah ayat yang lengkap mengandungi subjek dan predikat serta dalam keadaan susunan biasa. Perkataan merujuk masih dikategorikan sebagai kata kerja transitif dengan diikuti oleh objek kata nama sesuatu dan ayat/frasa untuk merujuk sesuatu dalam hal bahasa ialah ayat/frasa yang berfungsi sebagai unsur keterangan kedua yang diperluas daripada unsur keterangan pertama di sini. Sebagai unsur keterangan, frasa untuk merujuk sesuatu seperti dalam ayat 11a telah mengalami proses pengguguran kata nama selepas kata sendi untuk dan dalam konteks ayat ini kata nama kami (atau kata nama lain yang sesuai) dimasukkan seperti dalam ayat 11b. Selain itu, objek yang mengikuti kata nama transitif merujuk boleh juga terdiri daripada kata ganti nama diri orang ketiga –nya dan dalam konteks ayat tersebut, -nya merujuk pakar yang menduduki konstituen subjek seperti dalam ayat 11c.
Kesimpulannya, perkataan merujuk tetap dikategorikan sebagai kata kerja transitif. Sebagai kata kerja transitif, kedudukan perkataan merujuk dalam ayat perlulah diikuti oleh objek yang terdiri daripada frasa nama. Sebarang bentuk kata sendi, contohnya perkataan kepada, dalam dan lain-lain tidak harus wujud selepas kata kerja transitif. Keutuhan tatabahasa bahasa Melayu perlu dipelihara secara cermat dan teliti sesuai dengan keunikan dan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Rujukan:
Ahmad Khair Mohd. Nor (2007).  Kata Kerja Tak Transitif  dlm Pelita Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm. 21

Arbak Othman (2007). Kamus Fajar KBSR. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Ketiga (2004). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus KBSR Dewan Bergambar Edisi Kedua (2003). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim et.al (1994). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin Safarwan (1995).  Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.











PELAKSANAAN KAEDAH  BACAAN DALAM  KELAS PEMULIHAN:
SATU KAJIAN KES


Oleh :
Hashima Bt Sulaiman
Jabatan Pengajian Melayu

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk melihat  kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru dalam mengajar bacaan kepada murid pemulihan. Kajian juga mengenalpasti respons murid ketika pengajaran guru dan masalah yang dihadapi oleh guru pemulihan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Responden kajian terdiri daripada tiga orang guru pemulihan dan 12 orang murid pemulihan dari tiga buah sekolah di Daerah Langkawi. Pengumpulan data kajian diperoleh secara kualitatif  dengan menggunakan pemerhatian, temu bual dan bukti dokumen. Data kajian kualitatif ini dianalisis secara manual mengikut tema-tema tertentu. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru pemulihan menggunakan kaedah abjad  yang bersifat tradisional dan respons yang ditunjukkan oleh murid-murid lebih menjurus kepada respons negatif.  Guru-guru pemulihan menghadapi pelbagai masalah dalam melaksanakan program pemulihan ini kerana kurang mendapat sokongan daripada pihak ibu bapa dan pihak sekolah.. Beberapa cadangan dikemukakan kepada pihak sekolah dengan menjadikan guru pemulihan sebagai guru pakar yang perlu diberi keistimewaan dan peluang untuk mendapatkan ilmu terkini sesuai dengan perkembangan zaman. Selain itu, perlunya sokongan daripada rakan sekerja dan ibu bapa dalam mempertingkat kesedaran bahawa murid-murid pemulihan juga inginkan kemajuan dan peningkatan dalam akademik

PENGENALAN
Pendidikan peringkat rendah ialah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Penguasaan kemahiran asas 3M ( membaca, menulis dan mengira ) perlu dikuasai di peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan. Oleh itu, program pemulihan mengutamakan prinsip menyelesaikan masalah seawal mungkin supaya tidak menjadi kronik dan berterusan. Satu tindakan segera yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasi murid tahun satu yang tidak dapat membaca ialah dengan mengadakan Kelas pemulihan.

Pernyataan Masalah
Statistik Jabatan Pendidikan Khas tahun ( 2004 ) menunjukkan jumlah murid tahap satu yang gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira ialah seramai 114 994. Daripada jumlah tersebut hanya 53.8% telah berjaya dipulihkan dan selebihnya gagal menguasai kemahiran 3M. Jumlah ini semakin serius dan membimbangkan apabila  statistik terbaru Jabatan Pendidikan Khas tahun ( 2008 ) menunjukkan seramai 162 000 pelajar buta huruf di Malaysia dan murid tahun satu yang tidak dapat menguasai kemahiran 3M seramai 54 229 orang iaitu satu jumlah peningkatan yang cukup drastik. Murid-murid yang tidak dapat membaca ini perlu ditangani secara intensif. Mengikut Awang ( 1980 ) pendidikan pemulihan ditujukan kepada murid-murid yang pencapaiannya di bawah pencapaian yang sepatutnya berdasarkan ciri tertentu murid itu. Murid itu perlu ditolong dengan diberi pemulihan  bagi menyelesaikan masalah pembelajaran.

Menurut Koh ( 1980 ) pengajaran pemulihan bukanlah pengajaran sembarangan tetapi pengajaran yang bertujuan khusus untuk mengatasi kelemahan. Ia mestilah berasaskan maklumat-maklumat terperinci tentang jenis-jenis dan punca-punca kelemahan seorang murid. Guru perlu memberikan lebih perhatian kepada murid berpencapaian rendah dalam satu-satu mata pelajaran. Menurut beliau lagi, kejayaan seorang guru dalam menjalankan pengajaran pemulihan bergantung kepada kecekapan dan kaedah yang guru laksanakan. Kemahuan untuk mencuba dan mempelajari perkara yang baru perlu ada. Kerjasama daripada rakan sejawat dan pihak pentadbir juga menjadi faktor yang menyokong kejayaan guru.

Chua ( 1992 ) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan adalah untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran dan gagal menguasai sesuatu kemahiran walaupun telah diberikan pengajaran biasa. Namun  kegagalan tersebut bukanlah disebabkan oleh kecacatan fizikal atau mental yang serius.

Berdasarkan pernyataan di atas, suatu kajian perlu  dijalankan untuk melihat kaedah yang digunakan oleh guru ketika mengajar bacaan kepada murid pemulihan. Selain itu, kajian ini akan mengenal pasti respons murid terhadap kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru dalam mengajar bacaan. Semasa melaksanakan pengajaran tersebut, sudah pasti guru-guru berhadapan dengan pelbagai masalah yang menghalang kejayaan program pemulihan. Hal ini disebabkan terlalu banyak yang diharapkan daripada guru-guru pemulihan dan terlalu banyak masalah yang mereka temui dalam menjalankan tugas.

Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan mengenalpasti cara pelaksanaan pengajaran bacaan kepada murid pemulihan. Kajian ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan kaedah pengajaran bacaan kepada murid pemulihan. Objektif   kajian ini secara khususnya ialah :
        i.            Mengenal pasti kaedah yang digunakan oleh guru untuk mengajar kemahiran membaca.
      ii.            Mengenal pasti respons murid terhadap kaedah yang digunakan oleh guru untuk mengajar kemahiran membaca.
    iii.            Meninjau masalah yang dihadapi oleh guru-guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran terhadap murid-murid pemulihan.


Soalan Kajian
Berdasarkan  kepada tujuan kajian di atas, maka kajian ini akan menjawab soalan-soalan berikut :
        i.            Apakah kaedah yang digunakan oleh guru untuk mengajar kemahiran membaca kepada murid-murid pemulihan?
      ii.            Apakah respons murid-murid pemulihan terhadap kaedah yang digunakan oleh guru dalam  mengajar kemahiran membaca ?
    iii.            Apakah masalah yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada murid-murid pemulihan?

Kerangka Konseptual Kajian





Definisi murid/kelas pemulihan
 

Kaedah pengajaran bacaan pemulihan
 
                                PELAKSANAAN PENGAJARAN
Kemahiran membaca KV+KV
 
Respons murid pemulihan
 
Masalah yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pengajaran kepada murid-murid  pemulihan
 


Kerangka konseptual menjelaskan tentang gambaran kajian secara umum. Kajian ini akan memberikan definisi secara terperinci tentang murid pemulihan dan 32 kemahiran yang terdapat dalam pengajaran bacaan. Fokus kajian ialah kepada kemahiran yang kelima iaitu perkataan KV+KV. Pengkaji cuba mengenal pasti apakah kaedah yang digunakan oleh guru untuk mengajar bacaan kepada murid-murid pemulihan serta melihat tindak balas atau respons murid terhadap penggunaan kaedah itu. Selain itu, pengkaji juga ingin meninjau masalah-masalah yang dialami oleh guru-guru pemulihan sehingga menghalang mereka meningkatkan prestasi dalam menghapuskan buta huruf di negara kita. Bagi pengkaji pula murid pemulihan ialah murid lemah bacaan, namun mereka murid normal yang berpotensi untuk menguasai kemahiran membaca seperti rakan-rakan yang lain. Mereka akan dibimbing dan diajar oleh seorang guru khas di dalam kelas khas iaitu kelas pemulihan yang boleh membantu mereka untuk membaca. Guru yang mengajar tersebut perlu mengikut kaedah pengajaran  dan melaksanakannya dengan baik.

Batasan kajian
Batasan  kajian ini akan dibuat kepada murid-murid pemulihan  tahun tiga di tiga buah sekolah Daerah Langkawi. Sekolah yang dipilih ialah Sekolah Rendah Kebangsaan Penghulu Ahmad, Sekolah Rendah Kebangsaan Kelibang  dan Sekolah Rendah Kebangsaan Ewa. Maka dapatan kajian ini mungkin tidak boleh digunakan untuk daerah-daerah atau negeri-negeri lain yang mempunyai persekitaran yang berbeza. Pengkaji hanya akan melihat kepada kaedah pengajaran bacaan dalam kelas pemulihan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Fokus kemahiran ialah perkataan KV+KV yang terdapat dalam sukatan pemulihan. Sampel yang digunakan ialah tiga orang guru pemulihan dan dua belas orang murid pemulihan tahun tiga. Pengkaji akan membuat pemerhatian  selama 30 minit waktu pengajaran ketika mata pelajaran bahasa Melayu. Pengkaji turut membuat temu bual untuk mengukuhkan dapatan pemerhatian mengenai kaedah pengajaran guru dan melihat respons murid ketika waktu pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, pengkaji juga akan mengadakan sesi temu bual dengan guru untuk mengupas masalah yang timbul semasa mengendalikan pengajaran bacaan. Pengkaji hanya akan menfokuskan kepada kaedah yang guru gunakan untuk mengajar bacaan perkataan iaitu kemahiran KV+KV kepada murid pemulihan.

Kepentingan Kajian
Kajian ini menerangkan bagaimana pelaksanaan pengajaran bacaan oleh guru dalam kelas pemulihan boleh mempengaruhi tumpuan murid terhadap pelajaran. Kajian ini bertujuan untuk memberi gambaran tentang respons murid terhadap pelaksanaan pengajaran guru. Kepentingan kajian ini kepada guru-guru pemulihan ialah mereka dapat menentukan apakah kaedah  pengajaran bacaan yang sesuai dengan tahap kemahiran murid. Pemilihan kaedah yang sesuai merupakan asas dalam memastikan murid dapat membaca seterusnya dapat belajar seiring dengan rakan sebaya yang lain dalam kelas biasa. 
Kajian ini juga memberi kepentingan kepada pihak sekolah iaitu menyedarkan pihak pentadbir tentang masalah yang dihadapi guru pemulihan dalam mengendalikan kelas tersebut. Pihak sekolah harus menyediakan kemudahan yang mencukupi agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan berkesan. Selain itu, pemilihan guru untuk mengajar kelas pemulihan tidak boleh dibuat secara rambang atau sesuka hati kerana kesannya akan cukup mendalam kepada murid pemulihan seperti guru yang berasa terpaksa dan tidak berminat untuk mengajar murid pemulihan. Bebanan untuk mengajar murid pemulihan harus ditanggung oleh pihak sekolah dan guru-guru yang lain dan bukannya diserahkan bulat-bulat kepada guru pemulihan. Kepentingan kajian ini juga ditujukan kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengadakan kursus, bengkel dan latihan dalaman secara intensif dan berkala untuk guru-guru pemulihan bagi menyediakan kemahiran dan pengetahuan dalam mengendalikan kelas pemulihan. Penganjuran kursus yang berterusan dapat memberikan input yang terkini dan berguna kepada guru pemulihan untuk mengatasi masalah tidak dapat membaca murid pemulihan.
Kepentingan kajian ini kepada Pusat Perkembangan Kurikulum ialah dapat merancang dan mengenal pasti aktiviti pengajaran yang sesuai dengan kemampuan murid dalam kelas pemulihan. Kepentingan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia pula khususnya Jabatan Pendidikan Khas ialah dapat memberi perhatian kepada keperluan untuk ditambah peruntukan kewangan bagi tujuan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran murid pemulihan.  

SOROTAN KAJIAN
UNESCO telah mengisytiharkan tahun 1990 sebagai Tahun Literasi Antarabangsa (LTA). Pengisytiharan LTA adalah bertujuan untuk menghapuskan buta huruf  Pengisytiharan ini mengikut Ryan ( 1990 ) dibuat kerana dianggarkan terdapat 963 juta orang dewasa yang berumur 15 tahun ke atas di dunia adalah tidak boleh membaca dan lebih daripada 125 juta tidak lagi didaftarkan untuk ke sekolah. Mereka ini mungkin akan menjadi buta huruf dewasa pada abad ke 21. Perangkaan KPM telah menunjukkan terdapat 149 020 murid yang belajar di sekolah rendah seluruh negara tidak dapat menguasai kemahiran asas 3M ( Jabatan Pendidikan Khas 2004 ).
Masalah buta huruf sudah lama disedari oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu dalam KBSR , Kementerian Pelajaran telah menegaskan betapa pentingnya pelaksanaan pendidikan pemulihan dalam bilik darjah. Bagi melaksanakan pendidikan ini dengan lebih berkesan KPM telah melantik 2000 orang guru pemulihan khas  bagi penempatan
seluruh negara. Guru-guru ini telah dilatih di Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur dengan fungsi utama mereka adalah untuk mengatasi murid-murid yang lambat menguasai kemahiran membaca.( Siti Meriam, 1998 ) Mengikut buku panduan program pemulihan Kurikulum Baru Sekolah Rendah  (KBSR) tahap satu, objektif utama pengajaran pemulihan adalah untuk membantu murid mengatasi masalah pembelajaran, membantu mengubah sikap negatif, meninggalkan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran, memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pelajaran.

Kaluger dan Kolson ( 1978 ) menyifatkan bahawa murid-murid tidak tahu membaca sudah menjadi masalah yang besar kepada pihak sekolah. Kenyataan ini dibuat berdasarkan kajian Leary ( 1965 ) yang mendapati 25% kegagalan murid-murid berpunca daripada masalah tidak boleh membaca. Kajian-kajian tentang masalah murid tidak boleh membaca ini sudah dibuat sejak dahulu lagi. Daripada keseluruhan pelajar sekolah memang akan terdapat murid yang tidak boleh membaca. Kenyataan ini telah dibuat oleh beberapa ahli akademik seperti Monrea ( 1939 ) bahawa 12 % hingga 15% murid menghadapi masalah tidak boleh membaca. Newborough dan Kelly ( 1962 ) yang membuat kajian terhadap 3949 orang murid mendapati 14% murid-murid berada di bawah tahap pencapaian sepatutnya.

Azman ( 1986 ) menerangkan bahawa pada akhir tahun 1970an banyak laporan menyatakan ramai murid sekolah rendah tidak boleh membaca dan tidak cekap membaca. Beliau mencadangkan agar kaedah mengajar bacaan bahasa Melayu di peringkat awal dikaji semula supaya lebih sesuai, mudah dan berkesan.

Mok ( 1994 ) menjelaskan konsep pendidikan KBSR dan KBSM tertumpu kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira. Oleh itu sebelum membuat aktiviti pemulihan seorang guru perlu mengetahui dan mengenalpasti apakah masalah penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira yang dihadapi oleh murid pemulihan.

Syed Abu Bakar ( 1994 ) menyatakan bahawa masalah tidak boleh membaca mungkin berpunca daripada pengabaian ibu bapa dan guru dalam memberi perhatian awal kepada anak-anak. Beliau mencadangkan supaya seorang guru mengajar membaca dengan menggunakan pendekatan pengajaran secara individu  dan menggunakan kaedah yang mampu menarik minat murid untuk belajar. Zaidah  (1978 ) telah membuat kajian terhadap murid-murid darjah dua di dua buah sekolah yang berkaitan dengan kemahiran asas bacaan Bahasa Melayu dari segi huruf, suku kata dan gabungan bunyi suku kata. Menamakan huruf-huruf  abjad , membaca dengan membunyikan suka kata serta menggabungkan bunyi suku kata merupakan kelemahan yang wujud di peringkat awal proses pembelajaran bahasa Melayu yang dikelas pasti oleh beliau dalam kajiannya.

Kailsan ( 1983 ) mendapati bahawa kebolehan membaca adalah dipengaruhi oleh bahan-bahan statik, kemudahan yang ada di rumah serta galakan yang diberikan oleh ibu bapa. Hasil kajian Tunmer dan Nesdale ( 1985 ) mendapati bahawa pembahagian dan pengadunan bunyi huruf dalam pengajaran bacaan dapat membantu meningkatkan perkembangan kemahiran membaca.



METODOLOGI
Lokasi Kajian
Lokasi kajian dijalankan di  tiga buah sekolah di daerah Langkawi. Sekolah yang dipilih ialah Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad, Sekolah Kebangsaan Kelibang dan Sekolah Kebangsaan Ewa. Pemilihan sekolah ini berdasarkan lokasinya yang mudah dihubungi dan mempunyai kelas pemulihan. Murid-muridnya berbangsa Melayu dan bercakap loghat Kedah.

Reka Bentuk Kajian
Kajian ini berbentuk kajian kes yang menggunakan pendekatan kualitatif. Kaedah kajian kes secara kualitatif membolehkan pengkaji menyelidik, memerhati dan meneliti sesuatu peristiwa dan proses yang berlaku di persekitaran sebenar. Selain itu pengkaji berpeluang berinteraksi dengan sampel dan dalam hal ini pengkaji dapat memberikan gambaran holistik tentang apa yang berlaku di dalam kelas. Hal ini akan dapat mewujudkan pemahaman yang lebih baik bagi pihak pengkaji untuk membuat interpretasi data (Cronbach, 1975) 


Alat Kajian
Kajian ini menggunakan kaedah  pemerhatian, temu bual dan bukti dokumen. Pengkaji menggunakan purposive sampling iaitu sampel bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Data kajian yang dikumpulkan melalui pemerhatian, temu bual dan bukti dokumen ini adalah sebahagian daripada proses triangulasi yang dapat menghasilkan dapatan yang lebih tepat dan meyakinkan tentang suatu konsep yang dikaji.
Pemerhatian
Pemerhatian dibuat dalam kelas pemulihan tahun tiga di tiga buah sekolah. Pengkaji membuat dua kali pemerhatian untuk setiap sekolah. Kali pertama untuk melihat pengajaran guru dan kali kedua untuk melihat respons murid sewaktu pengajaran guru. Pengkaji mencatat perlakuan subjek berdasarkan senarai semak pemerhatian. Pemerhatian dibuat selama 30 minit iaitu satu waktu pengajaran. Pemerhatian ini bersifat non- participant observation iaitu pengkaji tidak terlibat aktif dalam kelas semasa pemerhatian dibuat. Oleh itu, pengkaji berada di sudut belakang kelas untuk melihat perlakuan subjek. Pengkaji menyediakan senarai semak pemerhatian untuk melihat kaedah pengajaran guru dan senarai semak pemerhatian untuk melihat respons murid ketika P&P berlangsung.

Temu bual
Sesebuah kajian kes yang bersifat kualitatif, cara yang lazim digunakan untuk mengutip data deskriptif adalah melalui temu bual  (Merriam, 1988 ). Dalam kajian ini temu bual digunakan bersama-sama dengan pemerhatian. Tanpa penggunaan temu bual, data yang diperoleh melalui pemerhatian tidak dapat memberi gambaran yang lengkap tentang apa yang diperhatikan.  Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang kaedah yang digunakan oleh guru dalam mengajar bacaan murid pemulihan maka data temu bual dapat menyokong dapatan kajian.  Selain itu, pengkaji dapat mengupas masalah yang guru hadapi ketika melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada murid-murid pemulihan. Pengkaji menamakan ketiga-tiga orang guru sebagai R1G sebagai responden pertama guru,  R2G ialah responden kedua guru dan R3G ialah responden ketiga guru. Pengkaji membuat temu bual berstruktur dengan menyediakan 10 soalan temu bual terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat daripada responden. Soalan-soalan yang dikemukakan adalah berkaitan dengan:

i.                    kaedah pengajaran
ii.                  minat guru
iii.                bahan bantu mengajar
iv.                 masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan pengajaran
v.                  hubungan dengan pihak pentadbir
vi.                hubungan dengan rakan sejawat
vii.              hubungan dengan ibu bapa murid
viii.            senarai tugas guru
ix.                kepakaran guru
x.                  masalah murid pemulihan
Temu bual itu dilaksanakan secara tidak formal untuk mewujudkan suasana yang selesa antara pengkaji dengan semua responden ( R1G, R2G, R3G ), mewujudkan kebiasaan dan hubungan keakraban. Selain itu, renponden akan berasa lebih bebas untuk meluahkan perasaan dan mengemukakan pendapat mereka. Untuk tujuan itu, temu bual tidak dirakamkan sebaliknya pengkaji menulis dalam buku catatan lapangan.
Bukti dokumen
Di samping kaedah pemerhatian dan temu bual, data juga diperoleh daripada dokumen. Dalam kajian ini beberapa jenis dokumen bertulis digunakan. Jenis yang pertama ialah dokumen awam iaitu statistik tentang bilangan murid pemulihan dan rekod pencapaian pelajar diteliti. Jenis dokumen yang kedua ialah dokumen pribadi yang dihasilkan oleh peserta kajianialah data pribadi, senarai tugas di sekolah, kelulusan akademik serta senarai kursus pemulihan yang pernah dihadiri. Pengutipan dan pengumpulan maklumat daripada dokumen yang disebutkan di atas membolehkan pengkaji menambah, membandingkan dan memperkukuhkan data yang diperoleh.

