Saturday, October 5, 2013

Jurnal Pengajian Melayu 2012

Bahasa Banjar di Malaysia
Oleh : Muhammad Khairi Mohamed Nor

Pengenalan
Banjar merupakan bangsa yang menetap di Kalimantan,  Indonesia dan menuturkan sejenis bahasa yang disebut bahasa Banjar,  yakni bahasa dalam kelompok bahasa Austronesia. Jumlah penduduk Banjar yang direkodkan di Kalimantan ialah 3,500,000 orang (Joshua Project, 2000).  Muhammad Sabil (1998) pula menyatakan bahawa orang Banjar berasal  dari Kalimantan, Indonesia di kawasan selatan Lembah Barito,  terutama di daerah Banjarmasin.  Antara daerah utama tempat asal orang Banjar tersebut ialah daerah Balangan,  Amuntai,  Alai,  Hamandit,  Margasari dan Martaputra.  Sebahagian mereka pula berasal dari Sumatera Tengah,  dari Bukit Tinggi dan Sepat
Tarikh migrasi masyarakat Banjar ini ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan,  Menurut Hudson (1978)  seorang penulis bahasa Banjar,  migrasi ini mungkin bermula pada pertengahan abad ke-19.  Petempatan awal mereka di Tanah Melayu ialah di Batu Pahat, Johor.  Pada masa itu mereka sering berualang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak,  Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan ke Singapura.  Selain itu,  Bagan Datoh,  Perak juga dikatakan kawasan petempatan awal masyarakat ini.  Kini,  di samping menetap secara bertebaran di beberapa bandar besar di Malaysia, orang Banjar juga terdapat di kawasan tanah rancangan di Malaysia,  misalnya di Perak dan Pahang. 
Secara khusus, beberapa generasi selepas generasi awal, masyarakat Banjar yang terdapat di Malaysia sekarang ini telah mengalami perubahan menerusi proses asimilasi.  Akta dan program pendidikan  yang dilaksanakan di negara ini merupakan faktor yang merangsang kecepatan asimilasi masyarakat ini ke dalam kelompok masyarakat setempat.  Sebagaimana anggota masyarakat yang lain yang terdedah dengan pembangunan,  ramai anak muda Banjar berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi dan menjawat jawatan tinggi di sektor awam atau swasta.  Perubahan organisasi   sosial  masyarakat  Banjar  juga  ketara  berlaku  apabila  ada antara anggota masyarakat ini tidak lagi menetap dalam kelompok mereka,  terutamanya apabila berlaku fenomena perkahwinan campur.  Amalan adat resam dan organisasi sosial juga semakin berkurangan dan di sesetengah tempat langsung ditinggalkan.  Secara am dapatlah dikatakan bahawa masyarakat Banjar yang berada di Malaysia kini semakin terhakis identiti mereka disebabkan pelbagai faktor, umpamanya perkahwinan campur, pengaruh cara hidup setempat, dasar pendidikan dan kurangnya usaha untuk mengekalkan amalan budaya, di kalangan masyarakat itu sendiri.


Aspek Bahasa Banjar
Salah satu aspek budaya Banjar yang mengalami perubahan ialah aspek penggunaan bahasa.  Sebagai contoh,  anggota masyarakat ini,  terutama generasi mudanya,  tidak dapat, semakin kurang atau malu bertutur atau menggunakan bahasa Banjar walaupun sewaktu berbicara sesama mereka.  Golongan tua juga semakin kurang menggunakan bahasa ini,  kecuali dalam domain tertentu yang membabitkan domain tidak rasmi. 
Perubahan dari aspek penggunaan bahasa Banjar juga dikatakan berlaku kerana bahasa Banjar dianggap menyamai bahasa Melayu. Menurut Ras (1990:  9),  bahasa Banjar yang dituturkan di daerah Kalimantan, Indonesia, merupakan sambungan bebas suatu jenis bahasa Melayu yang agak kuno,  ditindihi oleh lapisan dialek-dialek Dayak dengan percampuran bahasa Jawa. 
Wolff (1998) pula menyatakan bahawa:-
“This dialect is spoken through most of the province of South Kalimantan and northwards along the west coast.  I am not sure how far north.  What is know is that Malay dialects are spoken all along the West Coast and that they are all very similar to Banjarese,  there probably is no sharp demarcation between the dialect of Banjar and that of Kutai to the north of it,  they are both quite similar Malay dialect …”