Sample kajian
Sampel kajian yang dipilih ialah tiga orang guru pemulihan yang dinamakan sebagai  R1G, R2G, R3G manakala sampel untuk murid seramai 12 orang  iaitu pemulihan murid tahun tiga dari tiga buah sekolah di Daerah Langkawi. Mereka ialah murid-murid yang berumur sembilan tahun dan sedang mengikuti kelas pemulihan di tahun tiga di sekolah tersebut. Mereka tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Kegagalan menguasai kemahiran asas ini diperoleh daripada rekod ujian yang dilaksanakan. Pengkaji menggunakan purposive sampling iaitu memilih sampel untuk memenuhi objektif kajian.

Prosedur
Bagi melancarkan proses kajian ini, satu permohonan telah dibuat untuk mendapat kebenaran daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan KPM. Selain itu, pengkaji juga meminta kebenaran dari Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan seterusnya mendapatkan kebenaran dari Pejabat Pelajaran Daerah  (PPD ) Langkawi. Selepas semua urusan ini selesai, pengkaji langsung berjumpa dengan Guru Besar  untuk memohon kebenaran membuat kajian di sekolah tersebut.

Kaedah merekod data
Untuk sesi pemerhatian, pengkaji menggunakan senarai semak pemerhatian ketika melihat pengajaran guru dan ketika melihat respons muri-murid.. Manakala untuk data temu bual pengkaji  menggunakan 10 soalan temu bual berstruktur yang diajukan kepada responden berbentuk temu bual tidak formal. Untuk mengukuhkan dapatan, pengkaji juga menggunakan kaedah bukti dokumen. Dalam kajian ini beberapa jenis dokumen bertulis digunakan iaitu dokumen awam dan dokumen pribadi.
Kaedah menganalisis data
Data akan dianalisis mengikut tema-tema secara manual yang ditetapkan dan diselaraskan dengan soalan-soalan kajian. Data dianalisis secara diskriptif kerana pengkaji bertindak sebagai instrumen kajian. Analisis data dibuat dengan melihat semula senarai semak pemerhatian, catatan nota lapangan daripada  soal jawab temu bual dan salinan bukti dokumen yang diperoleh.
ANALISIS DAPATAN KAJIAN
Analisis data - tema 1
Soalan kajian 1 :
i.        Apakah kaedah yang digunakan oleh guru untuk mengajar kemahiran membaca murid-murid pemulihan?
          Jadual 1 :Kaedah Mengajar Bacaan
Bil        Kaedah                                       Bilangan                Peratus
                                                                Responden              ( % )
                                                                Guru                        
1.            Kaedah abjad                                     3                      100%
2.            Kaedah Pandang dan Sebut             2                      66.6% 
3.            Kaedah Fonik/bunyi                         1                      33.3%             
4.            Kaedah gabungan bunyi-kata                      0                      0%                  
5.            Kaedah VAK                                      0                      0%                  
Analisis data - tema 2
Soalan kajian 2 :
ii.      Apakah respons murid-murid terhadap kaedah yang digunakan oleh guru dalam  mengajar kemahiran membaca?
Pengkaji menggunakan instrumen senarai semak pemerhatian dan bukti dokumen untuk melihat respons murid dalam pengajaran bacaan. Pemerhatian kepada sampel murid-murid pemulihan ini dibuat dalam masa 30 minit pengajaran. Bilangan sampel seramai 4 orang untuk setiap satu sekolah iaitu murid pemulihan tahun tiga. (12 orang sampel untuk 3 buah sekolah ). Pengkaji membuat analisis keseluruhan kepada 12 orang sampel. Berdasarkan pemerhatian, guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah abjad untuk mengajar kemahiran KV+KV. Berikut ialah dapatan kajian yang dapat dianalisis:
Jadual 2: Respons Murid Ketika Pengajaran dan Pembelajaran Berlangsung
Bilangan sampel         Bentuk respons murid
( 12 orang )                 1          2          3          4          5          6          7          8                     
Sampel 1                     x          x          /          x          /          /          x          x
Sampel 2                     x          x          /          /          /          /          x          /
Sampel 3                     x          /          x          x          /          x          /          x
Sampel 4                     x          x          /          /          /          /          x          /
Sampel 5                     x          x          /          x          x          /          x          /
Sampel 6                     x          x          x          x          /          /          x          x
Sampel 7                     x          x          /          x          x          /          /          x
Sampel 8                     x          /          /          x          x          /          x          x
Sampel 9                     x          x          /          x          x          /          x          /
Sampel 10                   x          x          /          /          x          /          x          x
Sampel 11                   x          /          /          /          /          /          x          x
Sampel 12                   x          x          /          x          x          /          x          x
Jumlah                        0          3          10        4          6          11        2          4
Petunjuk :
Bentuk respons murid:
1.      Angkat tangan ketika menjawab
2.      Menyoal guru
3.      Berjalan-jalan di dalam kelas
4.      Bertindak sebagai ketua
5.      Bermain sendirian dengan alat tulis
6.      Bersembang dengan kawan
7.      Berkhayal/mengantuk
8.      Bermain di bawah meja

Jadual 3 : Respons Murid Ketika Pengajaran Guru
______________________________________________________________
Bentuk respons murid:                                  Bilangan            Peratus( % )
______________________________________________________________
1.      Angkat tangan ketika menjawab                       0                                  0%
2.      Menyoal guru                                           3                                  25%
3.      Berjalan-jalan di dalam kelas                  6                                  50%
4.      Bertindak sebagai ketua                          4                                  33%
5.      Bermain sendirian dengan alat tulis       6                                  50%
6.      Bersembang dengan kawan                    10                                83.3%
7.      Berkhayal/mengantuk                            2                                  17%
8.       Bermain di bawah meja                         4                                  33%
______________________________________________________________
Secara keseluruhannya, pengkaji dapat merumuskan bahawa sampel murid kelihatan bosan dengan corak pengajaran guru yang boleh dianggap tradisional. Berdasarkan pemerhatian, pengkaji mendapati tidak ada sampel murid yang mengangkat tangan untuk menjawab soalan atau menyoal guru iaitu 0% ketika guru meminta murid untuk mengeja perkataan suku kata KV+KV ( ke ju ). Murid-murid lebih bersikap pasif dan akhirnya guru menjawab sendiri soalan yang dikemukakan. Sesi soal jawab antara guru dan sampel murid berlangsung secara tidak formal iaitu guru langsung tidak menegur atau tidak meminta murid untuk mengangkat tangan. Mengangkat tangan untuk menjawab soalan merupakan respons yang positif, namun langsung tidak kelihatan sepanjang pemerhatian pengkaji. Respons positif  lain yang dikesan oleh pengkaji ialah menyoal guru dan bertindak sebagai ketua apabila diminta oleh guru iaitu 33% seperti yang dinyatakan dalam jadual di atas.


Analisis data – tema 3
Soalan kajian 3 :
iii.    Apakah masalah yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pengajaran kepada murid-murid pemulihan?
Pengkaji menggunakan kaedah temu bual dengan mengajukan 10 soalan berstuktur untuk mengupas masalah yang dihadapi oleh responden dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada murid pemulihan. Selain itu, dapatan data disokong oleh bukti dokumen pribadi seperti pengalaman mengajar dan senarai tugas responden sepanjang tahun.
Jadual 4: Masalah Dalam Pelaksanaan Pengajaran Pemulihan
           
            Kategori  Masalah                                                      R1G     R2G     R3G
            _________________________________________________________________
1.      Murid kurang bersedia untuk belajar                 /          /          /
2.      Persepsi rakan sejawat                                        /          /
3.      Bilangan murid yang ramai dalam kelas                       /          /         
4.      Murid terlalu aktif/banyak bergerak                             /          /
5.      Guru pemulihan kurang kepakaran                   /          /         
6.      Kekurangan bahan bantu mengajar                  /          /         
7.      Halangan program KIA2M                                /          /          /
8.      Kekurangan peruntukan kewangan                  /          /          /
9.      Tidak mendapat sokongan ibu bapa/ waris      /          /          /
10.  Bebanan kerja guru                                             /          /          /
Petunjuk :
R1G= Responden 1
R2G= Responden 2
R3G= Responden 3
Analisis data dapatan temu bual responden dalam kalangan guru menunjukkan bahawa murid-murid kurang persediaan untuk menghadapi pelajaran kerana setiap kali mereka datang tanpa alat tulis yang lengkap (R1G, R2G,R3G). Faktor kurang persediaan ini disokong oleh faktor latar belakang keluarga atau ibu bapa yang kebanyakannya bekerja di kampung sebagai petani dan nelayan. Analisis data dapatan temu bual dengan responden guru, mereka memaklumkan  masalah yang dihadapi ialah tiada hubungan yang erat antara ibu bapa dan guru. R2G menyatakan ”sepanjang saya bertugas di sini dan 4 tahun pengalaman mengajar pemulihan, tidak ada ibu bapa atau waris yang datang bertanya tentang perkembangan pelajaran anak mereka. Saya juga tidak pernah menghubungi mereka untuk berbincang tentang masalah pelajaran”. Berdasarkan ungkapan itu, pengkaji mendapat maklumat bahawa guru hanya mengetahui latar belakang keluarga murid-muridnya berdasarkan rekod data sekolah sahaja.



Rumusan Hasil Dapan Kajian
Kesimpulannya, guru pemulihan telah menggunakan pelbagai kaedah dalam pengajaran mereka dan sentiasa berusaha untuk meningkat kemahiran membaca murid-murid pemulihan. Mereka mempunyai alasan yang tersendiri ketika membuat pemilihan menggunakan kaedah tersebut. Pelaksanaan pengajaran menggunakan kaedah yang dipilih telah mengundang pelbagai respons murid-murid pemulihan. Respons tersebut ada yang berbentuk positif dan ada yang berbentuk negatif. Ketika menjalankan tugas dalam membimbing murid-murid agar boleh membaca, guru pemulihan tidak terlepas dalam menghadapi pelbagai masalah. Pada keseluruhannnya, kajian ini mengupas  tentang pelaksanaaan pengajaran bacaan di dalam kelas pemulihan dan melihat respons murid terhadap pelaksanaan tersebut di samping meninjau masalah yang timbul.

PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI
Kajian ini dibuat berlandaskan kepada satu hakikat bahawa kaedah pengajaran yang sesuai dengan tahap kemahiran murid dapat mempercepat proses bacaan murid pemulihan.  Rumusannya, kajian dapat mengenal pasti kaedah yang dilakukan oleh guru dalam mengajar bacaan kepada murid pemulihan. Selain itu, pengkaji juga dapat  mengenal pasti bentuk respons murid  ketika pelaksanaan pengajaran bacaan berdasarkan kaedah yang digunakan oleh guru. Dapatan yang terakhir ialah dapat meninjau masalah yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaan pengajaran kepada murid pemulihan.
Kaedah yang digunakan oleh guru untuk mengajar bacaan kepada murid-murid pemulihan ialah kaedah abjad, kaedah pandang dan sebut serta kaedah bunyi/fonik. Berdasarkan dapatan kajian didapati 100% responden menggunakan kaedah abjad untuk mengajar bacaan kepada murid pemulihan. Berdasarkan pemerhatian dan temu bual dengan responden, pengkaji mendapati mereka telah menggabungkan ketiga-tiga kaedah ini ketika mengajar bacaan kepada murid pemulihan. Apapun kaedah yang mereka gunakan semuanya bertujuan agar murid-murid mereka mendapat faedah dan dapat membaca. Dapatan ini disokong oleh  kajian yang dilakukan oleh William ( 1966 ) bahawa guru dapat mengubahsuai kurikulum dan seimbangkan dengan kaedah pengajaran untuk menghasilkan kejayaan kepada murid mereka. Pelaksanaan pengajaran yang dilakukan oleh responden kelihatan membosankan dan suasana kelas kurang ceria. Menurut Ee ( 1987 ) seseorang murid itu jika tidak diberi tumpuan dan bantuan akan mendapati sesuatu pengajaran itu amat membosankan dan menjadi tidak bermakna kepada mereka. Mereka lebih senang bermain sendiri atau bersembang dengan kawan-kawan. Respons yang negatif itu menunjukkan tahap disiplin yang rendah dalam kalangan murid pemulihan. Guru kurang menekankan faktor disiplin kepada murid-murid sehingga murid-murid tidak menghormati mereka. Responden mengabaikan pembentukan disiplin murid-murid. Sebagai contohnya, murid-murid tidak memberi salam kepada guru ketika masuk ke kelas dan tidak mengucapkan terima kesih kepada guru selepas tamat pengajaran.
Guru-guru pemulihan hanya menggunakan kaedah tradisional untuk mengajar bacaan kepada murid-murid pemulihan. Mereka sering menyalahkan pihak lain apabila murid tidak dapat  membaca. Situasi inilah yang menyebabkan peningkatan bilangan murid-murid yang tidak boleh membaca kerana mereka tidak berminat dengan cara pengajaran guru ( Kaluger dan Kolson, 1978 ). Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, kadar buta huruf di Malaysia akan terus meningkat berbanding statistik Jabatan Pendidikan Khas tahun ( 2008 ) menunjukkan seramai 162 000 pelajar buta huruf di Malaysia dan murid tahun satu yang tidak dapat membaca seramai 54 229 orang.

Didapati guru-guru pemulihan menghadapi banyak masalah dalam pelaksanaan pengajaran. Semua masalah tersebut datangnya daripada pihak pentadbir, pihak ibu bapa, pihak murid-murid dan pihak guru pemulihan itu sendiri. Ibu bapa atau waris tidak pernah mengambil tahu perkembangan pelajaran anak mereka malahan melepaskan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru-guru. Dapatan ini menyokong kajian William (1966 ) dalam menyelesaikan masalah murid-murid tidak boleh membaca, guru sering kali berhadapan dengan masalah ibu bapa yang tidak mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak mereka. Berkaitan dengan hubungan guru pemulihan dengan ibu bapa Haigh ( 1977 ) menyatakan bahawa ada guru tidak memahami latar belakang murid dan tidak mengenali ibu bapa mereka, kemungkinan besar tidak akan mencapai kejayaan dalam mengendalikan kegiatan  kelas pemulihan. Tansley dan Gulliford  ( 1977 ) menyarankan supaya ibu bapa murid pemulihan harus dididik dan dibimbing untuk membantu usaha pemulihan di sekolah. Ini adalah penting kerana kesan usaha guru pemulihan sering dihapuskan oleh keadaan rumah yang buruk dan kelalaian atau kejahilan ibu bapa berkenaan.
Kesimpulannya, pelaksanaan pengajaran pemulihan perlu dilakukan  secara sistematik. Pihak pentadbir tidak boleh sesuka hati menutup dan membuka kelas pemulihan. Bebanan kerja guru pemulihan perlu diambil kira kerana mereka telah memikul satu tanggungjawab yang cukup besar iaitu membantu murid-murid agar boleh membaca. Menurut Koh ( 1987 ) memberi tekanan kepada guru pemulihan akan membawa kesan yang negatif dalam pelaksanaan program pemulihan di sekolah. Guru pemulihan ialah guru yang perlu diberikan kepakaran dalam mengendalikan program pemulihan. selain itu, sokongan pihak sekolah dan rakan sekerja amat penting untuk membantu meningkatkan motivasi guru pemulihan ketika mengajar dan membantu murid yang tidak boleh membaca. Untuk mengatasi masalah buta huruf bukan terpikul di bahu guru pemulihan semata-mata kerana semua guru ialah guru pemulihan.

Implikasi Kajian
Kajian ini memberikan implikasi kepada beberapa pihak yang terlibat secara langsung antaranya ialah guru pemulihan. Guru pemulihan akan membuat refleksi diri bahawa kaedah yang mereka gunakan kurang memberikan kesan kepada murid-murid. Mereka akan mula mencari alternatif lain yang lebih baik dan berkesan. Hal ini kerana mereka diberikan satu amanah dan tanggungjawab yang cukup besar untuk memulihkan murid-murid yang tidak boleh membaca. Sekiranya guru mengajar “seperti hanya melepaskan batuh di tangga” maka kesannya akan lebih mendalam kepada murid-murid ini. Murid-murid akan berasa bosan dan tidak berminat untuk belajar.  Menurut Nicholson ( 1991 ) mendapati bahawa kanak-kanak yang lemah dalam bacaan, mengalami kesukaran membaca perkataan-perkataan yang disenaraikan. Namun jika pengajaran guru itu mampu memotivasikan dan menarik minat mereka dengan aktiviti yang menyeronokkan, sudah pasti murid akan memberikan respons yang positif ketika pengajaran guru.
Implikasi kajian kepada pihak pentadbir ialah guru besar mengetahui tentang masalah yang dihadapi oleh guru-guru pemulihan. Guru-guru yang lain juga berasa tanggungjawab bersama-sama untuk mengajar bacaan kepada murid pemulihan tanpa membebankan di bahu guru pemulihan semata-mata. Menurut Nicholson ( 1991 ) peranan pengajaran pemulihan tidak boleh dibebankan ke atas guru pemulihan sahaja, walaupun guru itu cukup terlatih. Bebanan tanggungjawab yang tidak sepatutnya dapat melunturkan semangat dan minat guru pemulihan untuk mengajar.
Implikasi kajian ini kepada pihak PPD ialah mereka akan mendapat maklum balas tentang masalah yang dihadapi oleh guru-guru pemulihan. Pihak PPD akan mengetahui betapa pentingnya mereka memberikan kerjasama kepada guru pemulihan. Selain itu, implikasi kajian ini kepada pihak KPM khususnya Jabatan Pendidikan Khas ialah mereka akan mendapat maklum balas bahawa masih ada guru-guru pemulihan yang mengajar secara tradisional dan menggunakan ilmu yang statik kerana kekurangan kursus penambahbaikan dan kekurangan input daripada pihak atasan selain kekurangan peruntukan kewangan. Murid-murid pemulihan diajar menggunakan kaedah yang sama walaupun beberapa tahun  mereka belajar dalam kelas pemulihan. Semua  faktor inilah yang menyebabkan murid pemulihan berasa  bosan dan tidak bermotivasi untuk belajar sehingga mereka terus mengekalkan peratusan murid-murid yang tidak boleh membaca.



Rumusan
Pendidikan pemulihan di sekolah rendah di negara kita boleh dikatakan masih dalam peringkat awal perkembangannya. Oleh itu, guru-guru pemulihan masih tercari-cari kaedah yang sesuai dengan tahap kemahiran murid-murid. Terdapat aspek pelaksanaan yang patut direnung, dikaji dan dinilai keberkesanannya supaya tindakan yang sesuai boleh diambil untuk memesatkan lagi kemajuannya dan mengurangkan kadar buta huruf di negara kita. Sebagai pendidik kita seharusnya optimis dan berfikiran bahawa tidak ada kanak-kanak yang tidak boleh dididik. Setiap masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan pengajaran kepada murid-murid pemulihan adalah cabaran yang dapat ditangani dengan sebaiknya jika kita amanah dengan tanggungjawab yang diberi dan bersungguh-sungguh untuk melihat murid-murid celik huruf.

RUJUKAN
Abd.Aziz Talib.( 1989 ).  Pengajaran dan Pengujian Bahasa: Perspektif untuk
 Perguruan.  Kuala Lumpur:  Nurin Enterprise.

Abu Bakar Mohd. Shah. ( 1980 ). Penapisan Kanak-kanak yang Mempunyai Masalah Kesukaran dalam Pembelajaran. Jurnal Perkupp National Association for Remedial Education Malaysia. Vol.1 m/s 22-22
Atan Long. ( 1982 ). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Had Salleh. ( 1980 ). Aliran dan Strategi dalam pendidikan Pemulihan. Jurnal
 Perkupp National Association for Remedial Education Malaysia. Vol.3 m/s 6-12

Azman Wan Chik ( 1986 ). Perkaedahan: Mengajar Bahasa Malaysia ( Jilid 1 ). Kuala
            Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. Kementerian Pelajaran
Malaysia. (2002 ). Laporan Kajian Pelaksanaan Program Pemulihan Khas di Sekolah Rendah. Kuala Lumpur.

Brennan, W.K. ( 1974 ). Shaping the Education of Slow Learners. London : Routlede &
            Kedan.
Blair, G. M., Jones, R. S.  & Simpson, R. H.  ( 1975 ). Educational Psychology.(Fourth
 Ed.) New York: Mac Millan Publishing Co.Inc.

Chua Tee Tee & Koh Boh Boon. ( 1992 ). Pendidikan Khas dan Pemulihan: Bacaan
            Asas. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darus bin Omar. ( 1982 ). Strategi ke arah membaca Jurnal. Jurnal Perkupp National
 Association for Remedial Education Malaysia. Vol.1 m/s 28.

Ee Ah Meng. ( 1987 ). Pedagogi untuk Bakal guru. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Gilliland. H. ( 1978 ). A Practikal Guide to Remedial Reading. Colombus : Charles E.
 Merrill Publishing Company, A Bell Howell Company.

 Gunasegaran A/L Karuppanan. ( 2004 ). Pemahaman Falsafah Pendidikan Khas.
 Prosiding Seminar Kebangsaan Pendidikan Khas. Jilid 1, halaman 20-33.

Guy .L.B., Barbara B.W., Miles A.T, & John B.W. (1994). Reading Difficulties:  Their
 Diagnosis and Correction.   Boston:  Allyn and Bacon.
Jabatan Pendidikan Khas. ( 2007 ). Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2008 ( Edisi Percubaan )
Isahak Harun. ( 1980 ). Beberapa Keadah Mengajar Murid-murid Membaca Peringkat
 Awal . Jurnal Dewan Bahasa. 24 (7). 25-35.
___________. ( 2004 ). Laporan Kajian Awal Membaca Bahasa Melayu. Tanjung
            Malim:UPSI.
___________. ( 2006 ). Mudah Membaca Bahasa Melayu : Edisi 1. Shah Alam: Fajar
            Bakti.
___________. ( 2006 ). Mudah Membaca Bahasa Melayu : Edisi 11. Shah Alam: Fajar
            Bakti.
Johnson, S. W. & Morasky, R.L ( 1980 ). Learning disablities, ( second Ed.) United
 State : Allyn and Bacon. Inc.
Kaluger, G. & Kolson,C.J. ( 1978 ). Reading and Learning disablities, ( second Ed.).
            Colombus : Charles E. Merrill Publishing Company.
Kamarudin Hj. Husin. (1998).  Pedagogi Bahasa.  Kuala Lumpur:  Longman Malaysia
            Sdn. Bhd.
_____________ . ( 1993 ). Perkaedahan Mengajar Bahasa. Kuala Lumpur : Kumpulan
            Budiman Sdn.Bhd.
Kementerian Pelajaran Malaysia ( 1982 ). Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR ).
            Buku Panduan Am. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koh Boh Boon. ( 1980 ). Peranan dan Tugas Guru Pemulihan di Sekolah Rendah.
            Kuala Lumpur : Universiti Malaya.
Marohaini Yusoff . ( 1999 ).  Strategi Bacaan dan Kefahaman.  Kuala Lumpur: Dewan
            Bahasa dan Pustaka.
Marzhuki Nyak Abdullah. ( 1994 ). Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu: Kurikulum
 Bersepadu Sekolah Rendah. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Mok Song Sang. ( 1990 ). Pemulihan, Pengayaan dan Isu Pendidikan, Siri Pendidikan
 Perguruan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Pusat Perkembangan Kurikulum. ( 1993 ). Buku Panduan Pemulihan dalam KBSR.
            Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia.
Robiah Kulop Hamzah. ( 1997 ). Guru Pemulihan Khas Fungsi dan Masalah. Kuala
 Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sharifah Rahmah Syed Ali . ( 1984 ). Pendidikan Pemulihan. Maktab Perguruan Ilmu
 Khas.
Suraya Adam.  ( 1997 ). Peranan Guru Pendidikan Khas Pemulihan di Sekolah-sekolah
 di  Daerah Hulu Langat Selangor. Projek Sarjana. UKM.

Syed Abu Bakar Syed Akil. ( 1997 ). Bimbingan Khas.Perkhidmatan Pendidikan
 Pemulihan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Thorndike, E. L. ( 1932 ). The Fundamental of Learning. New York : Teacher College
            Colombia University.

Walker, R. ( 1992 ). Teaching All The Children To Read. Buckingham : Open University
            Press.









KONSEP ETNOSENTRISME:   PERBANDINGAN SIKAP PENGARANG HIKAYAT ANGGUN CHE TUNGGAL DAN HIKAYAT BANJAR

Oleh;
Arfah Bt Ahamad
Jabatan Pengajian Melayu
IPG Kampus Sultan Abdul Halim


Di Kepulauan Melayu, sikap etnosentrisme wujud sejak zaman awal sehingga abad ke-18, iaitu sebelum berlaku penjajahan Barat yang secara tidak langsung telah mengubah struktur budaya dan sosial masyarakat Melayu. Sebagaimana menurut Smith (dlm. Noriah, 2006), situasi ini muncul berkemungkinan disebabkan oleh faktor ancaman  unsur-unsur dari luar terhadap struktur budaya tradisional, agama, serta hakisan dalaman nilai-nilai dan kesepaduan kelompok masyarakat tersebut. Malah, keadaan ini berkemungkinan juga berlaku semasa pertembungan tamadun yang menyebabkan kelompok atau masyarakat yang mundur akan terdedah kepada perubahan sosial dan budaya yang baru.
Dalam hal ini, Guido Bolaffi etc. (2003: 103) menjelaskan bahawa etnosentrisme merujuk kepada kecenderungan sesuatu kelompok anggota etnik untuk menggambarkan keistimewaan dan kehebatan kelompok mereka mengatasi kelompok yang lain, dan pada masa yang sama mereka juga membuat penilaian ke atas kelompok luar berasaskan kepada kaca mata mereka sendiri. Hal ini digambarkan seperti berikut;
                        This term indicates the tendency of members of an ethnic
                        group to privilege their group above all others and to judge
                        outsiders according to the group’s own values and ideas.
                                                                                     
Chris Barker (2004 : 63) juga menyatakan bahawa secara umumnya istilah etnosentrisme merujuk kepada suatu proses yang mana nilai dan cara dunia itu dilihat dalam satu budaya digunakan untuk memahami dan membuat penilaian ke atas budaya yang lain. Oleh itu, etnosentrisme menunjukkan kepusatan dan keunggulan identiti budaya kelompok tertentu mengatasi budaya kelompok yang lain.
Hal ini turut ditegaskan oleh Smith (dlm. Noriah, 2006) bahawa etnosentrisme sememangnya menampilkan suatu sikap kesedaran yang tinggi akan keutamaan dan kesentralan sesuatu etnik. Malah Smith (1983: 159) juga berpendapat bahawa etnosentrisme sebenarnya bersifat protagonis, iaitu suatu bangsa yang dianggap menjadi pusat dunia dan mempunyai kehebatan tersendiri. Dalam hal ini, Noriah (2006: 153) berpendapat bahawa ekoran wujud sikap beginilah yang akan  merangsangkan semangat seterusnya memunculkan pelbagai gerakan tentangan oleh etnik dan gerakan pemulihan budaya. Dengan kata lain, jelaslah bahawa etnosentrisme merupakan satu terma yang digunakan untuk menggambarkan suatu sikap kesedaran tentang kehebatan dan kemuliaaan sesuatu kumpulan budaya tertentu.
            Etnosentrisme mempunyai kepelbagaian ciri yang ditampilkan untuk menonjolkan kehebatan dan kemuliaan sesuatu bangsa tersebut. Antara ciri-ciri etnosentrisme sepertimana yang diperlihatkan oleh Noriah (Dunia Sahibul Hikayat: 2006) ialah seperti gambaran kehebatan sesebuah negara, gambaran unsur-unsur spiritual kemunculan sesebuah pemerintahan, gambaran kelebihan dan ketinggian sesebuah negara bangsa tersebut, dan juga gambaran kelompok etnik yang hebat yang terdapat dalam sesebuah kelompok bangsa. Kelebihan dan ketinggian sesebuah negara bangsa tersebut, antaranya diperlihatkan melalui ketrampilan berperang (keupayaan dan kemahiran tenteranya), muslihat yang digunakan, kecerdikan bangsa tersebut, keberanian dan kemahiran berperang, penampilan tingkah laku dan moral, serta kedaulatan raja sesuatu bangsa negara tersebut. Manakala gambaran kehebatan kelompok etnik pula, antaranya ditonjolkan dalam aspek superior, kegagahan, bijaksana dan beradab (cultured).
            Berdasarkan ciri-ciri etnosentrisme yang diketengahkan ini, pengkaji akan mengaplikasikannya dan membuat perbandingan di antara dua buah hikayat, iaitu antara Hikayat Anggun Che Tunggal dan Hikayat Banjar.  Walaupun bukan semua ciri etnosentrisme terdapat dalam kedua-dua hikayat tersebut, tetapi pengkaji akan cuba memperlihatkannya serta membandingkan kehebatan dan keunggulan sesuatu kelompok bangsa sebagaimana yang digambarkan oleh pengarang masing-masing. Dalam Hikayat Anggun Che Tunggal  antara lain mengisahkan tentang pelayaran Anggun Che Tunggal ke negeri Portugal untuk menuntut bela terhadap Raja Bedurai Putih yang telah memusnahkan negeri Tiku Pariaman (di daerah Minangkabau) dan melarikan beberapa orang puteri raja (Jelani, 2002). Manakala dalam Hikayat Banjar pula antara lain ceritanya adalah berkenaaan dengan pengasasan dinasti diraja atau asal usul raja-raja tempatan. Kisahnya berkaitan dengan Lambu Mangkurat dan keturunan Raja-raja Banjar dan Kota Waringin (terletak di Kalimantan Barat Daya) yang mewakili tradisi pensejarahan kerajaan Melayu yang wujud di Kalimantan Tenggara sehingga 1860 (Hikayat Banjar, 1990).  Walaupun kedua-dua hikayat ini menampilkan tema penceritaan hikayat yang berbeza, namun pengkaji akan cuba melihat kedua-dua hikayat ini melalui perspektif etnosentrisme dalam menonjolkan kehebatan dan kemuliaan bangsa masing-masing.
            Dalam usaha menggambarkan kehebatan dan keunggulan, serta kemuliaan bangsa masing-masing, antara ciri etnosentrisme yang ditonjolkan ialah pengarang menggambarkan kehebatan sesebuah negara yang diduduki oleh sesuatu bangsa tersebut. Gambaran seperti ini sebagaimana terdapat dalam Hikayat Anggun Che Tunggal (1985: 1), iaitu pengarang telah memerikan kehebatan dan keunggulan negeri Tiku Pariaman sebagai;
            “Maka cukup lengkap peraturan negeri itu dengan kota parit, alat senjata segala
orang besar, rakyat tentera hina-dina, tiadalah tepermanai banyaknya dagang
senteri masuk berniaga ke dalam negeri itu…ia pun  berputera delapan orang,
empat laki-laki empat perempuan … Maka terlalu baiklah parasnya tuan puteri
keempat itu, seperti anak-anakan bidadari, tiadalah tolok bandingnya …”

Gambaran yang diperlihatkan pengarang ialah betapa hebat negeri Tiku Pariaman kerana kuasa, kedudukan, prestij, dan kekayaan bertumpu di negeri Tiku Pariaman. Tetapi satu lagi kelebihan negeri Tiku Pariaman ialah mempunyai empat orang puteri yang terlalu cantik sehingga menjadi punca serangan daripada Raja Bedurai Putih (Portugis). Dalam hal ini, usaha atau sikap pengarang yang telah menerapkan pandangan yang sedemikian terhadap negeri Tiku Pariaman, sehingga telah menimbulkan kecemburuan pihak lain, iaitu Portugis, serta mendorong mereka menakluki negeri Tiku Pariaman.
Begitu juga dalam Hikayat Banjar (1990: 249), pengarang juga menonjolkan kehebatan sesebuah negara yang didiami oleh kelompok bangsa Jawa Banjar. Antara kehebatan tersebut yang ditonjolkan oleh pengarang ialah kehebatan negara Dipa yang aman makmur di bawah pemerintahan Lambu Mangkurat setelah kematian Ampu Jatmaka.
… Lambu Mangkurat sendirinyalah memerintah negeri itu yang diikut
oleh Aria Magatsari dan Tumanggung Tatah Jiwa itu. Di bawahnya itu
pula Patih Pasi, Patih Luhu, Patih Dulu; di bawahnya Sang Panimba
Sagara, Sang Pangaruntun Manau, Sang Pambalah Batung, Sang Jampang
Sasak; di bawahnya itu pula menteri empat puluh. Makmurlah negeri
Negara-Dipa itu.
                                                                       
            Gambaran ini menjelaskan bahawa pengarang ingin menonjolkan kehebatan negara tersebut walaupun bertukar tampuk pemerintahan tetapi masih mampu mengekalkan kegemilangan dan kemakmuran.
Manakala ciri etnosentrisme yang lain pula seperti kewujudan unsur-unsur spiritual berkaitan dengan kemunculan pemerintah dalam Hikayat Anggun Che Tunggal. Dalam hal ini, pengarang tidak memunculkan pemerintah Tiku Pariaman secara kebetulan, akan tetapi sebaliknya adalah melalui satu perancangan takdir yang diturunkan ke bumi untuk memulakan jurai pemerintah Melayu yang akan menzuriatkan keturunan raja-raja Melayu di dunia. Antara lain pengarang memperlihatkan keturunan Raja Anggun Che Tunggal adalah berasal daripada keturunan anak raja dari kayangan, Si Tompok Alam dari negeri Payung Sekaki (Hikayat Anggun Che Tunggal: 12). Manakala sewaktu bondanya Tuan Puteri Genta Permai hamil sehingga genap dua belas bulan Anggun Che Tunggal berada dalam kandungan dan ketika mengalami proses kelahirannya, tidak dapat dipastikan sifatnya kerana masih berada di dalam ‘simpulan’ dan kemudian jatuh ke atas tanah. Malangnya menurut ahli nujum, hanya pisau bernama Sadap Kesaktian kepunyaan Tuan Puteri Gondan Gandariah dari negeri Tiku Benua sahaja yang boleh mengambil anak raja di dalam tanah dan mengerat pusatnya. Setelah dihiris simpulan itu oleh Datuk Orang Kaya Besar maka nampaklah seorang putera yang terlalu kacak seperti bulan penuh purnama empat belas haribulan (Hikayat Anggun Che Tunggal: 13-15).
Mesej yang jelas ialah menggambarkan sikap pengarang yang ingin menunjukkan bahawa pemerintah Melayu ialah manusia pilihan dan layak menerima mandat daripada Tuhan untuk menjadi pemimpin negeri dan bangsa Melayu. Mereka memang dilahirkan dan dipilih untuk mentadbir dan memakmurkan alam.
Manakala dalam Hikayat Banjar (1990: 242), ciri etnosentrisme seperti kewujudan unsur-unsur spiritual berkaitan dengan kemunculan pemerintah Nagara Dipa diperlihatkan oleh pengarang melalui banyak kejadian atau peristiwa yang aneh. Antaranya seperti kemunculan gumpalan buih besar yang keluar dari air sungai. Di dalam buih itu tersembunyi Putri Tunjung Buih, iaitu bakal permaisuri Nagara-Dipa. Setelah dibina sebuah istana bertiangkan buluh berbintik dari gunung Batu Piring dan sehelai kain khas untuknya, maka barulah puteri tersebut keluar  dari dalam buih. Kejadian ini digambarkan seperti berikut;
Sudah itu maka Lambu Mangkurat menghadap pada puteri itu. Maka ia
bersama Putri Tunjung Buih kerana seperti bunga air. Maka ia kerana
raja air itulah maka puteri itu dapat dinamai Tunjung Buih …
Maka dipersembahkanlah kain kuning itulah, bernama kain langgudi,
Dipersembahkan Lambu Mangkurat kepada Putri Junjung Buih itu. Maka
putri itu keluar dari dalam buih itu. Rupanya gilang-gemilang, cahayanya
seperti kumala… Putri Junjung Buih naik berjalan keluar dalam buih itu
waktu isyak empat belas hari bulan.
                                                           
            Sebagaimana dalam Hikayat Anggun Che Tunggal, begitulah juga dalam Hikayat Banjar pengarang mahu menunjukkan bahawa salasilah keturunan pemerintahan Nagara Dipa bukanlah sebarangan orang, sebaliknya juga merupakan manusia pilihan yang hebat dan layak untuk menjadi pemimpin negeri dan bangsa Jawa Banjar.
            Pengarang memperlihatkan kehebatan dan keunggulan sesuatu bangsa melalui kelebihan dan ketinggian sesebuah negara.. Dalam Hikayat Anggun Che Tunggal, pengarang menonjolkan kelebihan dan ketinggian negeri Tiku Pariaman dalam pelbagai aspek, antaranya melalui ketrampilan berperang. Dalam kehebatan berperang pengarang memperlihatkan bagaimana sebelum memulakan langkah untuk mengamuk, Raja Anggun Che Tunggal telah menunjukkan kehebatan wira bangsa Melayu dengan membakar kemenyan mandung jati, kemudian mengasapkan ke tubuhnya dan berseru sambil berbaring, “…jikalau tiada tersapu arang di muka aku sekali ini, maka bertalak Allah aku tiada balik ke negeri Tiku Pariaman, mayat akulah balik.”( (Hikayat Anggun Che Tunggal: 69).  Setelah melakukan seruan tersebut, baginda berangkat membawa langkah gelombang dua belas (Hikayat Anggun Che Tunggal: 70);
 “Maka Raja Tunggal Junjungan pun segeralah menghunus pedang
 kesaktiannya itu, serta Bujang Selamat pun menghunus pedangnya
 juga lalu bertempik keduanya, suaranya seperti halilintar membelah
 gunung, habis gugur mumbang nyiur, orang mengandung tujuh bulan
 terpancut keluar anaknya, tiada sedar lagi.”

Dalam hal ini pengarang ingin menonjolkan bahawa untuk memulai langkah dan menghadapi peperangan, bangsa Melayu mempunyai cara dan kehebatannya yang tersendiri untuk menentang musuh sehingga dapat menewaskannya.
            Dalam Hikayat Banjar (1990: 325-327) pula pengarang juga menampilkan kelebihan dan ketinggian negara tersebut melalui kehebatan ketrampilan berperang Pangeran Samudra ketika menghadapi lawan ayahanda saudaranya sendiri, iaitu Pangeran Tumanggung. Dalam menghadapi situasi ini, baginda juga mempunyai strategi, iaitu ketika diminta beradu oleh Aria Taranggana antara Pangeran Tumanggung dengan Pangeran Samudra, manakala Aria Taranggana pula dikehendaki berlawan dengan Patih Masih. Apabila kedua perahu berlanggar, Pangeran Samudra meminta agar ayahanda saudaranya memukul dahulu kerana baginda tidak akan menderhaka orang yang menggantikan kedudukan ayahandanya. Melihat keadaan ini, hati pangeran Tumanggung menjadi lembut, lantas memeluk Pangeran Samudra. Ekoran peristiwa tersebut segala alat kelengkapan kebesaran dan tampuk pemerintahan diserahkan kepada Pangeran Samudra.
            Peristiwa ini menggambarkan kehebatan ketrampilan berperang oleh Pangeran Samudra yang menggunakan kaedah psikologi dan tidak mahu menderhaka telah menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta salasilah pemerintahan tanpa perlu ada pertumpahan darah.
            Dalam aspek persiapan atau kelengkapan berperang pula menggambarkan kelebihan dan ketinggian negeri Tiku Pariaman apabila Raja Anggun Che Tunggal diberikan perahu Dendang Panjang kepunyaan Tuan Puteri Gondan Gandariah sebagai kenderaan ke Teluk Tambang Papan untuk menyerang Raja Bedurai Putih. Kenderaan tersebut mempunyai keistimewaan dan kehebatan yang digambarkan seperti berikut;

“…membakar kemenyan mendung jati serta ditaburkan bertih, beras
kunyit dipercikkan tepung tawar serta dilimau dan dibedaki haluan Dendang
Panjang itu…lalulah berseru ditepuknya haluan Dendang panjang itu tiga
kali serta bersabda … Hai, Dendang Panjang, segeralah engkau turun ke laut
kerana engkau jadi kenaikan kakanda ini hendak berangkat belayar ke negeri
Teluk Tambang Papan.”
                                                            (Hikayat Anggun Che Tunggal: 41).

Selepas berbuat demikian, Dendang Panjang bergerak turun dengan sendirinya dan menjadi kenderaan Raja Anggun Che Tunggal sepanjang pelayarannya untuk menyerang Raja Bedurai Putih. Gambaran ini memperlihatkan bahawa pengarang ingin menunjukkan kehebatan perahu Dendang Panjang sehingga baginda berjaya mengalahkan Raja Bedurai Putih dan mengembalikan maruah bangsanya.
            Manakala dalam Hikayat Banjar (1990: 322-323) pula pengarang memperlihatkan kehebatan persiapan menghadapi peperangan yang dilakukan oleh Pangeran Samudra untuk menghadapi serangan daripada ayahanda saudaranya, Pangeran Tumanggung. Bagi menghadapi situasi ini, Pangeran Samudra telah mendengar nasihat daripada mangkubuminya, Patih Masih supaya mendapatkan bantuan daripada sultan Demak.
            Datang Patih Balit membawa surat itu menghadap sultan Damak, …
            Bunyinya: “Salam sembah putera andika pengeran di Banjarmasih
            Sampai kepada sultan Damak. Putera andika mencatu nugraha tatulung
            bantu tatajang sampian, kerana putera andika barabut kerajaan lawan
            patuh hua itu namanya Bantu tatajang sampian…”
            Maka kata sultan Damak:  “Mau aku itu membantu lamun anakku raja
            Bandjarmasih itu masuk agama Islam itu. Lamun tiada mau Islam tiada
            aku mau bertolong.”
                                                                                   
            Pangeran Samudra bersetuju dengan syarat tersebut dan beliau dan patih-patihnya telah memeluk agama Islam. Justeru, sultan Demak telah menghantar 1000 orang askar bersama seorang penghulu untuk mengislamkan mereka. Dengan bantuan tentera sultan Demak berserta tenteranya sendiri telah menguatkan barisan pertahanannya untuk menyerang Pangeran Tumanggung. Gambaran ini jelas menunjukkan pengarang cuba menonjolkan kehebatan dan ketinggian pemerintahan Banjar.
Selain itu, kelebihan dan ketinggian negeri Tiku Pariaman juga digambarkan melalui aspek kehebatan pakaian peperangan yang dipakai oleh Raja Anggun Che Tunggal (Hikayat Anggun Che Tunggal: 67-68).
“…dikeluarkan pakaian seperanggu, maka ia pun memakai:
Seluar panjut panjang kaki,
….
Dikena pula saf sakhlat ainul-banat yang bertatahkan permata intan dikarang
perbuatan Betara Kala dipuja dengan kesaktian;…
maka disisipkan:
                        Keris bernama Sembilawari,
                        Kurai berlapis dengan pamor,
                        Tuntungnya merah bagai api.
...        