Bahasa Banjar dikenali juga sebagai Bandjarese,  Banjar Malay  atau Banjarese.  Bahasa ini dapat dibahagikan kepada dua dialek,  iaitu dialek hulu dan dialek kuala (The Linguist,  2004). Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini,  bahasa ini tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia Barat.  Walaupun tergolong dalam satu kelompok bahasa dengan bahasa Melayu dan menyamai bahasa Melayu,  tidak semestinya bahasa Banjar ialah bahasa Melayu.  Untuk membuktikan hubungan kebahasaan atau tingkat kekerabatan antara bahasa Banjar dengan bahasa Melayu,    kaedah perbandingan kosa kata kata dasar boleh digunakan. Dengan demikian baharulah dapat dibuktikan sama ada kedua-dua bahasa ini merupakan dialek daripada satu bahasa atau bahasa-bahasa yang berlainan.  Perbandingan kosa kata dasar  boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan kosa kata dasar 200 perkataan yang disarankan oleh Morris Swadesh pada akhir tahun 40-an (Crystal, 1987:  331).
Banjar : Bahasa atau Dialek
Menurut Asmah Haji Omar (1988), dalam Susur Galur Bahasa Melayu,   Asmah menganggap bahasa Banjar ialah sebuah bahasa dan bukannya sebahagian dialek Melayu.
Menurut Asmah (1988), orang Indonesia secara konsisten memberi nama ‘bahasa’ kepada sistem komunikasi  masyarakat Banjar. Ini secara umumnya menggambarkan intuisi penutur-penutur bahasa Indonesia bahawa bahasa Banjar bukan  dialek Melayu atau dialek bahasa Indonesia.
Pendapat Asmah (1988) tentang bahasa Banjar sebagai sebuah bahasa diperkukuh    dengan ujian menyaling (mutual intelligibility test) yang dijalankan terhadap penduduk Melayu Semenanjung (yakni mereka yang bukan kelompok Banjar). Dalam ujian ini, kelompok bukan Banjar ini tidak memahami pertuturan orang Banjar tersebut. Menurutnya lagi, kemungkinan kadar kefahaman menyaling itu sangat rendah (yakni sukar memahami pertuturan secara timbal balik), dan mungkin sistem yang dianggotai oleh pertuturan-pertuturan  tersebut dinamakan bahasa.
Tetapi dalam kajiannya, Asmah tidak melihat aspek-aspek bahasa yang lain seperti fonologi, morfologi, dan sintaksis bahasa Banjar. Kelemahan ini membuatkan penulis merasakan perlunya kajian lanjut terhadap bahasa Banjar ini untuk tujuan dokumentasi dan sumber rujukan kajian selanjutnya.
Sementara itu, Wolff (1988) pula menyatakan bahasa Banjar dituturkan di hampir keseluruhan wilayah  Selatan dan sehingga ke kawasan utara sepanjang pantai barat Kalimantan. Beliau berpendapat tidak ada perbezaan yang nyata antara Banjar dan Kutai kerana kedua-duanya hampir sama dengan dialek Melayu.
Dalam kajiannya, Wolff (1988) melihat sama ada bahasa Banjar ada mewarisi struktur bahasa proto yang mungkin ada atau tidak ada dalam dialek Melayu lain. Beliau berpendapat bahawa bahasa Banjar ini merupakan bahasa kreol yang telah tersebar.
Wolff  (1988) masih ragu-ragu sama ada bahasa Banjar ini menerima pengaruh bahasa Dayak atau tidak, namun bagi beliau pengaruh bahasa Jawa dalam bahasa Banjar sangat jelas. Terdapat banyak perkataan Jawa dalam perbualan yang direkodkan dalam bahasa Banjar.
Analisis Wolff (1988) menunjukkan bahawa dari aspek fonologi, ada kecenderungan untuk membuang suku kata pertama dalam perkataan yang biasa dan kebanyakan   kata dasar yang bermula dengan r, l dan h. Dalam hal ini, konsonan pertamanya akan digugurkan. Dari sudut intonasi, dalam bahasa Banjar tiada kelihatan ciri-ciri yang melambangkan predikat seperti dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia standard. Sementara itu, dari aspek sintaksis pula,  sukar untuk diyatakan sama ada bahasa Banjar yang meminjam daripada bahasa Indonesia atau sebaliknya dan mungkin juga sintaksis bahasa Banjar  merupakan ciri-ciri bahasa Banjar moden.  Dari segi  morfologi, bahasa Banjar  selari dengan ciri-ciri morfologi bahasa Indonesia tetapi mempunyai aplikasi yang lebih produktif dan meluas jika dibandingkan dengan bahasa Melayu atau bahasa Indonesia. Pengulangan   suku kata pertama ialah proses yang sangat produktif dalam bahasa Banjar dan proses ini mengambil tempat kata ganda dalam bahasa Melayu standard. Berikut diperlihatkan sebahagian contoh berikut:






Jadual 1.1
Pengulangan suku kata pertama dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
bubuahan
buah-buahan
kakanakan
kanak-kanak

Selain penulis di atas terdapat seorang penulis yang meneliti bahasa Banjar dengan lebih mendalam, iaitu  Ras (1990). Beliau meneliti bahasa berkenaan dalam Hikayat Banjar (1815). Kajiannya meliputi aspek-aspek bahasa termasuk aspek fonologi, morfologi dan sintaksis bahasa Banjar. Beliau juga ada membandingkan bahasa pertuturan Banjar dengan bahasa tulisan yang digunakan dalam teks Hikayat Banjar yang bagi beliau mengandungi keanehan-keanehan berbanding dengan bahasa Melayu  standard.
Dalam kajiannya, Ras (1990), mengesan banyak keanehan bahasa. Walau bagaimanapun, beliau masih lagi mengganggap Banjar merupakan salah satu dialek Melayu.
Menurut Ras (1990), fonologi bahasa Banjar berkongsi dengan beberapa sifat bahasa Dayak Ngaju. Dalam bahasa Banjar jarang didengari bunyi pepet /«/. Bunyi pepet yang terdapat dalam bahasa Melayu kebanyakannya disebut sebagai /a/ dalam bahasa Banjar. Berikut ditunjukkan contohnya.
Jadual 1.2
/«/ dalam bahasa Melayu disebut /a/ dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
lebih
labih
kena
kana

Seterusnya dalam perkataan tiga suku kata bahasa Melayu di tempat /«/ ditemui /u/ atau /i/ dalam bahasa Banjar.
Jadual 1.3
/«/ dalam bahasa Melayu disebut /u/ dan /i/ dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
sebelah
subalah
telanjang
tilanjang

Ras juga membuat perbandingan antara bahasa banjar dengan bahasa Jawa dan dlaam hal ini bunyi pepet dalam bahasa Jawa sering disebut /i/ dalam bahasa Banjar.





Jadual 1.4
/e/ dalam bahasa Jawa disebut /i/ dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
rakit
raket
sambit
sambet

Dalam bahasa Banjar juga didapati bahawa /u/ dan /i/ disebut /o/ dan /e/ dalam bahasa Melayu.

Jadual 1.5
/o/ dan /e/ dalam bahasa Melayu disebut /u/ dan /i/ dalam bahasa Banjar

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
puhun
pohon
gigar
gegar

Dalam bahasa Banjar /h/ di posisi awal dan antara vokal lebih kuat sebutannya berbanding dengan bahasa Melayu.
Jadual 1.6
Kewujudan /h/ di awal kata, antara dua vokal, dan di akhir kata dalam bahasa Banjar berbanding dengan bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
tuha
tua
tiharap
tiarap
hampang
ampang
gajih
gaji
nyonyah
nyonya
sajih
saji

Ada juga kedapatan /r/ di posisi akhir dalam bahasa Melayu kadang-kadang digantikan sebagai bunyi /N/ .

Jadual 1.7
/N / bahasa Banjar berbanding dengan /r/ bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
ekong
ekor
aing
air

Ras (1990)  juga masih ragu-ragu untuk menganggap bahawa semua unsur tersebut hasil lapisan substratum bahasa Dayak. Beberapa unsur ini diandaikan mewakili perkembangan tersendiri atau mungkin berasal daripada satu jenis bahasa Melayu yang diperkenalkan oleh imigran Melayu awal yang telah menjelajah Kalimantan. Mungkin begini juga halnya dengan sejumlah keanehan yang wujud dalam morfologi Bahasa Banjar.  Sebagai contoh Ras juga mengesan perbezaan kata ganda bahasa Melayu dengan bahasa Banjar. Ini dapat dilihat dalam contoh berikut:
Jadual 1.8
Kata ganda bahasa Banjar berbanding dengan bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
sasayuran
sayur-sayuran
barja-jalan
berjalan-jalan
basa-sambutan
sambut-menyambut

Selanjutnya bahasa Banjar menggunakan kata –akan untuk imbuhan –kan dalam bahasa Melayu.