Maka dikenakan pula tengkolok hitam bertatahkan nilam pualam
pusparagam bertajuk malai kemuncak gemala yang teramat terang
            cahayanya;… Maka diambilnya pula pedang kesaktian pusaka sudah temurun
            daripada moyanganda baginda Betara Guru Betara Kala, pedang bernama
            kipas Si Raja Tandang bentuk alang akan-akan lentik hujungnya; besi
            tongkat Ainul-jana yang beroleh khalifah daripada Allah akan memerintahkan
            alam dunia ini.”
                                               
Pengarang memperlihatkan kehebatan pakaian peperangan yang dikenakan oleh Raja Anggun Che Tunggal untuk menonjolkan keunggulan dan kemuliaan bangsa Melayu. Kehebatan dan keunikan pakaian peperangan tersebut telah menyebabkan Raja Anggun Che Tunggal berjaya mengalahkan Raja Bedurai Putih, sekaligus memperlihatkan kehebatan bangsa Melayu.
            Berbeza dengan Hikayat Banjar yang menampilkan tentang kisah salasilah keturunan raja-raja, maka pengarang cuba menonjolkan kehebatan pakaian dan alat-alat kebesaran raja-raja mereka. Gambaran kehebatan pakaian dan alat-alat kebesaran sebagaimana peristiwa keika Raden Putra hendak pergi ke balai pensiraman tempat adapt iastiadat perkahwinannya dengan Putri Junjung Buih. Satu suara dari kayangan telah menahannya dan berkata-kata, antaranya seperti berikut (Hikayat Banjar : 265);;
            “Hai Raden Surjanata, jangan tuan dahulu turun. Ini sambut mahkota dari
            langit akan tuan pakai pengantin itu. Maka mahkota ini mawastukan tuan
            menjadi raja terlalu lebih daripada segala raja-raja yang di bawah angina
            sekaliannya ini, sampai turun-temurun. Asal daripada ini sampai kepada
            esok lusanya anak cucu tuan menjadi raja terlebih tuahnya daripada
            sekaliannya raja-raja yang di bawah angin ini… Barang siapa kuawa dapat
            memakai mahkota ini maka ia itu ditunjukkan Allah menjadi raja …”
                                                                                   
            Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa pengarang mahu menonjolkan kehebatan salasilah keturunan raja Nagara Dipa melalui kehebatan pakaian atau alat kebesaran iaitu mahkota. Dalam hal ini, hanya mereka daripada keturunannya yang diangkat oleh Tuhan yang boleh menjadi pemerintah negeri ini, serta boleh memakai mahkota tersebut.
Pengarang juga menggambarkan kelebihan dan ketinggian negeri Tiku Pariaman dengan menonjolkan aspek keberanian dan kemahiran Raja Anggun Che Tunggal (Hikayat Anggun Che Tunggal : 17), antaranya ketika baginda berumur tujuh tahun baginda diserahkan mengaji Quran kepada Tuan Ulama sehingga khatam 30 juz, diserahkan mempelajari ilmu pencak silat, mempelajari adat resam, adat istiadat, dan bahasa, dan juga untuk mempelajari segala permainan anak-anak raja seperti catur, jogar, dan sepak raga. Manakala setelah baginda berumur enam belas tahun, baginda diajak oleh Nakhoda Bahar untuk berlawan catur baiduri, bermain jogar pualam, bermain sepak raga, dan bermain pedang bertetak dan bertikam bersungguh-sungguh sehingga tengkolok Nakhoda Bahar putus gugur ke tanah terkena hujung pedang kesaktian Kipas Si Raja Tandang. Malah kesemua perlawanan tersebut telah dimenangi oleh Raja Anggun Che Tunggal. Begitu juga pengarang menggambarkan kehebatan Raja Anggun Che Tunggal yang boleh memanggil angin ketika kematian angin menyebabkan perahu Dendang Panjang terkatung-katung di tengah lautan seperti gambaran berikut;
 “… maka ia pun berdirilah di haluan itu seraya menguraikan rambut
 panjangnya … demikian bunyinya;
Hai angin empat penjuru alam,
Turunlah si raja angin,
            minta layarkan Dendang Panjang ini segera sampai ke negeri Teluk Tambang
            papan..
(Hikayat Anggun Che Tunggal: 46)

Gambaran keberanian dan kemahiran Raja Anggun Che Tunggal yang digambarkan dalam pelbagai aspek oleh pengarang menunjukkan bahawa negeri Tiku Pariaman mempunyai kelebihan dan ketinggian berbanding bangsa Portugis. Kehebatan ini membolehkan baginda mengalahkan Raja Bedurai Putih serta menonjolkan keunggulan bangsa Melayu.
Walau bagaimanapun dalam Hikayat Banjar, pengkaji tidak menemui aspek keberanian dan kemahiran raja-raja secara menyeluruh, memandangkan hikayat ini lebih memberi tumpuan kepada salasilah keturunan pemerintahan masyarakat Jawa.
            Manakala aspek kedaulatan raja pula di dalam Hikayat Anggun Che Tunggal (1990: 100) yang ditonjolkan oleh pengarang menyebabkan bangsa Melayu dipandang tinggi dan dihormati oleh keturunan Raja Bedurai Putih. Sebagaimana diriwayatkan setelah mengetahui kekalahan adindanya Raja Bedurai Putih, Raja Portugal berasa gerun dan sanggup ‘memuliakan’ kedatangan Raja Anggun Che Tunggal dan rombongannya,
            “… kepada fikiran beta, baiklah kita persilakan Raja Tunggal Junjungan
 itu masuk ke dalam negeri kita ini, kita permuliakan supaya jangan jadi
 peperangan kita dengan dia, kerana sebab adik beta Raja Bedurai Putih
 pun sudah mati dibunuhnya, dan kapal jaga-jaga negeri ini pun sudah
 ditawannya. Jikalau kita lawan juga, tentulah kita tiada beroleh menang…”

            Mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang adalah jelas untuk menggambarkan keturunan raja-raja Melayu begitu digeruni oleh Raja Portugal ekoran daripada kekalahan saudaranya Raja Bedurai Putih. Hal ini menunjukkan bahawa keturunan raja-raja Melayu mempunyai kedaulatan yang tinggi.
            Begitu jugalah dengan kedaulatan raja-raja di dalam Hikayat Banjar  melalui gambaran pemakaian alat kebesaran mahkota yang diturunkan dari kayangan, iaitu hanya raja yang layak dan dipilih sahaja yang boleh memakai mahkota tersebut. Hal ini bermakna bahawa hanya raja yang berdaulat sahaja yang boleh memakai mahkota tersebut. Dalam kes ini, pengarang mahu menunjukkan bahawa jika raja itu tidak berdaulat, maka mahkota tersebut tidak akan padan dengannya. Gambaran ini sebagaimana telah berlaku kepada Pangeran Mangkubumi yang ingin menjadi raja menggantikan ayahandanya, sedangkan yang sepatutnya menjadi raja ialah Pangeran Samudra ( Hikayat Banjar: 300).
            Maka Pangeran Mangkubumi itu, sudah memakai perhiasan astilah kerajaan
            serta upacara seperti adapt dahulu kala, maka mahkota kerajaan yang jatuh
            dari udara itu hendak dipakai; tatkala hendak dibawa ke padudusan dikenakan
            sirah Pangeran Mangkubumi: sesak serta sendat mahkota itu…

            Selain itu, ciri etnosentrisme juga diperlihatkan melalui gambaran kelompok etnik yang juga hebat sehingga digeruni oleh bangsa lain. Dalam Hikayat Anggun Che Tunggal digambarkan watak Bujang Selamat yang gagah berbanding pendekar-pendekar lain. Antaranya beliau bijak mengatur strategi ketika sedang berdepan dengan Raja Bedurai Putih seperti mencadangkan agar semua panglima dan hulubalang berada di dalam Dendang Panjang menjaga keselamatan di situ, manakala hanya beliau dan Raja Anggun Che Tunggal sahaja yang pergi mengamuk. Beliau mengamuk di haluan kapal besar, manakala Rajanya mengamuk dari sempadan timba ruang ke buritan (Hikayat Anggun Che Tunggal: 68). Ekoran daripada idea Bujang Selamat telah membuahkan kejayaan apabila mereka berjaya membunuh Raja Bedurai Putih. Gambaran kebijaksanaan Bujang Selamat yang ditonjolkan oleh pengarang menunjukkan bahawa kelompok etnik bangsa Melayu juga mempunyai kehebatan tersendiri sehingga mampu membantu raja mereka.
            Manakala dalam Hikayat Banjar (1990: 270) pengarang telah memperlihatkan kedudukan Lambu Mangkurat sebagai mangkubumi yang dikagumi dan digeruni oleh lawan. Gambaran ini menonjolkan bahawa kehebatan etnik Jawa telah menguatkan lagi kebesaran dan keunggulan raja mereka. Gambaran ini dapat dilihat seperti berikut;
            …adalah raja Majapahit itu takut pada Maharaja Surjanata itu. Karena
            bukannya raja-raja seperti raja negeri lain-lain itu asalnya kedua laki
            isterinya itu maka raja Majapahit hebat itu; lagi pula Lambu Mangkurat
            itu yang ditakutinya oleh raja Majapahit, dan segala menteri Majapahit
            itu sama hebat pada Lambu Mangkurat itu.
                                                                                   
            Malah, pengarang juga menonjolkan kehebatan kelompok etnik Melayu, dalam Hikayat Anggun Che Tunggal (1990: 80) apabila Bujang Selamat digambarkan mempunyai akal yang cerdik dan bijak. Hal ini digambarkan oleh pengarang ketika beliau naik ke mahligai Tuan Puteri Puspa Wati terus  membunuh puteri tersebut. Begitu juga apabila beliau naik ke mahligai Tuan Puteri Kasa Terbentang, beliau juga mahu membunuhnya kerana menurut akal fikirannya bahawa selama ini rajanya telah terpesona pada kecantikan puteri-puteri inilah yang menyebabkan matlamat mereka lambat terlaksana. Akan tetapi apabila beliau mahu membunuh Tuan Puteri Kasa Terbentang, beliau telah ‘ditawarkan’ sesuatu oleh puteri tersebut;
“Ayuhai orang muda yang gagah perkasa, minta nyawalah beta janganlah
 dibunuh, ambillah pisau ini yang dapat membunuh ayah beta Raja Bedurai
 Putih, jikalau lain daripada pisau ini sekali-kali tiadalah dapat pengapakan dia.”

            Kejadian ini menunjukkan kebijaksanaan akal Bujang Selamat yang gagal dipengaruhi oleh unsur godaan kecantikan puteri-puteri tersebut yang membolehkan beliau membunuh mereka. Gambaran kejadian ini jelas menunjukkan bahawa Bujang Selamat adalah mewakili sekelompok etnik yang hebat yang memiliki kebijaksanaan akal fikiran sehingga berjaya memperolehi senjata yang boleh menamatkan riwayat Raja Bedurai Putih.
            Manakala dalam Hikayat Banjar  (1990: 292) pengarang juga menonjolkan kebijaksanaan akal kelompok etnik Jawa yang diwakili oleh mangkubumi Aria Taranggana sewaktu pemerintahan Maharaja Sari Kabungan  di Nagara Daha. Kebijaksanaannya sehingga mampu menyelesaikan banyak perkara serta membantu pentadbiran negaranya, sebagaimana gambaran berikut;
            Bermula yang dijadikan mangkubumi akan ganti Lambu Mangkurat itu
            anak Aria Magatsari, dinamai Aria Taranggana. Itu maha bijaksana, tajam
            akalnya dan laksana lebih daripada ayahnya itu. Ia itu mengarang Kutara
            Masaalah Takhta Negeri, membbicarakan orang barang sesuatu mengetahui
            yang salah dan yang benar, mengira-ngirakan taraf hukumnya itu, …
           
            Pengarang jelas ingin menonjolkan kecerdikan akal kelompok etnik Jawa yang berjaya memperkasakan pemerintahan rajanya melalui gambaran-gambaran yang hebat.
            Pengarang juga menggambarkan kehebatan kelompok etnik Tiku Pariaman dalam Hikayat Anggun Che Tunggal (1990: 81) apabila mereka memiliki kesetiaan kepada raja yang tidak berbelah bagi.  Gambaran ini diperlihatkan oleh Bujang Selamat yang menyerahkan pisau tersebut kepada rajanya agar membunuh Raja Bedurai Putih.
“…kepada putera Raja Bedurai Putih itu yang bernama Tuan Puteri
Kasa Terbentang, kata dia pisau inilah yang dapat membunuh ayahnya.
             Maka patik persembahkan ke bawah duli Tuanku supaya bangat selesai
            pekerjaan kita ini.”

            Gambaran peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa sebagai hamba rakyat yang begitu taat setia kepada raja, beliau tidak bertindak sendirian, sebaliknya beliau menyerahkan kepada kuasa raja yang mutlak untuk memutuskan sebarang tindakan. Hal ini menunjukkan betapa hebatnya kelompok etnik Melayu yang begitu menumpahkan kesetiaannya kepada raja tanpa berbelah bagi.
            Gambaran kesetiaan kelompok etnik Jawa juga terserlah dalam Hikayat Banjar (1990: 276-278) apabila Maharaja Suryaganggawangsa memaklumkan kepada Lambu Mangkurat bahawa beliau tidak akan berkahwin dengan sesiapa melainkan dengan Putri Dayang Diparaja. Ekoran daripada itu, Lambu Mangkurat berusaha mencarinya sehingga berjaya. Malangnya raja enggan menerimanya kerana yang dikehendaki oleh raja ialah anak kepada Dayang Diparaja. Setelah berunding dengan para pembesar, Lambu Mangkurat bersetuju mengahwini Dayang Diparaja demi keturunan raja-raja.
            “…Bagaimana bicara kita? Siapa yang patut akan laki Dayang Diparadja ini?”
             Sembahnya sekalian mereka itu: Tiada yang lain patut hanya tuankulah,
            kerana tuanku menghabisi segala daerah alkah yang takluk kepada maharaja
            itu. Yang lain tiada akan patut.”                             

            Gambaran peristiwa ini menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi Lambu Mangkurat terhadap rajanya, sehingga beliau sanggup mengahwini Putri Dayang Diparaja. Apa yang dilakukannya semata-mata agar dapat melahirkan zuriat untuk dikahwini oleh Maharaja Suryaganggawangsa dan seterusnya dalam melahirkan salasilah keturunan raja-raja seterusnya.
            Kesimpulannya berdasarkan ciri-ciri etnosentrisme yang ditampilkan dalam kedua-dua karya tersebut yang mewakili dua bangsa yang berbeza walaupun dengan tema penceritaan yang berbeza, jelas menunjukkan bahawa setiap bangsa cuba menonjolkan kehebatan, keunggulan, dan kemuliaan bangsa masing-masing, sama ada oleh bangsa Melayu atau bangsa Jawa Banjar.

Rujukan
Barker, Chris. 2004. The Sage Dictionary of Cultural Studies. London: Thousand Oaks.

Bolaffi, Guido etc. 2003. Dictionary of Race, Ethnicity and Culture. London: SAGE
            Publications.

Jacobus Ras, Johannes. 1990. Hikayat Banjar  (terj. Siti Hawa Salleh). Kuala Lumpur:
            Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jelani Harun. 2002. “Peringgi dalam Kesusasteraan Melayu: Imej Luka yang Berkekalan.
            Dalam Lalita Sinha (ed.). Tradisi dan Modeniti Kesusasteraan Melintasi Zaman
 dan Wilayah. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Noriah Taslim. 2006. Dunia Sahibul Hikayat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
            Pustaka.

Pawang Ana dan Raja Haji Yahya. 1985. Hikayat Anggun Che Tunggal. Petaling Jaya:
            Penerbit Fajar Bakti.

Smith, Anthony D. 1983. Theories of Nationalism. London: Duckworth.













KESUSASTERAAN ISLAM & PERUNDANGAN MELAYU
HUKUM KANUN MELAKA
Sumber dan Pengaruhnya terhadap Perundangan Melayu yang Lain

Oleh : Suhemi bin Abdul

Pengenalan
Hukum Kanun Melaka (HKM) merupakan perlembagaan yang disusun pada zaman Sultan Muhammad Syah yang memerintah Melaka pada tahun 1422 hingga 1444 dan dikemas kini pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah iaitu pada tahun 1445 hingga 1458. Hukum Kanun Melaka terdiri daripada 44 fasal. Kebanyakan fasal yang yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka bercampur aduk antara satu sama lain. Secara kasar Hukum Kanun Melaka dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama membicarakan hukuman adat, bahagian kedua menekankan persoalan-persoalan jenayah seperti mencuri, merompak, berzina, dan sebagainya. Bahagian akhir pula mengenai hukum-hukum yang dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan- kesalahan yang bukan jenayah.
Seperti karya undang-undang yang lain, Hukum Kanun Melaka turut membicarakan kewajipan seseorang pemerintah dan pembesar negeri. Isi kandungan fasal pertama hingga keempat umpamanya lebih memberatkan adat istiadat dan pantang larang raja-raja. Mengenai persoalan kemasyarakatan, dapat dilihat dalam fasal-fasal kelima sehingga akhir hukum kanun ini, misalnya tentang orang mengamuk, membunuh orang, mencuri, menceroboh, menawan isteri orang, menuduh, membuat fitnah, dan lain-lain lagi. Hukum Kanun Melaka juga menyentuh hukum-hukum yang dijatuhkan kepada orang-orang yang melakukan kesalahan tadi. Secara kasar kita dapat membahagikan hukuman yang terkandung dalam undang-undang ini kepada tiga bahagian iaitu hukuman dera, hukuman aib, dan hukuman denda.

Hukum Kanun Melaka Sebagai Sumber kepada Undang-undang Melayu yang Lain
Setelah diteliti secara terperinci akan kandungan Hukum Kanun Melaka yang merupakan undang-undang Melayu Lama yang tertua sekali, adalah jelas bahawa hukum kanun ini telah menjadi sumber dan mempengaruhi beberapa perundangan Melayu yang lain. Antara perundangan Melayu yang dipengaruhi oleh Hukum Kanun Melaka ialah Undang-undang Pahang, Undang-undang Johor, Undang-undang Kedah, Undang-undang 99 Perak, dan Undang-undang Acheh. Hukum Kanun Melaka telah membuka ruang ke arah penciptaan undang-undang Melayu yang lain tetapi telah disesuaikan dan ditumpukan dengan kehendak dan keperluan tempatan yang mempunyai perbezaan dan kepelbagaian seperti yang berikut:
Undang - undang Pahang
Undang- undang Pahang ialah undang-undang negeri yang dipercayai ditulis oleh Sultan Abdul Ghafur Muhaiyuddin Shah iaitu sultan Pahang yang memerintah pada tahun 1592 hingga 1614. Dalam Undang-undang Pahang juga terkandung Hukum Kanun Melaka tetapi sebahagian besar undang-undangnya berunsur Islam. Oleh itu, Undang-undang Pahang dianggap sebagai pindaan dan sumbernya diperoleh daripada Hukum Kanun Melaka dengan lima tambahan iaitu fasal:
(i)                 Menjual rumah dan tanah
(ii)               Hukum huma yang ditinggalkan
(iii)             Orang bukan Islam yang ditawan dalam perang
(iv)             Merampas harta orang lain
(v)               Tugas pegawai-pegawai mahkamah

Penyusunan isi dan huraian daripada satu fasal ke fasal yang lain lebih jelas dan teratur dalam Undang-undang Pahang tidak bercampur-baur seperti yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka. Dalam penghuraiannya, Undang-undang Pahang lebih mendekati Undang-undang Islam atau 'Shafie Law'. Kandungan utamanya adalah sama dengan Hukum Kanun Melaka yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

(a)               Bahagian Adat Lembaga Negeri
(b)               Bahagian Jenayah
(c)                Bahagian Awam

Dalam Bahagian Adat Lembaga Negeri, Fasal 1 dalam Undang-undang Pahang sama seperti Hukum Kanun Melaka iaitu tentang larangan raja, berkaitan kain kuning, termasuklah tabir, alas talam, dan perhiasan rumah. Bahagian pendahuluan Hukum Kanun Melaka pula sama seperti dalam Undang-undang Pahang iaitu menerangkan bahawa adalah menjadi kewajipan raja untuk melantik Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari, dan Bendahari.
Berasaskan kepada huraian di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Hukum Kanun Melaka menjadi sumber dan mempengaruhi penulisan Undang-undang Pahang. Undang-undang Pahang yang ditulis pada sekitar tahun 1592 hingga 1614 berbanding dengan Hukum Kanun Melaka yang disusun pada tahun 1422 hingga1444 memperkukuh hujah atau alasan ini. Hal ini menunjukkan bahawa Hukum Kanun Melaka ditulis lebih awal daripada Undang-undang Pahang. Lantaran itu, adalah logik Undang-undang Pahang ditulis berdasarkan kepada Hukum Kanun Melaka walaupun tidak semua yang terdapat dalam Undang-undang Pahang sama dengan Hukum Kanun Melaka. 
Undang-undang Kedah 
Antara bahagian Undang-undang Kedah yang penulisannya bersumberkan Hukum Kanun Melaka ialah Bab II iaitu Tambera Datuk Seri Paduka Tuan dan Hukum Kanun Dato' Setar. Fasal 2, Fasal 5, dan Fasal 6 dalam Bab II Undang-undang Kedah iaitu berkenaan hukum bagi orang yang tidak bersembahyang, perbuatan merosakkan kerbau, dan binatang ternakan serta pagar adalah sama dengan Hukum Kanun Melaka. Dalam Bab III Hukum Kanun Dato' Setar,  Fasal 1, Fasal 2, Fasal 4, dan Fasal 5 iaitu berkenaan tugas Temenggung, keistimewaan raja, bahasa diraja dan pakaian diraja adalah sama dengan Hukum Kanun Melaka. Dalam Hukum Kanun Dato' Setar, 23 fasal yang pertama diambil daripada Hukum Kanun Melaka, manakala terdapat beberapa muka surat menyatakan perkara-perkara yang berkaitan perkahwinan, perceraian, perzinaan, dan perniagaan.
           