Jadual 1.9
akan bahasa Banjar berbanding dengan –kan bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
mamadah akan
memadahkan
marabut akan
merebutkan

Penggunaan imbuhan /i/ dalam bahasa Banjar dilihat mempunyai kelainan dalam penggunaannya dalam bahasa Melayu. Kadang-kadang penggunaan /i/ terdapat dalam bahasa Banjar tetapi tidak digunakan dalam bahasa Melayu.

Jadual 1.10
-i bahasa Banjar berbanding dengan bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
ma-isi-i
mengisi
ma-mandi-i
memandikan
mangaram-i
membubuh garam

Imbuhan awalan me dalam bahasa Melayu disebut sebagai ma dalam bahasa Banjar.







Jadual 1.11
ma- bahasa Banjar berbanding dengan meng- bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
maambil
mengambil
maigut
menggigit
mahidupi
menghidupi

ber- dan ter- dalam bahasa Melayu disebut sebagai ba- dan ta- dalam bahasa Banjar.


Jadual 1.12
ba- dan ta- bahasa Banjar berbanding dengan ber- dan ter- bahasa Melayu

Bahasa Banjar
Bahasa Melayu
baisi
berisi
takajut
terkejut

Selain itu, Ras (1990), mengagumi mengenai keseringan penggunaan morfem [lah] dalam bahasa Banjar yang tidak disatukan dengan kata sebelumnya sebagaimana [lah] dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Banjar [lah] digunakan sebagai suatu kata seruan. Walaupun memperlihatkan keanehan yang ketara berbanding dengan bahasa Melayu, Ras masih sukar untuk menyatakan bahawa bahasa Banjar merupakan sebuah bahasa yang tersendiri. Dengan kata lain, Ras masih menganggap bahasa Banjar merupakan sebuah dialek Melayu.

Penutup
Perbezaan pendapat antara Asmah (1988) yang mengganggap Banjar ialah sebuah bahasa dan Ras (1990) yang berpendapat bahawa Banjar sebagai sebuah dialek Melayu menjadi lebih menarik   dan unik. Adakah bahasa  Banjar merupakan sebuah bahasa atau sebahagian daripada dialek Melayu? Kajian dengan membuat perbandingan kosa kata Swadesh dilihat dapat menentukan tingkat kekerabatan antara Banjar dan bahasa Melayu.







Rujukan:
Asmah Haji Omar. 1975. Kepelbagaian Fonologi Dialek-Dialek Melayu. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.
……………. “Pengumpulan Perbendaharaan Kata Bahasa-bahasa Sarawak: Panduan Penyelidik.”  Dewan Bahasa,  September 1981, hlm. 31-42.
……………. 1981. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
……………. 1991. Aspek  Bahasa dan Kajiannya. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fishman, J.A. 1972. “Domains and the Relationship between Micro and Macro Sociolinguistics.” Di dalam Gumperz, J.J. and Hymes, D., 1972, Directions in Sociolinguistics, the Ethnography of Communication, New York:  Holt, Rinehart and Winston, Inc,  hlm.435-454.
Gudschinsky,S. 1964. “The ABC’s of Lexicostatistics (Glotochronology)”, di dalam Deee Hymes, Language in Culture and Society, A Reader in Linguistic and Anthropology, new York: Harper and Row, hlm.612-623.
Grimes, B.F.1996. Ethnologue: Language of The World. Dallas: Summer Institute of Linguistics,Inc.
Hamidah Abdul Wahab. 2004. Analisis Perbandingan Kosa Kata Dasar Bahasa-Bahasa Bidayuh dan Pemerian Fonologi Segmental Bahasa Bidayuh Biatah. Tesis Sarjana Sastera, Universiti Sains Malaysia.
Ibrahim Ahmad. “Sistem Fonologi Bahasa Banjar di Semenanjung Malaysia.”  Dewan Bahasa,  Januari 1976,  hlm.14-18.
John U.Wolff. “The Contribution of Banjarmasin Malay to The reconstruction of Proto-Malay” dlm. Rekonstruksi dan Cabang-cabang Bahasa Melayu Induk. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriah Mohamed. “Waktu Pisah dan Tingkat Kekerabatan Bahasa Melayu dengan Bahasa Iban.”  Jurnal Dewan Bahasa,  Februari 1994, hlm.129-133.

No comments:

Post a Comment