Kedah menjadi terkenal dengan kekayaannya dari segi 'digest' perundangan apabila kerajaan Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Catatan yang paling awal bertarikh 1650M. Berdasarkan tarikh ini, adalah berasas jika dikatakan Hukum Kanun Melaka menjadi sumber dan mempengaruhi Undang-undang Kedah kerana pelaksanaan Hukum Kanun Melaka lebih lama berbanding dengan Undang-undang Kedah.

Undang-undang Johor
Populariti Hukum Kanun Melaka tidak hanya wujud setakat penghujung abad ke-15 dan awal abad ke-16 Masihi sahaja, malahan hampir keseluruhan peruntukan yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka terus diwarisi pada zaman Kesultanan Johor selepas abad ke-17 Masihi. Hukum Kanun Melaka telah memberi ruang ke arah penciptaan 66 fasal Undang-undang Johor tetapi telah disesuaikan dan ditumpukan dengan kehendak dan keperluan tempatan yang mempunyai perbezaan dan kepelbagaian. Antara fasal dalam Undang-undang Johor yang didapati sama dengan Hukum Kanun Melaka ialah Fasal 2, Fasal 3, Fasal 5, Fasal 6, Fasal 7, Fasal 8, Fasal 9, Fasal 10, Fasal 11, Fasal 12, Fasal 15, Fasal 16, Fasal 18, Fasal 20, Fasal 29, Fasal 53, Fasal 54, dan Fasal 57 iaitu berkenaan hal-hal bahasa diraja hinggalah Hukum Sulh. Kesimpulannya, penciptaan fasal-fasal ini adalah bersumberkan Hukum Kanun Melaka yang dilaksanakan semasa pemerintahan Sultan Mahmud.
Undang-undang 99 Perak
Dalam Undang-undang 99 Perak terdapat peraturan yang sama dengan Fasal 21 Hukum Kanun Melaka iaitu peraturan memelihara ternakan seperti ayam, kambing, lembu, dan kerbau. Di samping itu, terdapat peraturan memancing dan menangkap ikan dalam kedua-dua perundangan Melayu ini. Berdasarkan kepada persamaan ini dan hakikat bahawa Hukum Kanun Melaka lebih awal ditulis berbanding dengan Undang-undang 99 Perak, adalah jelas bahawa Undang-undang 99 Perak ini digubal berdasarkan Hukum Kanun Melaka.
Undang-undang Riau
Dalam Undang-undang Riau ada unsur-unsur Arab dan syarak. Mukaddimah dan hal-hal berkaitan bahasa diraja yang terdapat dalam Undang-undang Riau adalah sama dengan Hukum Kanun Melaka. Persamaan juga terdapat dalam perkara-perkara berkaitan hukuman takzir iaitu pesalah diarak keliling negeri dan ditonton orang untuk ke dapur. Berdasarkan kepada persamaan ini, Undang-undang Riau adalah dipengaruhi dan bersumberkan Hukum Kanun Melaka.

Kesimpulan
Hukum Kanun Melaka yang terdiri daripada 44 fasal, telah disusun pada tahun 1422 hingga 1444 dan dikemas kini pada tahun 1445 hingga 1458 adalah Undang-undang Melayu Lama yang tertua jika dibandingkan dengan Undang-undang Melayu lama yang lain. Hukum Kanun Melaka ditulis semasa Melaka berada pada zaman kegemilangannya iaitu sebelum ditawan oleh Portugis. Undang-undang Melayu Lama yang lain seperti Undang-undang Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Johor, Undang-undang 99 Perak, dan Undang-undang Riau dicipta setelah tertulisnya Hukum Kanun Melaka. Secara keseluruhannya, Undang-undang Melayu Lama ini mempunyai asas-asas yang sama dengan Hukum Kanun Melaka walaupun terdapat beberapa pindaan mahupun perbezaan. Pengubahsuaian ini perlu dibuat untuk disesuaikan dengan keadaan dan keperluan sesebuah negeri. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa Hukum Kanun Melaka telah menjadi sumber rujukan dan mempengaruhi penggubalan Undang-undang Melayu yang lain.

Rujukan:
Abd. Jalil Borham (2002). Pengantar Perundangan Islam. Johor Bahru : Universiti Teknologi Malaysia
Abdul Kadir Haji Muhammad (1996). Sejarah Penulisan Islam di Malaysia, hlm.KualaLumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
INTAN (1991). Malaysia Kita, hlm. 70. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia
Ismail Hamid (1983). Kesusasteraan Melayu Lama dan Warisan Peradaban Islam. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Nurazmi Kuntum (1991). Teori dan Pemikiran Sastera Islam di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Zaini Nasohah (2004). Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia: Sebelum dan Menjelang Merdeka. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd















KAJIAN HUBUNGAN SIKAP TERHADAP  PELAKSANAAN
PENTAKSIRAN BERASASKAN  SEKOLAH  DAN
PENTAKSIRAN LISAN BERASASKAN SEKOLAH
DENGAN AMALAN  GURU BAHASA MELAYU DI DAERAH PADANG TERAP

Oleh;
Mazura binti Sulaiman
Abstrak

Perkembangan pendidikan di Malaysia bakal menyaksikan pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) tidak lama lagi.  Guru merupakan sumber penting dalam menjayakan inovasi ini.  Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) meskipun telah lama dilaksanakan masih memerlukan komitmen daripada pihak guru.  Kajian ini bertujuan untuk melihat perkaitan hubungan antara sikap terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS dengan amalan PLBS dalam kalangan guru bahasa Melayu (BM).  Seramai 78 orang guru BM di daerah Padang Terap, Kedah telah terlibat sebagai sampel kajian.  Data dikumpul melalui soal selidik.  Analisis statistik yang digunakan ialah analisis min, sisihan piawai, korelasi Pearson, ujian t dan ANOVA satu hala.  Dapatan kajian menunjukkan guru BM mempunyai sikap positif terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS malah untuk amalan PLBS juga.  Hasil analisis korelasi menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara ketiga-tiga pembolehubah yang menjadi fokus kajian.  Analisis ujian t dan ANOVA satu hala  mendapati bahawa tiada perbezaan sikap terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS juga amalan PLBS  dari aspek jantina dan pengalaman mengajar BM.


Pendahuluan
Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula 2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah. Menurut beliau lagi  konsep ‘pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah’ akan diwujudkan sebagai menunjukkan betapa pelajar seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah.  Selain kurikulum, transformasi tersebut juga akan melibatkan perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan. Melalui sistem penilaian baru itu, prestasi para pelajar akan dinilai sejak mereka berada di tahun satu lagi.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bukanlah perkara  baru dalam bidang pendidikan.  PBS merupakan salah satu bentuk pentaksiran yang mampu merealisasikan hala tuju yang diinginkan.  PBS mampu membangunkan budaya persekitaran kurikulum yang mantap dan artistik tanpa terlalu berorientasikan peperiksaan.  PBS bersifat lebih holistik , diinsankan dan dimesrakan bukan menghukum.
Kemahiran mendengar dan bertutur (kemahiran lisan) merupakan kemahiran yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.  Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) peringkat sekolah rendah (tahun 1 hingga tahun 6) merupakan satu daripada komponen PBS yang menekankan pentaksiran yang berterusan bersesuaian dan bertepatan dengan hakikat bahawa guru yang mengajar murid itulah yang lebih mengetahui tahap dan pencapaian murid yang sebenar dalam kemahiran lisan

Latar Belakang
Guru memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, melaksanakan penilaian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan. Penilaian yang dirancang oleh guru di peringkat sekolah ini dikenali sebagai PBS. Melalui aktiviti penilaian guru dapat memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Untuk mencapai hasrat ini penilaian di sekolah haruslah memberi penekanan kepada konsep penilaian berterusan terhadap perkembangan bagi kesemua aspek tersebut. PBS lebih bersifat formatif iaitu mengutamakan kemajuan setiap murid dari satu peringkat ke satu peringkat. Guru dapat membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan murid dari semasa ke semasa. Ini memberi peluang kepada guru untuk membetulkan kesilapan dan memperbaiki kelemahan murid serta-merta supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun. Di samping itu guru dapat mengenal pasti kelemahan dan memperkembangkan lagi kekuatan serta potensi murid.
PBS yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya. Di samping itu kekuatan murid yang telah menguasai pula diperkukuh dan diperkaya. Melalui aktiviti tindakan susulan yang berkesan guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian di peringkat pusat.

Pernyataan Masalah
Kita seringkali mendengar ungkapan pendidikan yang terlalu memberi penekanan kepada peperiksaan atau “exam oriented” yang dikatakan kurang baik. Kita disarankan supaya lebih memberi tumpuan kepada pentaksiran yang holistik. Oleh hal yang demikian, peperiksaan selalu dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan. Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri, kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial sukar atau tidak mungkin dapat ditaksir sepenuhnya menggunakan  peperiksaan.PBS mampu menyumbang kepada pembinaan jati diri pelajar kerana PBS mentaksir hasil untuk pembelajaran. 
PBS yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak berterusan dan diabaikan.  Di samping itu kekuatan murid yang telah menguasai pula diperkukuh dan diperkaya. Melalui aktiviti tindakan susulan yang berkesan guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian di peringkat pusat .
PBS mampu menyumbang kepada pembinaan jati diri pelajar kerana PBS mentaksir hasil untuk pembelajaran.  Guru mentaksir murid hanya untuk mengukur pencapaian pencapaian belajar dan tujuan penempatan, pemilihan dan penganugerahan sijil, sedangkan untuk menghasilkan modal insan yang cemerlang, guru harus mengenal pasti potensi murid dan mengembangkan ia sepenuhnya.
Disebabkan sikap dan amalan guru seringkali dikaitkan dengan kemajuan dan kegagalan murid maka kajian ini akan dilakukan untuk melihat sikap dan amalan guru terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS.             Memandangkan pelaksanaan PBS dan PLBS perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti pelaksanaan PBS dan PLBS perlu mendapat respon positif daripada golongan guru yang diberi  tanggungjawab besar menjayakannya. PBS sebagai satu wadah inovasi yang akan dilaksanakan secara menyeluruh pada 2010 memerlukan para guru memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada pentaksiran pelajar.  Guru-guru bahasa Melayu yang telah lama terlibat melaksanakan PLBS juga perlulah turut sama melihat PLBS sebagai satu bentuk pentaksiran yang baik dan perlu bagi memastikan sasaran PLBS tercapai. 

Tujuan Kajian
Berdasarkan pernyataan masalah yang dikemukakan, objektif kajian ini adalah untuk :

i)          mengenalpasti sama ada terdapat sikap positif dalam kalangan guru BM
            terhadap pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
ii)         mengenalpasti sama ada terdapat sikap positif dalam kalangan guru BM
            terhadap pelaksanaan Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah(PLBS)
iii)        mengenalpasti sama ada terdapat amalan positif dalam kalangan guru BM
            terhadap pelaksanaan Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah(PLBS)?
iv)        mengenalpasti sama ada terdapat perbezaan dalam penggunaan model-          
            model lisan dalam kalangan guru BM semasa melaksanakan PLBS
v)         mengenalpasti sama ada terdapat perbezaan dalam penggunaan aktiviti-          aktiviti
lisan dalam kalangan guru BM semasa melaksanakan PLBS
vi)        mengenalpasti sama ada terdapat hubungan antara sikap guru bahasa Melayu
             terhadap pelaksanaan PBS dengan amalan PLBS
vii)       mengenalpasti sama ada terdapat hubungan sikap guru bahasa Melayu terhadap
            pelaksanaan PLBS dengan amalan PLBS
viii)      mengenalpasti sama ada terdapat hubungan sikap guru bahasa Melayu            terhadap
             pelaksanaan PBS dengan sikap terhadap pelaksanaan PLBS
ix)        mengenalpasti sama ada terdapat perbezaan sikap terhadap pelaksanaan PBS antara
            jantina dalam kalangan guru BM
x)         mengenalpasti sama terdapat perbezaan sikap terhadap pelaksanaan PLBS antara
             jantina dalam kalangan guru BM
xi)        mengenalpasti sama ada terdapat perbezaan amalan PLBS antara jantina dalam
             kalangan guru BM
xii)       mengenalpasti sama ada wujud perbezaan sikap terhadap pelaksanaan
            PBS berdasarkan pengalaman guru BM
xiii)      mengenalpasti sama ada wujud perbezaan sikap terhadap pelaksanaan PLBS
             berdasarkan pengalaman guru BM
xiv)      mengenalpasti sama ada wujud perbezaan amalan PLBS berdasarkan pengalaman
             guru BM
Kepentingan Kajian
Kajian ini menghasilkan data empiris dalam melihat hubungan antara aspek sikap dan hubungannya dengan amalan pelaksanaan PBS dan PLBS dalam kalangan guru bahasa Melayu sekolah rendah di daerah Padang Terap, Kedah.  Dapatan kajian ini akan boleh dimanfaatkan untuk merintis usaha bagi memastikan PBS dan PLBS mendapat komitmen yang sepatutnya daripada golongan guru yang melaksanakannya. PBS dan PLBS yang dilaksanakan dengan sempurna dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya.  Disamping itu kekuatan murid yang telah menguasai pula diperkukuh dan diperkaya.  Melalui aktiviti tindakan susulan yang berkesan guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian di peringkat pusat. Selain itu kajian ini juga diharapkan dapat memberi penambahbaikan kepada bentuk pentaksiran ini agar mampu memenuhi objektif sebenar PBS iaitu untuk memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan FPK. 
Kajian ini juga diharapkan dapat member kesedaran kepada pihak guru dan murid tentang keperluan dan kepentingan PLBS juga kemahiran lisan itu sendiri yang bertujuan memastikan murid mampu memahami perkara yang didengar dan dituturkan dalam pelbagai situasi pengucapan sama ada perbualan harian atau situasi formal.
Batasan Kajian
Pertama kajian ini hanya melihat aspek sikap guru bahasa Melayu terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS.  Kedua, kajian ini ditumpukan kepada amalan guru bahasa Melayu semasa melaksanakan PLBS.  Ketiga kajian ini turut melihat aspek kekerapan penggunaan model dan aktiviti semasa guru bahasa Melayu melaksanakan PLBS.  Hanya lima model lisan digunakan dalam kajian ini
Kajian ini juga dibataskan kepada 10 aktiviti lisan iaitu aktiviti bacaan kuat, bercerita, temubual, deklamasi sajak, syarahan, perbincangan, soal jawab,  perbahasan, hafazan dan nyanyian. Keempat kajian dijalankan hanya ke atas guru bahasa Melayu yang mengajar di sekolah-sekolah di daerah Padang Terap, Kedah.  Kelima  penyelidikan ini dikendalikan berdasarkan soal selidik yang diberikan kepada guru-guru yang menjadi responden kajian ini. 
Definisi Operasional
Pengertian sikap terlalu luas dan berbagai-bagai tetapi untuk kajian ini pengertian yang diberikan oleh Katz (1966) digunakan.  Menurut beliau, sikap adalah sesuatu yang mempengaruhi seseorang individu di dalam memberi nilai terhadap simbol objek atau apa yang disukai atau tidak. Dalam kajian ini sikap perbincangan tentang definisi sikap dalam kajian ini tertumpu kepada dua pembolehubah iaitu sikap. Sikap secara spesifiknya merujuk kepada sikap guru bahasa Melayu terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS.  Amalan dalam kajian ini pula merujuk tingkahlaku atau perilaku, tindakan  guru BM semasa melaksanakan PLBS.  Amalan ini  termasuklah melihat kekerapan penggunaan model lisan dan aktiviti yang mereka jalankan semasa melaksanakan PLBS. PBS dan PLBS pula dalam kajian ini adalah mengikut definisi yang terdapat dalam definisi konsepsual.  BM pula di dalam kajian ini merujuk mata pelajaran BM yang diajarkan di peringkat persekolahan rendah.

Tinjauan Literatur
Kajian-kajian lepas mendapati sikap mempunyai hubung kait dengan pelbagai pemboleh ubah seperti pencapaian, amalan dan perilaku. Tay Meng Guat (2002) menjalankan tinjauan tentang sikap dan masalah guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan. Penemuan kajian mendapati bahawa guru-guru menunjukkan sikap yang positif terhadap pengajaran dan pembelajaran BM dengan min skor 3.28.
Di Malaysia, Haniza Abdul Khalid (2003) dalam kajiannya untuk menentukan sikap dan tahap motivasi pelajar terhadap Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sebuah institusi pengajian tinggi teknikal swasta yang melibatkan  seramai 150 pelajar dari semester tiga dan empat di sebuah IPTS teknikal telah mengambil bahagian dengan menggunakan satu set soal selidik yang telah diadaptasi daripada Gardner (1985) Attitude and Motivation Test Batery (AMTB) menunjukkan bahawa pelajar mempunyai persepsi yang positif terhadap Bahasa Inggeris. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa sikap dan tahap motivasi pelajar terhadap Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar adalah sederhana.  Di samping itu, terdapat hubungan di antara sikap dan motivasi dengan pencapaian Peperiksaan Bahasa Inggeris. Terdapat juga hubungan di antara sikap dan motivasi dengan Pencapaian Akademik Keseluruhan.
Kesimpulannya kajian-kajian lepas telah membuktikan terdapat hubungan antara sikap dengan pelbagai pemboleh ubah lain seperti pencapaian dan motivasi, dan tidak dapat dinafikan sikap mempunyai hubungan dengan amalan amalan.  Hubungan itu pula berbentuk positif juga negatif.  Berdasarkan kajian lalu juga menunjukkan bahawa sebarang bentuk kejayaaan dalam inovasi kurikulum memerlukan komitmen guru yang akan melaksanakannya.  Dalam konteks kajian ini tentulah komitmen guru terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS dipoerkatakan. Kajian ini akan menambah satu lagi penyelidikan tentang sikap guru terhadap pelaksanaan inovasi kurikulum di Malaysia
Metodologi

Rekabentuk Kajian 
Kajian yang dijalankan ini berbentuk kuantitatif  deskriptif dan inferensi untuk melihat hubungan antara beberapa pembolehubah iaitu sikap dan amalan
Dalam kajian ini populasi yang dipilih mempunyai ciri yang setara iaitu guru BM yang semuanya terlibat dengan pelaksanaan PBS dan PLBS di sekolah.
Kaedah soal-selidik pula adalah satu cara yang mudah dan berkesan untuk mendapat data yang standard. Oleh itu penyelidik  menggunakan soal-selidik dengan persampelan secara rawak. Pekali Korelasi  digunakan untuk melihat hubungan di antara variabel yang dipilih.

Populasi dan Persampelaan
Populasi kajian ialah guru-guru BM yang mengajar di sekolah-sekolah rendah dalam daerah Padang Terap yang berjumlah 200 orang.  Sampel kajian ini terdiri daripada 78 orang guru yang mewakili lebih daripada 30% daripada jumlah populasi.  Lima buah sekolah dipilih sebagai lokasi kajian iaitu SK Kuala Nerang, SK Tunku Abdul Rahman Putra, SK Padang Terap, SK Panglima Awang dan SK Naka.  Lima buah sekolah ini dipilih berdasarkan fakta bahawa sekolah berkenaan memenuhi segala tuntutan, keperluan dan kehendak kajian.
Kaedah yang digunakan bagi mendapat maklumat adalah dengan menggunakan Kertas Kajiselidik (Questionnaire) secara ‘Random Sampling’, iaitu salah satu daripada sepuluh kaedah untuk mendapatkan sampel bagi mewakili populasi sebenar guru-guru BM di daerah Padang Terap.
           
Instrumen Kajian
Dalam kajian ini, sikap guru diukur melalui respons yang diberikan oleh mereka terhadap satu siri pernyataan (item) dalam komponen soal selidik tinjauan

Analisis Data
Semua data-data yang diperolehi n dianalisis dengan menggunakan SPSS for Windows versi 11.5. Analisis statistik deskriptif telah digunakan untuk mendapatkan kekerapan,  peratusan, min, mod, median  dan sisihan piawai.   Analisis deskriptif kekerapan,peratusan dan min akan digunakan untuk melihat aspek demografi responden.  
Kajian Rintis
Kajian rintis menggunakan instrumen kajian iaitu set soal selidik telah dijalankan bagi memastikan kebolehpercayaan instrumen.  Soal selidik ini telah diedarkan kepada 32 orang guru BM yang mengajar di SK Sena dan SK IPGM Kampus Perlis.  Kedua-dua sekolah ini terletak di Kangar, Perlis. 
Berdasarkan Kebolehpercayaan Kuder-Richardson, daripada data kajian rintis ini diperoleh nilai alpha Cronbach untuk menunjukkan kebolehpercayaan item soal selidik yang digunakan. Menurut Kerlinger (1973) dan Mohd Majid Konting (1990) menyatakan pekali kebolehpercayaan .60 sering digunakan. Untuk Konstruk yang menilai sikap guru BM terhadap pelaksanaan PBS ( Bahagian B) nilai alpha Cronbach ialah .7574.
Untuk kontruk yang melihat sikap guru terhadap pelaksanaan PLBS nilai alpha Cronbach yang diperoleh ialah .9134 seterusnya untuk konstruk amalan guru semasa melaksanakan PLBS nilai alpha Cronbachnya ialah .7571.  Nilai keseluruhan alpha Cronbach untuk ketiga-tiga konstruk itu pula ialah .8791.

Dapatan Analisis

Ringkasan daripada analisis dapatan kajian ini secara deskriptif dan inferensi adalah seperti dalam Jadual 1 dan Jadual 2
.
Bhg.
Kategori/Subkategori
Min
Sisihan piawai
tahap sikap/amalan/
Kedudukan





B
Kategori  :  Sikap guru BM terhadap
                   pelaksanaan PBS
3.919
.354
Sikap positif
Subkategori :
PBS mampu mengesan perkembangan diri pelajar
3.628
0.465
Sikap positif
PBS mampu mengesan kebolehan berbahasa pelajar
4.094
0.439
Sikap positif
PBS mampu mengesan kekuatan dan kelemahan berbahasa pelajar
4.033
0.527
Sikap positif
PBS membantu guru BM dalam P&P BM
4.083
0.392
Sikap positif
PBS amat mementingkan komitmen guru BM
4.276
0.453
Sikap positif
PBS dibandingkan sistem peperiksaan
3.644
.580
Sikap positif

Kategori  :  Sikap guru BM terhadap
                   pelaksanaaan PLBS

3.884
.342
Sikap positif



C
Subkategori  :
PLBS tidak memberi tekanan kerja
3.487
0.655
Sikap positif
Kemudahan melaksanakan PLBS
3.544
0.536
Sikap positif
PLBS mampu memberi keyakinan kepada pelajar
4.017
0.405
Sikap positif
PLBS mampu mengesan kebolehan lisan
3.897
0.359
Sikap positif
PLBS mampu melatih kebolehan lisan
4.064
0.392
Sikap positif




D
Kategori  :  Amalan guru BM semasa
                   melaksanakan PLBS

3.804
.303
Sikap positif
Subkategori  :
Peruntukan masa guru BM  melaksanakan PLBS
3.625
0.408
Amalan positif
Komitmen guru  melaksanakan PLBS
3.821
0.389
Amalan positif
Penggunaan manual PLBS
3.808
0.397
Amalan positif
Pelaporan PLBS
3.993
0.285
Amalan positif
Tindakan susulan
3.942
0.395
Amalan positif

Jadual 1  :  Ringkasan dapatan kajian secara deskriptif
Graf 1 dan Graf 2 di bawah pula menjelaskan lagi pemilihan penggunaan model lisan dan aktiviti lisan oleh guru BM semasa melaksdanakan PLBS.
 
Graf 1  :           Min  penggunaan Model Lisan

Graf 2 :            Min penggunaan aktiviti lisan



Jadual 2:  Ringkasan dapatan inferensi (Keputusan ujian Hipotesis)
Bil.
HIPOTESIS KAJIAN (Ho)
Keputusan
Ho1        
Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara sikap guru bahasa             Melayu terhadap pelaksanaan PBS dengan amalan PLBS
Ditolak
Ho2        
Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara sikap guru bahasa Melayu terhadap pelaksanaan PLBS dengan amalan PLBS
Ditolak
Ho3
Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara sikap guru bahasa Melayu terhadap pelaksanaan PBS dengan sikap terhadap pelaksanaan PLBS
Ditolak
Ho4
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari segi sikap terhadap pelaksanaan PBS antara jantina dalam kalangan guru BM
Diterima
Ho5        
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari segi sikap terhadap pelaksanaan PLBS antara jantina dalam kalangan guru BM
Diterima
Ho6
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari segi amalan  PLBS antara jantina dalam kalangan guru BM
Diterima
Ho7        
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari segi sikap terhadap pelaksanaan PBS berdasarkan pengalaman guru BM
Diterima
Ho8        
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari segi sikap terhadap pelaksanaan PLBS berdasarkan pengalaman guru BM
Diterima
Ho9
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari segi amalan PLBS berdasarkan pengalaman guru BM
Diterima

RUMUSAN
Kajian ini dijalankan bagi melihat hubungan sikap dengan amalan guru BM.  Dalam konteks kajian ini sikap terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS menjadi pembolehubah utama manakala amalan pula merujuk amalan PLBS dalam kalangan guru BM.  Jelas terdapat sikap positif dalam kalangan guru BM terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS malah turut mempunyai amalan yang positif semasa melaksanakan PLBS.   Kajian ini juga mendapati tidak terdapat perbezaan sikap terhadap pelaksanaan PBS dan PLBS juga amalan PLBS mengikut jantina dan pengalaman mengajar guru BM.       
Hubungan sikap dengan amalan guru BM patut menjadi satu perkara yang menjadi renungan bersama memandangkan pihak guru yang paling rapat dengan pelajar.  Apa jua bentuk perubahan demi kebaikan pelajar juga bidang pendidikan perlu mengambil kira pandangan dan pendapat guru sebagai wadah yang akan melaksanakannya.
           

Rujukan
Azizah Abdul Rahman (1987). Curriculum innovation in Malaysia: The case of the            KBSR. Disertasi (Ph.D), University London: Institute of Education.
Abdullah dan Ainon (1997). Daya, Pengaruh dan Perubahan Sikap. Utusan Publications :           Kuala Lumpur
Ajzen, I (1988). Attitudes, Personaality and Behavior. Dorsey Press: Chicago
Asch, SE . (1970). Attitudes. Cox & Wyman Ltd : London
Brown, S. & McIntyre, D. (1993). Making Sense Of Teaching. USA:Open University Press.

Charlesworth, J.D. (1975). Educational Change in Malaysia: A Case Study Of The Implementation Of Curriculum             Innovation. Ph.D. Thesis. University Of         Kentucky.

Clark C.M. & Yinger R.J. (1977). Research on Teacher Thinking. Curriculum Inquiri,      7(14).

Clark.C. dan Peterson, P. (1986). Teachers’ Thought Processes. Dalam Wittrock, M.C. (ed.). Handbook of Research
            on Teaching, Edisi ke 3, New York:Macmillan Publishing Company.

Cohen, L dan Manion, L (1986). Research Methods In Evaluation. London:Crom Helm.

Fishbein, M. (1976). Attitude; Theory and Measurement. John Wiley & Sons, Inc: New     York

Howard Nicholls,S & Audrey Nicholls (1987), Perkembangan Kurikulum Satu      Pandangan Praktis ( Dr. Mohamad Daud Hamzah, Terjemahan ). Kuala    Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamarudin Hj. Hussin (1990).  Pengajaran dan Pembelajaran Lisan. Kuala Lumpur :
            Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Mok Soon Sang . 1996 . Pendidikan di Malaysia . Subang jaya: Kumpulan         Budiman         Sdn Bhd.

Mok Soon Sang, & Lee Sok Mee. 1988. Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur:            Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mohd Majid Konting (1990), Kaedah Penyelidikan dalam Pendidikan,Kuala Lumpur:

            Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Noraini Mohd Salleh & Rahim Hj.Ahmad (1984). Pelaksanaan Kurikulum Baru :         Masalah Guru Dan Implikasi Kepada Latihan Guru. Dalam Kumpulan Kertas Kerja Konvosyen NasionalMengenai Pendidikan Persatuan Pendidikan Malaysia,

 

Noraini Mohd Salleh (1992). Pelaksanaan Inovasi: Implikasinya Ke Atas Perancangan        Kurikulum Dan Penyelidikan. Kertas Kerja Seminar Kurikulum Kebangsaan I,       Kuala Lumpur: Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.           4, 209-215.


Nurhizam Abdul Manab (1995), Sikap Terhadap Pembelajaran Bahasa Inggeris Dan
            Hubungannya Dengan Pencapaian Pelajar-Pelajar Tingkatan Dua Di Daerah
            Kuala Terengganu. , Tesis Sarjana Pendidikan , Kuala Lumpur : Universiti
            Malaya.

Pusat Perkembangan Kurikulum (1996). Buku Panduan Penilaian Kendalian Sekolah
            Menengah, Kuala Lumpur

Pusat Perkembangan Kurikulum (1994). Laporan Kajian Pelaksanaan Penilaian Kendalian Sekolah Menengah, Kuala Lumpur

Razali Arof (1991). Pengantar Kurikulum. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Sharil @ Charil Marzuki & Habib Mat Som .1999. Isu pendidikan di Malaysia,sorotan dan cabaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Siti Hawa Ahmad (1986). Implementing A New Curiculum For Primary School : A Case         Study From Malaysia. Phd. Tesis , London: University Of London


Taba, H. (1962). Curiculum Development Theory And Practise. Harcourt : Brace And          World, Inc.

Tan Hue Ling (1995), Penilaian Dalam Proses Pendidikan (Asas Pendidikan III),     Selangor: Fajar Bakti.


Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. 1993 . Pengisian Wawasan Pendidikan. Kertas Kerja          Dalam Persidangan Pendidikan Nasional. Institut Aminudin Baki,Genting. 8-11           April.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie . 1990. Pentadbiran pendidikan. Petaling Jaya: Penerbit             Fajar Bakti Sdn. Bhd


















Ketetapan Linguistik Tentang Arah Perkembangan Bahasa Melayu.
oleh
Azizi bin Abd. Rahman
Haslina binti Hashim
1.0 PENDAHULUAN
1.1 Sejarah Bahasa Melayu
            Bahasa Malaysia merupakan bahasa utama yang dipertuturkan oleh rakyat Malaysia pada masa kini. Ia juga dikenali sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Melayu. Ia telah digunakan di Kepulauan Melayu sejak abad ke-7. Terdapat lebih 200 bahasa di Kepulauan Melayu pada waktu itu, namun penggunaan Bahasa Melayu pada waktu itu amat meluas kerana mudah dipertuturkan. Oleh yang demikian, pada waktu itu bahasa Melayu dijadikan bahasa lingua franca.
            Jika di singkap dari sejarah bahasa Melayu, perkataan ’Melayu’ itu sendiri, para sejarawan juga masih belum dapat mengesahkan bilakah kewujudannya. Mengikut Zuber Usman, perkataan ’Melayu’ berasal daripada perkataan ’Himalaya’ yang telah disingkatkan kepada ’Malaya’, dan kemudian menjadi Melayu. Perkataan ’Himalaya’ berasal daripada perkataan ’Hima’ dan ’alaya’. ’Hima’ bererti salji atau salju, sedangkan ’alaya’ bererti tempat. Dengan itu himalaya bermaksud tempat sejuk, seperti di puncak gunung yang tinggi. Mengikut Slametmuljana, kata Melayu sebenarnya berasal daripada perkataan Sanskrit. Perkataan tersebut berkembang di dua tempat yang berbeza. Di seberang Utara Selat Melaka, perkataan tersebut mengekalkan sebutan aslinya, iaitu ’Malaya’ manakala di seberang sebelah Selatan mengalami perubahan bunyi kepada ’Melayu’.
            Terdapat pelbagai pendapat  oleh para sejarawan tentang asal usul perkataan ’Melayu’ antaranya:
·         Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi. Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
·         Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera, daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.
·         Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
·         Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ”Melayu” bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

            Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Moden.
            Bahasa Melayu Kuno merupakan keluarga bahasa Nusantara. Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar; tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat; dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa. Bahasa ini banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Bahasa Melayu Kuno banyak terdapat pada batu-batu bersurat pada abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa. Contohnya, batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M); batu bersurat di Talang Ruwo, Palembang (684 M); batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M); dan batu bersurat di Karang Brahi, Meringin daerah Hulu Jambi (686 M). Ciri-ciri bahasa Melayu Kuno ialah dipenuhi dengan kata-kata pinjaman Sanskrit; susunan ayat bersifat Melayu; bunyi ’b’ ialah ’w’ (contohnya, bulan - wulan); ’e’ pepet tidak wujud (contohnya, dengan - dangan); awalan ber- ialah mar- (contohnya, berlepas - marlepas); awalan di- ialah ni- (contohnya, diperbuat - niparwuat); ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (contohnya, sukhatshitta); dan huruf ’h’ hilang dalam bahasa moden (contohnya, semua - samuha, saya - sahaya).

            Bahasa Melayu Kuno ke bahasa Melayu Klasik adalah suatu peralihan yang dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan. Terdapat tiga batu bersurat yang penting iaitu batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356); batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380); dan batu bersurat  di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387). Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan. Kegemilangan bahasa Melayu Klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan Acheh dan zaman kerajaan Johor-Riau. Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel. Ciri-ciri bahasa Melayu Klasik ialah ayat yang panjang, berulang dan berbelit-belit; banyak ayat pasif; menggunakan bahasa istana; banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat) (contohnya, alkisah); ayat songsang; dan banyak menggunakan partikel ”pun” dan ”lah”.
Bahasa Melayu Moden pula bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu Moden. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963 / 1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.
            Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia pada masa kini seharusnya berbangga dengan bahasa kita sendiri iaitu bahasa Melayu yang dahulu kalanya pernah juga ditabalkan sebagai bahasa pengantaraan yang terpenting dirantau Asia Tenggara. Kita hendaklah berusaha untuk memantapkan penggunaannya disetiap keadaan dan situasi agar bahasa ibunda kita benar-benar mantap dan berkesan.

1.2 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi
            Pemilihan terhadap bahasa Melayu (bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan bukan bahasa-bahasa lain, adalah dilakukan berasaskan beberapa pertimbangan (Asmah Haji Omar, 1979).
            Pertama, bahasa Melayu (bahasa Malaysia) adalah bahasa kumpulan etnik yang paling besar bilangannya di negara ini, sewaktu kita ingin mencapai kemerdekaan pada 1957. Masyarakat Melayu merupakan 49.8% daripada jumlah negara ini pada 1956/57. Kaum-kaum Cina dan India masing-masing hanya merupakan 37.1% dan 11.0%.
            Kedua, lanjutan daripada pertimbangan pertama itu, bahasa Melayu (bahasa Malaysia) adalah bahasa peribumi dan ia mampu memberi keperibadian atau jati diri yang boleh memperlihat kenatifan atau keasian rakyat asal negara ini. Bahasa kaum imigran, seperti bahasa Mandarin dan bahasa Tamil, serta bahasa bekas penjajah, iaitu bahasa Inggeris, sudah tentu tidak sesuai dalam konteks penonjolan citra natif itu. Bahasa-bahasa ini juga tidak mampu menonjolkan keperibadian atau jati diri yang boleh dikaitkan dengan sebuah negara Melayu yang berdaulat iaitu Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya atau Malaysia.
            Ketiga, kemampuan bahasa Melayu (bahasa Malaysia) sebagai bahasa perantaraan terbukti daripada sejarah serta perkembangannya sebagai lingua franca selama beberapa abad di Nusantara.
            Keempat, bahasa Melayu (bahasa Malaysia) sesungguhnya adalah bahasa pentadbiran kerajaan Melayu sebelum negara ini dijajah. Ia dieja atau ditulis dengan menggunakan sistem Jawi.
            Sebaliknya, bahasa Melayu (bahasa Malaysia) dalam fungsi sebagai bahasa rasmi, mendapat penentangan daripada pelbagai pihak, pada awal eranya. Penentangan ini, timbul daripada beberapa sebab. Antaranya adalah rasa tidak yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu yang sebelum ini hanya merupakan sebuah vernakular, iaitu bahasa suku atau kaum Melayu semata-mata. Kini ia perlu memikul tugas besar. Selaku bahasa rasmi, bahasa Melayu perlu digunakan dalam sistem pendidikan negara (Asmah Haji Omar, 1979).

            Menurut Teo Kok Seong (1986), satu lagi sebab penentangan ini ialah rasa takut bahasa, budaya, dan jati diri kumpulan-kumpulan etnik lain, terutamanya dalam kalangan kaum Cina, akan terjejas, lalu terhakis dan akhirnya terpupus akibat peranan bahasa Melayu (bahasa Malaysia) yang amat penting dalam sistem pendidikan negara.
            Walau bagaimanapun, bahasa melayu (bahasa Malaysia) akhirnya diterima oleh semua golongan, terutamanya dalam kalangan bukan Melayu dan golongan elit yang menerima pendidikan aliran Inggeris, setelah berlakunya perubahan sikap. Perubahan sikap itu meliputi beberapa aspek.
2.0 SEJARAH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA 
            Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka, ialah sebuah jabatan kerajaan Malaysia yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Misi utama DBP adalah;
”Memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahas intelektual         dan bahasa perpaduan dalam mendukung rangkaian Dasar Nasional untuk membina bangsa”
            Manakala, wawasan utama DBP pula adalah;
”Menjadi peneraju utama pengembangan bahasa dan persuratan Melayu dalam pembinaan negara bangsa”
            DBP mula ditubuhkan di Johor Bahru, sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Penubuhan DBP adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Di peringkat awal itu, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bharu. Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada 16 - 21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Disamping itu juga, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.

            Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara. Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu (i) menggubal dasarnya yang khusus; (ii) menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan (iii) menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.
            Pada 31 Januari 1962, DBP telah berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama (sekarang Jalan Dewan Bahasa). Pada tahun 1977, DBP mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur dengan membuka dua pejabat di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. Ini diikuti pula dengan pembukaan tiga pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (1999). Pejabat DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan (1999) dan Pejabat DBP Wilayah Selatan di Johor Bharu, Johor (2003). Kini DBP mempunyai satu bangunan ibu pejabat yang baharu. Projek pembangunan Menara DBP yang telah dimulakan pada tahun 1997 dan siap pada tahun 2003.
            DBP turut dipertanggungjawabkan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, intelektual dan bahasa perpaduan, mendukung rangkaian cita-cita negara untuk membina negara bangsa. Sebagai peneraju utama pengembangan bahasa dan persuratan Melayu dalam pembinaan Negara bangsa, DBP berpegang dengan moto ”Bahasa Jiwa Bangsa”. Pada 22 Jun 2006, DBP telah menyambut sambutan Jubli Emas yang ke-50 di samping turut merasmikan bangunan baru iaitu Menara DBP.
            Sehingga kini, peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu masih perlu diberikan penekanan lebih-lebih lagi dalam mengharungi era globalisasi yang semakin canggih dengan maju ini. Ini kerana fungsi bahasa Melayu itu sendiri semakin lama dipandang semakin berkurangan dan kemungkinan mendapat pelbagai tentangan dan cabaran daripada bahasa asing yang semakin ingin memonopoli pemikiran dan amalan bahasa oleh masyarakat pada masa kini. Pelbagai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ini perlu dilakukan.

3.0 PERANCANGAN BAHASA
            Perancangan Bahasa merupakan perancangan yang meliputi jangka masa 40 tahun. Pada kebanyakan kes, yang dikatakan masalah atau isu bahasa itu adalah rata-ratanya masalah atau isu politik. Masalah dan isu politik ini, antaranya merangkumi pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi oleh negara-negara yang beru merdeka, atau pemilihan bahasa yang hendak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara-negara yang sedang membangun.
            Walau bagaimanapun, sesetengah daripada masalah dan isu bahasa itu adalah yang berkenaan dengan hal-hal linguistik. Antara yang utama adalah pencemaran bahasa, yang meliputi penggunaan bahasa yang tidak baik dan juga yang tidak betul dan gejala mencampuraduk sesuatu bahasa itu dengan bahasa-bahasa lain, sama ada secara lisan mahupun tulisan.
            Dalam bidang sosiolinguistik, masalah dan isu bahasa ini dan puluhan yang lain adalah terangkum dalam bidang yang dikenali sebagai ”Perancangan Bahasa”
3.1 Definisi Perancangan Bahasa
            Perancangan bahasa boleh ditakrifkan sebagai tindakan mapan dan sedar yang disokong oleh kerajaan, yang bersifat jangka masa panjang, untuk mengubah sesuatu bahasa, atau mengubah fungsi sesebuah bahasa dalam masyarakat untuk tujuan menyelesaikan masalah-masalah komunikasi (Weinstein, 1980)
            Menurut Eastman (1983) menyatakan perancangan bahasa memberi tumpuan kepada ketetapan yang dibuat untuk menentukan penggunaan bahasa mana yang sesuai dalam komuniti-komuniti bahasa yang tertentu. Perancangan bahasa mempunyai kaitan dengan cara bahasa boleh digunakan dan ditafsirkan dengan jayanya dalam sesebuah komuniti bahasa mengikut matlamat-matlamat bahasa komuniti berkenaan.
            Markee (1986) pula menyatakan keputusan tentang dasar bahasa melibatkan ketetapan-ketetapan yang ada kaitan dengan pengajaran dan penggunaan bahasa, dan pernyataan teliti oleh pihak-pihak yang diberi kuasa untuk membuat pernyataan itu, untuk pedoman pihak-pihak lain.

            Bagi Appel & Muysken (1987) pula, perancangan bahasa sebenarnya adalah sebahagian daripada, atau pelaksanaan sebenar sesuatu dasar bahasa: sesebuah kerajaan menggubal sesuatu dasar tertentu yang ada kaitan dengan bahasa atau bahasa-bahasa yang dituturkan dalam negara berkenaan, dan akan cuba melaksanakan dasar itu dalam bentuk perancangan bahasa.
            Cooper (1989) pula berpendapat, perancangan bahasa merujuk kepada tindakan yang sengaja diadakan untuk mempengaruhi tabiat pihak-pihak tertentu dalam hal-hal penguasaan, struktur atau peruntukan fungsi bahasa-bahasa pihak-pihak yang terlibat.
            Bright (1992) mempunyai pendapat yang hampir sama dengan Cooper mengenai perancangan bahasa iaitu usaha yang sengaja diadakan, sistematik dan berasaskan teori untuk menyelesaikan masalah-masalah komunikasi dalam sesebuah komuniti, dengan meneliti pelbagai bahasa atau dialek yang digunakan dan memajukan dasar berkenaan dengan pemilihan dan penggunaan bahasa atau dialek-dialek itu.
            Mc Arthur (1992), perancangan bahasa adalah usaha untuk mengawal penggunaan, taraf, dan struktur sesebuah bahasa melalui dasar bahasa yang diwujudkan oleh kerajaan atau sesebuah kuasa atau organisasi.
            Bagi Noss (1994), menyatakan perancangan bahasa adalah proses yang melibatkan kuasa tertentu yang membuat keputusan dan menyelaraskan dasar-dasar tentang penggunaan dan peningkatan taraf kelainan-kelainan tertentu daripada sesebuah bahasa untuk mendukung peranan-peranan tertentu mengikut bidang kekuasaannya. Selain itu ia juga menyelaraskan dasar-dasar tentang pengenalan dan pembakuan kelainan-kelainan bahasa yang berkenaan dan seterusnya melaksanakan dasar-dasar berkenaan, menilaikan pelaksanaannya dan kalau perlu, menilai dasar-dasar itu sendiri.
            Task (1999) pula menyatakan perancangan bahasa adalah berkenaan dengan perumusan ketetapan-ketetapan yang sengaja diadakan tentang bentuk bahasa. Dalam kebanyakan kes, sesebuah bahasa itu ”berkembang sendiri”. Tetapi adalah juga sangat tidak mustahil, dan dalam beberapa keadaan yang diperlukan, masa depan sesebuah bahasa dalam bidang-bidang penting, boleh ditentukan dengan dibuat secara sengaja dan sedar ketetapan-ketetapan yang selalunya dilakukan secara rasmi.

            Walaupun skop bidang ini adalah luas, tugas utama perancangan bahasa adalah penyelesaian setiap satu masalah dan isu bahasa yang wujud. Penyelesaian ini adalah penting untuk pertimbangan masa hadapan, khusus untuk pengembangan sesuatu bahasa itu.
3.2 Jenis-jenis Perancangan Bahasa
            Menurut Kloss (1969) perancangan bahasa terdiri daripada sekurang-kurangnya dua jenis perancangan yang utama iaitu perancangan status bahasa dan perancangan korpus bahasa.
            Adakalanya, perancangan bahasa dilapor sebagai mempunyai lebih daripada dua jenis perancangan. Apabila ini berlaku, sekurang-kurangnya dua lagi jenis perancangan turut dibicarakan. Jenis-jenis itu adalah perancangan tentang perancangan bahasa dan perancangan penguasaan bahasa (Karam, 1974, Asmah Haji Omar, 1979; 1993)
3.2.1 Perancangan Status Bahasa
            Perancangan status atau taraf bahasa adalah segala tindakan dalam perancangan bahasa yang mengarah kepada penetapan fungsi dan pembinaan prestij terhadap sesuatu bahasa itu. Dengan kata lain, perancangan status bahasa memberi tumpuan kepada usaha melindungi kedudukan sesuatu bahasa yang telah pun ditetapkan tarafnya, misalnya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
            Oleh sebab sifatnya begini, segala tindakan perancangan bahasa jenis ini, menjurus kepada pengagihan atau peruntukan fungsi kepada bahasa atau bahasa-bahasa dalam sesebuah negara itu. Pengagihan atau peruntukan ini sudah tentu mempengaruhi peranan sesebuah bahasa itu dalam negara berkenaan.
            Stewart (1968) menyenaraikan fungsi-fungsi yang biasanya diagih-agihkan atau diperuntukan itu seperti kebangsaan, rasmi, pendidikan, subjek sekolah, agama, media massa, komunikasi luas, antarabangsa, persuratan, warisan, pendatang, peribumi, komuniti, majoriti dan moribun.


3.2.2 Perancangan Korpus Bahasa
            Perancangan korpus bahasa mengiringi dan menyusuli perancangan status bahasa. Umumnya, perancangan korpus bahasa adalah segala tindakan perancangan bahasa yang mengarah kepada pembinaan dan pemupukan sesuatu bahasa atau dialek yang dipilih, untuk mendukung sesuatu fungsi.
            Melalui tindakan ini, bahasa atau dialek berkenaan boleh bertambah mantap setelah misalnya sistem tulisan atau ejaannya diperkemaskan, sebutannya diselaraskan, kosa katanya ditambah, istilahnya dibentuk, nahunya dibakukan, dan pelbagai laras dikenal pasti untuk mengungkapkan, misalnya wacana sains angkasa lepas dan sains samudera dan ilmu-ilmu moden yang lain.
            Bahasa Melayu (Malaysia) dirancang untuk mengambil alih fungsi bahasa rasmi tunggal daripada bahasa Inggeris pada 1967. Tempoh sepuluh tahun (1957-1967) di peruntukan untuk memberi masa kepada bahasa Melayu (Malaysia) dibina dan dipupuk, dari semua segi pada korpusnya. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk bahasa Melayu lebih berkesan atau efisien lagi apabila berfungsi sebagai bahasa rasmi tunggal kelak.
3.2.3 Perancangan untuk Perancangan Bahasa
            Perancangan bahasa jenis ini tidak bersifat kebahasaan langsung. Ia melibatkan perancangan ekonomi, yang mengambil kira perkiraan belanjawan yang diperlukan untuk merealisasikan sesuatu perancangan bahasa.
            Walau bagaimanapun, perancangan untuk perancangan bahasa adalah sama penting dengan perancangan bahasa jenis-jenis lain. Ini adalah kerana perancangan untuk perancangan bahasa yang baik sudah tentu mempunyai kesan positif kepada perancangan bahasa jenis-jenis lain, khususnya dua yang utama iaitu perancangan status bahasa dan perancangan korpus bahasa.
            Perancangan untuk perancangan bahasa adalah perancangan perbelanjaan, untuk yang utama iaitu pembiayaan kos perancangan bahasa. Kos ini antaranya adalah untuk membayar gaji mereka yang terlibat, dan segala macam yang lain. Perancangan untuk perancangan bahasa rata-ratanya melibatkan ahli-ahli politik selain pakar ekonomi.
3.2.4 Perancangan Penguasaan Bahasa
            Perancangan penguasaan bahasa adalah segala tindakan yang mengarah kepada penyebaran bahasa atau dialek yang telah dipupuk, daripada pelbagai aspek, pada korpusnya. Dengan kata lain, perancangan penguasaan bahasa berusaha untuk menyediakan, antaranya kemudahan-kemudahan seperti kamus yang lengkap, panduan sebutan, pedoman nahu, buku-buku teks dan bahan-bahan bacaan, berkenaan dengan bahasa atau dialek yang dipupuk itu.
            Ia juga menyediakan latihan kepada guru-guru dan pihak-pihak tertentu. Tujuan latihan ini adalah untuk memastikan mereka ini betul-betul menguasai bahasa atau dialek yang dipupuk itu, sebelum menyampaikannya kepada para pelajar dan khalayak.

4.0 USAHA-USAHA & KEGITAN PERANCANGAN BAHASA YANG DILAKUKAN OLEH DEWAN BAHASA & PUSTAKA (DBP)
            Usaha pemartabatan bahasa Melayu bukanlah usaha minoriti. Usaha ini sebenarnya adalah usaha yang telah wujud serentak dengan adanya struktur negara bangsa Malaysia pada 1963. Toleransi kerajaan pada 1957 untuk membenarkan rakyat menggunakan bahasa Inggeris untuk tempoh 10 tahun rupanya telah membawa petaka kepada bahasa Melayu lantaran bahasa penjajah itu telah berjaya membina nilai akar umbi yang cukup erat dengan institusi awam, pendidikan dan perundangan terutamanya.
            Menurut pakar bahasa, Dr. Nik Safiah Karim, pemantapan sistem bahasa sebagai persediaan manjadi bahasa yang cekap dan yang mempunyai daya pengungkap hal ehwal ilmu, teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden telah mencapai tahap yang kukuh, walaupun proses ini masih berterusan dan masih perlukan pemantapan.

4.1 Usaha-usaha dan Sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka
            Terdapat enam matlamat penubuhan DBP seperti yang terkandung dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995). Keenam-enam matlamat tersebut adalah (i) untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; (ii) untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan; (iii) untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain; (iv) untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; (v) untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan (vi) untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
            Sumbangan dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan bahasa Melayu amatlah besar terhadap pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara kita. Sebagai salah sebuah jabatan kerajaan DBP bertanggungjawab untuk merancang pemodenan bahasa Melayu seperti perancangan penetapan bunyi atau sebutan, perancangan sistem ejaan, peristilahan, tatabahasa, perkamusan dan penyuburan bahasa melalui penerbitan dan penghasilan karya sastera. Usaha ini dilakukan dengan kerjasama ahli-ahli bahasa dan pertubuhan serantau terutamanya MABBIM.
            Sebenarnya beberapa usaha diadakan untuk mewujudkan perubahan sikap dan anggapan yang negatif pada bahagian awal perkembangan bahasa Melayu (bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Salah satu daripadanya ialah siri kempen bahasa dari 1960 - 1965. Kempen bahasa ini diadakan untuk menghapuskan anggapan dan andaian negatif terhadap bahasa Melayu (bahasa Malaysia), dengan tujuan utamanya untuk membina serta mempertingkatkan citra bahasa Melayu (bahasa Malaysia).
            Beberapa aktiviti dan tindakan diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah seperti yang digariskan melalui tujuan penubuhannya.
            Antara aktiviti dan tindakan yang dijalankan oleh DBP ialah mengekalkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. DBP melaksanakan usaha perancangan bahasa Melayu, iaitu perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa. Perancangan korpus bahasa, iaitu pengekodan atau kodifikasi yang melibatkan aspek ejaan, perkamusan, pengistilahan dan tatabahasa. Usaha ini dilakukan sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan (1963 / 67) dan Akta A930 Akta DBP (Pindaan dan Perluasan 1995) (Dewan Bahasa dan Pustaka: 2006). Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu melambangkan identiti dan kedaulatan negara serta berfungsi dalam menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu digunakan dalam situasi semua rasmi yang dijalankan seperti urusan pentadbiran, pendidikan dan perdagangan.
            DBP juga menyediakan dan melaksanakan peraturan atau garis panduan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam jabatan kerajaan dan sektor swasta. Pada peringkat awal, DBP telah melancarkan Gerakan Minggu Bahasa Kebangsaan dan kempen-kempen bahasa yang melibatkan penyertaan rakyat pelbagai kaum. Kempen-kempen ini bertujuan untuk membina keyakinan dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti pertandingan bahas, mengarang dan berbalas pantun dalam kalangan pelajar sekolah seluruh negara. Pada hari ini rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya, keturunan dan agama mampu berbahasa Melayu dengan baik.
            Penyusunan kamus juga merupakan usaha dalam proses pembinaan, pengembangan, dan pembakuan bahasa Melayu. DBP juga telah melaksanakan tugas seperti penyusunan kamus ekabahasa dan dwibahasa, penerbitan ensikopedia, pembinaan bakat pengarang sastera, penerbitan buku karangan asli, sejumlah terjemahan, dan penyediaan buku teks dalam bahasa Melayu yang turut digunakan oleh jutaan pelajar sekolah rendah dan menengah. Terdapat tiga program utama penyusunan kamus yang diusahakan oleh DBP, iaitu kamus ekabahasa, dwibahasa, dan kamus istilah. Penerbitan kamus ini penting dalam memantapkan bahasa Melayu serta membuktikan kemampuan bahasa Melayu. Antara kamus terbitan DBP ialah Kamus Dewan (1970), Kamus Dewan Edisi Keempat, Kamus Bahasa Malaysia (Edisi Pelajar), Kamus Dwibahasa (Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia) dan Kamus Inggeris Melayu Dewan (KIMD).
            Pembentukan istilah juga dilakukan oleh Jawatankuasa Istilah (JKI), Dewan Bahasa dan Pustaka. JKI bertanggungjawab untuk membentuk atau mencipta istilah yang selaras dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemajuan negara. Dalam pembentukan istilah JKI telah mengamalkan sikap tulen, iaitu istilah yang dicipta perlu mempertahankan sifat bahasa Melayu. Tugas pembentukan istilah seperti ini telah dipertanggungjawabkan di bawah Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM). Pembentukan istilah Bahasa Melayu (PUPIBM) diuruskan oleh MBIM pada tahun 1972. PUPIBM kemudiannya dijadikan sebagai panduan dasar untuk menggubal istilah. Istilah yang dibentuk perlulah tepat dan tidak mempunyai konotasi yang buruk. Sehingga kini, DBP dibawah JKTBM telah menghasilkan istilah dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah media, falsafah, agama, sains sosial, bahasa, teknologi dan kesusasteraan. Pembentukan dan pemupukan istilah dilakukan untuk menterjemah bahasa moden yang lain. Melalui usaha DBP ini bahasa Melayu mampu memperkatakan pelbagai bidang ilmu dan disiplin yang berbeza, terutamanya dalam bidang teknikal, laras undang-undang, dan laras Sains. Hasilnya diterbitkan kamus istilah seperti Kamus Istilah Sains Am, Kamus Biologi KBSM, Kamus Kimia KBSM, Kamus Fizik KBSM, Kamus Istilah Kejuruteraan Petroleum, Kamus Perakaunan dan Kamus Ekologi.
Revolousi teknologi maklumat dann komunikasi boleh menjadi peluang atau ancaman terhadap perkembangan bahasa Melayu. Dalam hal ini DBP tidak terkecuali dalam mengikut peredaran semasa. DBP turut menggunakan saluran internet dalam usaha pengembangan bahasa. Misalnya menerusi Portal KaryaNet merupakan suatu inovasi DBP yang berupaya mewujudkan kesinambungan antara penerbitan bercetak dan dengan penerbitan digital. KaryaNet merupakan portal yang menyediakan prasarana untuk menghantar karya melalui internet. Semua aktiviti pengurusan dan penerbitan karya sehingga terbit menjadi e-buku dan seterusnya dijual, dilakukan dalam sistem yang disediakan dalam portal ini. Antara kandungan yang terdapat dalam KaryaNet ialah penulisan, pembelian produk terbitan, pemasaran yang turut menyediakan ruang promosi dengan penerbitan syarikat swasta, carian maksud yang merujuk kepada Kamus Dewan, Kamus Pelajar, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Komputer, Istilah, Daftar Kata Bahasa Melayu-Rumi-Sebutan-Jawi, dan peribahasa. Antara peranan lain yang dimainkan oleh DBP ialah Program Jejak Bahasa dan Semarak Bahasa, iaitu filem dokumentari tentang sejarah, pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu.
            DBP juga turut menggunakan media penyiaran dalam usaha memperkukuhkan fungsi serta memantapkan lagi imej DBP dalam memartabatkan bahasa, sastera, penerbitan dan budaya kebangsaan di negara ini. Siaran Citra DBP yang merupakan satu slot rancangan di radio merupakan satu usaha DBP yang diharap dapat merapatkan hubungan organisasi dengan masyarakat, selain menyebarluaskan pengetahuan yang berteraskan elemen bahasa, sastera, penerbitan dan kebudayaan kebangsaan.
            Pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang mutu penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan dan di tempat awam. DBP juga melancarkan program Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta 1996 - 1998 yang berterusan sehingga tahun 2000 dan menjadikan bulan September pada setiap tahun sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).
            Program lain yang dianjurkan oleh DBP seperti Pantau Tegur Bahasa, Kursus Bahasa, dan Munsyi Dewan. Munsyi Dewan merupakan sekumpulan penceramah yang dilantik khas oleh DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah, taklimat di sektor awam dan swasta. Program ini bermula pada tahun 2005. Pantau Tegur Bahasa pula merupakan usaha dalam melibatkan orang awam dalam pengembangan bahasa Melayu dengan peningkatan kualiti bahasa di tempat awam seperti papan tanda mahupun papan iklan, dan sebagainya. DBP juga bertanggungjawab menyediakan dan melaksanakan peraturan atau garis panduan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam jabatan kerajaan dan sektor swasta.
            Usaha memartabatkan bahasa Melayu terus dipertingkatkan dengan memberi kuasa kepada DBP untuk mengenakan denda kepada sesiapa yang didapati bersalah mencemar bahasa kebangsaan. Ianya diumumkan oleh Dato’ Sri Rais Yatim yang mana menurutnya, dasar ini akan dikuatkuasakan sebaik sahaja Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda oleh pejabat Peguam Negara dan diluluskan Parlimen. DBP akan diberi kuasa untuk mendenda pencemar bahasa dengan RM 1,000 sebaik diluluskan oleh Parlimen. Langkah terbaru ini akan mengukuhkan lagi kedudukan DBP dala memainkan peranannya sebagai badan bahasa di negara ini.

4.2 Perancangan Bahasa yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
4.2.1 Perancangan Status Bahasa
            Perancangan status bahasa untuk bahasa Melayu (Malaysia) wujud dalam beberapa bentuk. Antaranya adalah Kempen Bahasa yang pernah diadakan dari 1960 sehingga 1965. Kempen ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku badan yang dipertanggungjawab untuk mengembangkan bahasa Melayu (Malaysia), setelah ia diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, daripada sebuah vernakular, semasa mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
            Tujuan utama kempen ini adalah untuk menghapuskan anggapan negatif serta mengorientasikan fikiran golongan-golongan tertentu terhadap kemampuan bahasa Melayu (Malaysia), dalam kapasitinya melaksanakan fungsi-fungsi baharu itu, terutamanya dalam mendukung fungsi sebagai bahasa rasmi tunggal negara mulai 1967. Selepas kemerdekaan, bahasa Inggeris terus dikekalkan sebagai bahasa rasmi bersama, bersama-sama dengan bahasa Melayu (Malaysia) sehingga 1967.
            Pada 21 Julai 1961, semasa melancarkan Kempen Bahasa, yang mengambil bentuk ”Bulan Bahasa Kebangsaan” oleh Datuk Dr. Ismail Abdul Rahman, Ikrar Bahasa Kebangsaan dilafazkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Ikrar ini ikut dilafaskan serentak di seluruh negara, pada tepat jam 5.15 petang, oleh setiap lapisan masyarakat. Di Stadium Merdeka, suara hampir 20,000 orang yang terdiri daripada para menteri, wakil rakyat, ketua pejabat, pegawai tinggi serta seluruh kakitangan kerajaan, bergema dalam satu tekad sebagai simbol suara sepakat seluruh rakyat. Tujuannya adalah untuk memperlihatkan keprihatinan rakyat kepada bahasa Melayu (Malaysia), selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
            Pada masa kini, tindakan perancangan status bahasa untuk perancangan bahasa Melayu (Malaysia), antaranya terus tertumpu kepada fungsinya selaku bahasa rasmi negara. Sehubungan ini, bahasa Melayu (Malaysia) hendaklah sentiasa digunakan sebagai bahasa wahana, iaitu perantaraan, dalam majlis dan upacara rasmi atau formal, lebih-lebih lagi yang dikelolakan oleh sektor awam dan para hadirinnya terdiri daripada rakyat negara ini.
4.2.2 Perancangan Korpus Bahasa
            Semenjak tahun 1956, dengan tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku agensi perancangan bahasa Melayu (Malaysia), sehingga kini, korpus bahasa Melayu (Malaysia) boleh dikatakan sudah pun dibina dan dipupuk, dengan sempurna dan jayanya. Kini, bahasa Melayu (Malaysia) sudah pun merupakan bahasa moden, seperti bahasa-bahasa major yang lain, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol, bahasa Mandarin dan sebagainya.

            Contoh bagi perancangan korpus bahasa yang dilalui oleh bahasa Melayu (Malaysia) yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sistem tulisan atau ejaan.
            Bahasa Melayu (Malaysia) mempunyai dua sistem tulisan atau ejaan iaitu rumi dan jawi. Sistem tulisan atau ejaan Jawi bahasa Melayu (Malaysia) menggunakan garfem-garfem (aksara) bahasa Arab sebagai penunjangnya (Hamdan Abdul Rahman, 1999). Walau bagaimanapun, seperti yang berlaku pada bahasa Arab sendiri, dari aspek sistem tulisan atau ejaan, khususnya dalam melalui proses modenisasi bahasa, agar bahasa Arab boleh menjadi bahasa moden yang mampu mengungkapkan komunikasi moden, sistem tulisan atau ejaan Jawi bahasa Melayu (Malaysia) juga mengalami reformasi pada tahap-tahap tertentu dalam sejarah perkembangannya, untuk menjadi lebih efisien.
            Menurut Teo Kok Seong (2006), reformasi yang dilakukan itu melibatkan penambahan beberapa grafem bagi melambangkan beberapa unit linguistik dalam bahasa Melayu (Malaysia). Antaranya ialah grafem yang dipanggil ”ca”, ”nga”, ”ga”, ”pa”, ”nya”, dan ”va” untuk enam unit fonologi bahasa Melayu (Malaysia). Unit-unit itu adalah fonem-fonem plosif palatal tak bersuara ”ca”, nasal velar ”nga”, plosif velar bersuara ”ga”, plosif bilabial tak bersuara ”pa”, nasal palatal ”nya” dan frikatif labio-dental bersuara ”va”.
            Sistem tulisan atau ejaan Rumi bahasa Melayu (Malaysia) yang kita guna kini dilancarkan serentak pada 16 Ogos 1972, di Malaysia yang dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia. Sistem ini telah menggantikan Sistem Ejaan Za’ba atau Sistem Ejaan Sekolah yang digunakan secara meluas dari 1924 hingga 1972. Sistem baru ini memperkenalkan dua pembaharuan, iaitu penggunaan grafem-grafem dan untuk fonem-fonem plosif palatal tak bersuara dan frikatif alveolar tak bersuara.
            Menurut Asmah Haji Omar (1979; 1993) konsonan-konsonan /f/ dan /v/ daripada bahasa Inggeris dan bahasa Arab diserapkan secara rasmi ke dalam sistem fonologi bahasa Melayu (Malaysia) oleh sistem tulisan ini.
            Sistem tulisan atau ejaan baharu ini juga telah memansuhkan cara penulisan atau pengejaan untuk fonem hentian glotis yang wujud pada lingkungan-lingkungan tengah dan akhir kata. Selain itu, dua vokal iaitu vokal depan separuh sempit dan vokal schwa berkongsi satu grafem iaitu . Dengan ini kata ”perang” yang mengandungi vokal depan separuh sempit, yang membawa maksud sejenis warna dan kata ”perang” yang mengandungi vokal schwa yang bermaksud pertempuran yang menggunakan senjata kini ditulis sebagai satu sahaja.
            Selain itu, imbuhan ”di-” ditulis secara ”rapat” dengan kata-kata yang ditambahkan kepadanya. Cara penulisan ini berlainan sekali dengan yang dipakai oleh Sistem Ejaan Za’ba yang menggunakan tanda sempang antaranya dengan kata yang ditambahkan kepadanya.
            Klitik atau bentuk pendek kata ganti nama mengikut sistem baharu ini hendaklah ditulis secara rapat dengan kata-kata yang disandarkan kepadanya. Contohnya, ”kausayang”.
            Pemupukan yang dilakukan pada korpus lain seperti menyelaraskan sebutan, memperbanyak kosa kata, membentuk istilah, membakukan nahu, serta mengenal pasti pelbagai laras, adalah untuk menjadikan bahasa Melayu (Malaysia) lebih efisien. Keefisienan pada pelbagai korpus bahasa adalah keperluan yang mesti ada pada sesebuah bahasa moden.
4.2.3 Perancangan Penguasaan Bahasa
            Pedoman nahu, khususnya tentang nahu bahasa Melayu (Malaysia) yang dipupuk oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku agen perancangan bahasa Melayu (Malaysia) yang utama di Malaysia, disebarkan untuk dikuasai dalam bentuk buku ”Tatabahasa Dewan” yang diterbitkan semenjak akhir 1980-an.
            Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah berjaya menyusun beberapa kamus bahasa Melayu (Malaysia) yang berwibawa, sama ada yang ekabahasa mahupun dwibahasa. Antaranya ialah Kamus Dewan yang kini sudah pun diperkemas sebanyak empat kali semenjak yang pertama diterbitkan pada tahun 1970, Kamus Besar Bahasa Melayu, dan Kamus Melayu-Inggeris Dewan.
            Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa mengendalikan pelbagai projek pemupukan bahasa. Antaranya adalah acara-acara tahunan seperti Pertandingan Pidato dan Debat untuk golongan pelajar dan remaja, Bulan Bahasa dan Sastera Negara dan Citra Wangsa yang memberi pengiktirafan kepada kedua-dua sektor awam dan swasta yang menggunakan bahasa rasmi negara dengan baik dan betul.
            Perancangan penguasaan bahasa Melayu (Malaysia) untuk tujuan penyebaran maklumat korpus bahasa, ikut dimanifestasikan dalam bentuk-bentuk siaran radio, melalui rancangan ”Citra DBP” di Nasional FM dan Sinar FM. Ia juga dilakukan dalam bentuk sisipan akhbar, pada akhbar ”Berita Harian”, untuk setiap bulan.
            Kursus-kursus penataran bahasa Melayu (Malaysia) juga selalu diadakan di seluruh negara, baik di jabatan-jabatan kerajaan mahupun di firma-firma swasta. Antara tujuannya adalah untuk mempertingkatkan kecekapan berbahasa selain menyebarkan korpus bahasa Melayu yang dipupuk itu.
5.0 BAHASA MELAYU DI PERINGKAT ANTARABANGSA
            Menurut Utusan Online, pada 7 hingga 8 Ogos 2008 akan berlangsung Kolokium Bahasa Antarabangsa di Prince Songkla University (PSU) Hatyai, Thailand dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) merupakan salah sebuah organisasi yang dijemput khas oleh universiti tersebut sebagai penganjur bersama.
            Kolokium yang akan melibatkan pelbagai negara (termasuk negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris) itu akan berkongsi pengalaman masing-masing tentang pengajaran dan pelaksanaan kurikulum berkaitan dengan bahasa berkenaan di negara masing-masing. Ia juga bertujuan melihat, menimba dan mempelajari cara, methodologi serta pedagogi pengajaran bahasa Inggeris di negara-negara bukan berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
            Sementara itu, sebagai jemputan khas, Pena akan diberi tanggungjawab untuk mengisi antara dua hingga empat sesi pembentangan kertas kerja yang berkaitan dengan pengalaman dalam pelbagai bidang bahasa serta pengajaran kesusasteraan (Inggeris dan Melayu). Pena juga bertanggungjawab untuk memperkatakan banyak aspek lain termasuk pengalaman-pengalaman penerbitan karya-karya sastera, kebudayaan dan sejarah tanah air. Pena juga akan berkongsi pengalaman tentang bagaiman membina struktur pentadbiran organisasi yang baik termasuk mengadakan kerjasama dengan persatuan-persatuan sastera di luar Malaysia. Antara lainnya di Indonesi dan Brunei Darussalam.

            Seperti kata Setiausaha Agung PENA, S. M. Zakir, kerjasama dengan PSU tersebut merupakan landasan yang sangat menarik untuk persatuan itu bergerak lebih jauh dalam membantu mengembangkan bahasa dan kesusateraan Melayu ketika pelbagai pihak masih memandang sinis tentang kewibawaan bahasa Melayu itu sendiri.
            Di Prince Songkla University (PSU) Hatyai, Thailand ada terdapat mahasiswa pengajian Melayu yang diletakkan di bawah Jabatan Linguistik, Fakulti Seni Liberal dengan jumlah yang kecil. Mengenai pengajaran bahasa Melayu di Selatan Thai, PENA turut mengukuhkan kerjasama dengan tiga lagi institusi pengajian tinggi di wilayah berkenaan iaitu Universiti Thaksin, Kolej Islam Patani dan Universiti Walailak. Setakat ini hanya Universiti Walailak yang menawarkan kursus pengajian Melayu di peringkat Jabatan manakala di PSU, Universiti Thaksin dan Kolej Islam Patani hanya diletakkan di bawah Jabatan Linguistik.

6.0 PENUTUP

            Penyatuan bangsa penting untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Bahasa Melayu boleh menjadi alat penyatuan atau perpaduan. Bahasa menjadi lambang sesuatu bangsa kerana itu slogan ”Bahasa Jiwa Bangsa” menjadi asas identiti dan jati diri bangsa Melayu dan Malaysia.
            Bahasa Melayu memebuhi pelbagai fungsi seperti dalampentadbiran awam, pendidikan, sektor swasta dan komunikasi seharian. Martabat dan status bahasa Melayu perlu dipertahankan dan yang akan mempertahankannya atau tidak adalah kehendak kita sendiri. Dalam usaha kita membina, tidak perlu ada usaha meruntuh supaya segala usaha kita tidak akan menjadi sia-sia. Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan agar tidak pupus. Bahasa Melayu perlu terus dikembangkan supaya tidak hilang di dunia ini serta dapat mencerminkan bangsa kita.
            Natijahnya, bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama harus dikembalikan. Bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman dikalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah maka negara dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang ini.

Rujukan

Abdullah Hassan (2006). Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1-V1. Kuala      Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Adam (1994). Isu Bahasa dan Pembentukan Bangsa. Kuala Lumpur:         Dewan Bahasa dan Pustaka
Awang Sariyan (1996). Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur:             Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan (2004). Melebarkan sayap bahasa Melayu di persada           antarabangsa. Dewan Bahasa, 7.
            Bangsa dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Terbuka Malaysia.
Darwis Harahap (1992). Sejarah pertumbuhan bahasa Melayu. Pulau Pinang:       Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM)
Dr Teo Kok Seong (2007). HBML 3903 Sosiolinguistik dan Bahasa Melayu.             Kuala Lumpur: Universiti Terbuka Malaysia.
Dr. Ali Mahmood, Mashudi Bahari & Lokman Abd Wahid (2007). HBML 1203
Ismail Hussien (1996). Sejarah Pertumbuhan bahasa Kebangsaan kita. Kuala           Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pengenalan Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Terbuka Malaysia.
Prof. Dr. Mansor Fadzil & Prof. Dr. John Arul Philips (2007). HBML 3703 Sejarah
S. Othman Kelantan (1992). 100 tahun pergerakan bahasa dan sastera Melayu       1888-1988. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Teo Kok Seong. (1997). “Perancangan Bahasa” Pelia Bahasa, Jilid 9, Bilangan         5, Mei 1997. Hlm. 40-43



















HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA :
HUBUNGAN UNSUR PENGAJARAN DAN ALEGORI DENGAN KARYA SEJARAH
Oleh;
Ibrahim Bakar


Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) adalah sebuah teks Melayu klasik yang  digolongkan sebagai hasil sastera bercorak sejarah.  Sehubungan dengan itu HMM mempunyai  ciri-ciri tertentu yang membolehkan ianya digolongkan dalam teks sastera sejarah. Umumnya HMM mengisahkan asal mula negeri dan raja-rajanya di samping memperjelaskan tentang adat istiadat raja-raja di istana Kedah (Ali Ahmad, 1987:89).
            Unsur-unsur yang membina HMM terdiri daripada legenda, mitos dan cerita-cerita rakyat yang sukar diterima oleh akal manusia perihal burung garuda dan makhluk ghaib seperti iblis.
            Persoalan yang hendak diutarakan di sini ialah hubungan unsur pengajaran dan alegori dengan unsur-unsur sejarah tempatan. Sehubungan dengan itu beberapa tokoh sejarah mahupun kesusasteraan telah memperkatakan tentang kedudukan HMM dari segi nilaian sastera dan kepentingannya dari segi sejarah.
            Kebanyakan ahli-ahli sejarah barat mempunyai  anggapan yang rendah terhadap HMM sebagai sumber sejarah. R.O Winstedt berpendapat hikayat tersebut sebagai ‘pseudo – history’ (sejarah yang palsu) dan  ‘a farrago of folk tales’ (satu kumpulan cerita-cerita rakyat).
            Dr. C. Hooykas pula berpendapat walaupun HMM mengandungi cerita-cerita aneh tetapi terdapat juga sumber-sumber sejarah yang boleh dipercayai (Dzulkifli Salleh : 1965: 437). Pandangan Dr.Hooykaas mempunyai persamaan dengan pandangan Abdul Samad Ahmad yang  menjelaskan keseluruhan HMM hanyalah merupakan sebuah hikayat dan kalau adapun yang boleh dianggap langsung menunjukkan daripada penghujung abad tersebut pengajaran iaitu yang menghuraikan  salasilah  beberapa orang raja-raja yang memerintah Kedah (Mohd. Noor Azam, 1959 :341).
            Hasrom Harun pula berpendpat HMM samalah juga seperti karya historiografi Melayu lama kerana ia mempunyai butir-butir  bersejarah yang dibungai dengan dongengan, mitos dan legenda. Antara nilai-nilai sejarah yang dapat dilihat dalam HMM termasuk asal-usul nama tempat atau negeri yang dibuka oleh raja-raja (Hasrom Harun, 1986 : 180).
            Dalam menghuraikan asal-usul raja, Raja Kedah dikatakan berasal dari keturunan raja Rom.  Raja Merong Mahawangsa ialah  seorang raja gergasi  dari Rom yang dititahkan oleh raja Rom untuk menghantar puteranya ke China supaya dikahwinkan dngan puteri raja China. Dalam pelayaran ke China, Raja Merong Mahawangsa dan rombongannya diserang oleh burung garuda. Akibat serangan tersebut rombongan putera raja Rom itu terpaksa menyelamatkan diri dan membuat negeri ke Timur Pulau Serai dengan kota istana dan balai yang dinamai Langkasuka iaitu bertempat di Sungai  Bujang  sekarang ini ( Hikayat Merong Mahawangsa, 1973 : 6-9).
            Dalam memperkatakan aspek sejarah dalam HMM Ali Ahmad antara lain mengatakan :
“Hikayat Merong Mahawangsa terbina daripada pelbagai lagenda
dan unsur-unsur mitos. Sedikit sekali terdapat unsur  yang benar-
benar konkrit atau bersifat sejarah… sekiranya tidak ada pembukaan
Kedah, asal usul raja dan warisannya, teks tersebut sukar diterima
sebagai tertulis berasaskan kepada jurai keturunan raj-raja Kedah.
Begitu juga mengenai adat istiadat diraja kecuali adanya institusi
bunga emas dan menteri empat, sukar untuk menerima tujuan
pengarang mencatatkan peri peraturan segala raja-raja Melayu
dengan istiadatnya sekali supaya boleh diketahui oleh segala anak
cucu kita kemudian kita ini serta dengan sejarahnya.”
( Ali Ahmad, 1987: 94-95).

            Ekoran dari pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh di atas dapatlah kita membuat  rumusan bahawa teks HMM juga mempunyai fakta-fakta yang berkaitan dengan sejarah.
Kesahihan fakta sejarah yang terkandung dalam HMM boleh diterima dan boleh dijadikan bukti sejarah. Fakta ini boleh ditambah pula dengan nama tempat  yang diceritakan dalam hikayat ini seperti Bukit Meriam (Kota Kuala Muda), Sungai Muda, Gunung Jerai, Kota Aur dan lain-lain lagi yang masih kekal atau terdapat hingga ke hari ini.
Persoalan yang mengelirukan kita ialah unsur mitos, lagenda dan cerita rakyat yang terdapat dalam HMM menjadikan teks tersebut lebih penting sebagai karya yang menyampaikan pengajaran dan alegori sehingga kurang penting sebagai karya sejarah tempatan. Untuk menjawab persoalan  di atas adalah lebih baik kita teliti dan mengkaji hikayat tersebut sebagai sebuah karya sastera. Di samping itu kita juga akan  menghuraikan unsur-unsur mitos, legenda dan cerita rakyat yang terdapat dalam  teks HMM adakah benar-benar bertujuan  menyampaikan pengajaran dan alegori sehingga kurang penting sebagai karya sejarah tempatan.
Selepas mengkaji secara teliti teks tersebut dari sudut sastera, HMM menceritakan tentang perjalanan hidup yang penuh dengan persengketaan kedurjanaan makhluk Allah pada zaman silam yang berlaku di alam  nyata dan alam ghaib. Segala peristiwa tragik dan ngeri yang berbentuk tamsilan dan penuh pengajaran itu boleh dikatakan merupakan satu keinginan pengarang memperjelaskan rahsia dan makhluknya.
Sebagai contoh ialah persengketaan yang  berhubung dengan tindakan  burung garuda yang cuba menggagalkan perkahwinan antara putera raja Rom dengan puteri raja China yang direncanakan oleh raja Rom. Walaupun niat buruk burung garuda dinasihat dan ditegah oleh Nabi Sulaiman dengan alasan penentuan jodoh adalah hak Allah, tapi burung geruda tetap berdegil. Kesudahannnya kita dapati burung  geruda gagal dalam usahanya itu apabila putera raja Rom dan puteri raja China berjaya dikahwinkan ( Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 3-20)
Penyulaman unsur-unsur mitos, legenda dan cerita rakyat secara tidak langsung menunjukkan pengarang cuba memberi gambaran dan pengajaran kepada pembaca bahawa kegagahan dan kebijaksanaan yang luar biasa yang dimiliki oleh burung geruda tidak dapat menghalang kehendak atau sesuatu yang ditetapkan oleh Allah.
Sebagai makhluk Allah kita juga tidak dapat menghalang apa yang telah ditetapkan oleh Allah misalnya mengenai rezeki, maut, jodoh, pertemuan, perceraian dan sebagainya. Ini bertepatan dengan rukun iman yang menghendakki umat Islam percaya kepada qadha dan qadar.
Satu lagi pengajaran yang terdapat dalam HMM ialah pengarang memberikan kemenangan kepada pihak yang jujur, benar dan berniat suci. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang menggambarkan burung geruda yang berniat jahat dan tidak jujur akhirnya gagal dalam usahanya menghalang perkahwinan antara putera raja Rom dan puteri raja China. Manakala pihak yang benar suci iaitu rombongan raja Rom yang diketuai oleh Raja Merong Mahawangsa beroleh kejayaan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan kesusahan.
Mengenai Raja Bersiong, walaupun cerita itu tidak berasaskan  kepada kenyataan tetapi ia mempunyai fungsi sebagai satu alegori yang berperanan menyembunyikan  hasrat pengarang mengkritik kezaliman pemerintah Kedah. Dalam episod ini pengarang menceritakan Raja Bersiong tumbuh siong (tamsilan), zalim dan gemar makan darah serta hati manusia tanpa mempunyai perasaan perikemanusiaan. Akibat tindakan  tersebut, ramai banduan dan orang-orang salah dibunuh untuk diambil hati dan darah (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973 : 62-80).
Berdasarkan cerita di atas, nampaknya pengarang cuba mengemukakan  masalah moral yang amat buruk dan keji dalam bentuk tamsilan. Peristiwa itu juga boleh dikatakan satu sindiran tajam terhadap golongan atasan khususnya terhadap Raja Bersiong yang memerintah Kedah ketika itu.
Kezaliman yang dilakukan oleh Raja Bersiong menyebabkan baginda tidak disenangi rakyat termasuk menteri berempat. Akhirnya menteri –menteri di bawah baginda menentang sikap Raja Bersiong. Raja Bersiong terpaksa meninggalkan istana dan turun dari takhta. Sehubungan dengan itu pengarang juga memberi tamparan yang hebat kepada pemerintah dalam ertikata seseorang raja atau sultan mestilah memerintah dengan adil dan mengelakkan melakukan kezaliman. Jika raja yang berbuat demikian , rakyat akan bangun menentang. Ekoran daripada situasi tersebut, HMM cuba menyampaikan kepada pembaca hal-hal moral dan tatasusila dengan cara didaktif (Zahrah Ibrahim, 1986: xi).
Satu lagi kisah yang berunsur mitos, legenda dan cerita rakyat yang terdapat dalam HMM ialah kisah Sheikh Abdullah mengembara bersama-sama penghulu iblis. Dalam peristiwa tersebut, pengarang menceritakan tentang kejahatan iblis. Oleh itu manusia  terutama yang beragama Islam perlulah berhati-hati supaya tidak terpengaruh dengan hasutan iblis.
Mengenai kisah pengislaman raja Kedah oleh Sheikh Abdullah, dapat disimpulkan sebagai satu gambaran kepada pembaca bahawa kedatangan Islam telah membawa kesejahteraan.  Situasi ini dapat dibuktikan setelah raja dan rakyat Kedah menerima Islam, negeri Kedah telah kembali aman dan tidak lagi berlaku kezaliman dan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam terutama tingkahlaku Raja Kedah amnya.
Kesimpulan daripada wacana ini dapatlah dikatakan bahawa teks HMM yang berunsur metos, legenda dan cerita rakyat adalah karya yang memaparkan  unsur-unsur pengajaran dan alegori di samping berperanan sebagai karya sejarah.
Rujukan
Ali Ahmad. Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala             Lumpur: 1987
Dzulkifli  Salleh. Hikayat Merong Mahawangsa Sebagai Sumber Sejarah. Dewan Bahasa,   Oktober 1965, .
Hasrom Harun. Hikayat Merong Mahawangsa Sebagai Hasil Historiografi Tradisional Melayu-Nilai Sejarah, dlm. Sastera Sejarah Interpretasi dan Penilaian. oleh Zahrah Ibrahim,  Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1986.
Hikayat Merong Mahawangsa. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur: 1973.
Mohd. Noor Azam. Sedikit Tentang At-Tarikh Salasilah dan Hikayat Merong Mahawangsa, Dewan Bahasa,  Julai 1959.
Siti Hawa Salleh (ed.)  Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan and Penerbit Universiti Malaya: 1998.
Zahrah Ibrahim. Sastera Sejarah Interpretasi dan Penilaian. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala  Lumpur: 1986.





No comments:

Post a Comment